Disebalik pensyariatan di dalam Islam, terdapat padanya nilai
rahmat dan kasih sayang yang dikurniakan oleh Tuhan buat para hamba Nya yang
penuh kelemahan dan kekurangan. Hakikat yang ada pada diri kita, tidak ada
upaya melainkan dengan apa yang diberikan oleh Allah SWT. Kerana itu jika
mendalami sesuatu pensyariatan, kita akan melihat betapa Allah SWT tidaklah
bermaksud mahu menyusahkan hamba Nya. Malah dalam beberapa hal, Allah SWT
memberikan keringanan yang disebutkan sebagai rukhsah. Selain itu, pada sesuatu
syariat itu juga, Allah SWT pastinya akan memberikan jalan keluar kepada
sesuatu masalah yang melibatkan ibadah kepada Nya. Misalnya, seperti syariat
perkahwinan. Berkahwin adalah sesuatu yang bertujuan memupuk perasaan kasih
sayang, saling mencintai meraih ketenangan dan kebahagiaan. Pun begitu, jika
setelah kahwin, tidak mencapai tujuan tersebut, bahkan mendatangkan kemudaratan
kepada diri jika tidak berpisah, maka Islam memberikan jalan keluar melalui
penceraian.
Antara salah satu bukti syariat Islam memiliki nilai rahmat kasih
sayang iaitulah dengan mengetahui pensyariatan hukum fidyah. Ungkapan "fidyah"
adalah berasal dari bahasa Arab. Ianya datang dari kata akar fada (فدي) yang bermaksud menebus. Dalam displin
ilmu fiqh, perkataan fidyah juga sering difahami dengan pelbagai istilah lain
seperti kaffarah dan dam. Pada sudut istilah pula, fidyah merujuk kepada
sesuatu yang dibayar bagi tujuan menebus diri, sama ada penebusan tersebut
berbentuk harta atau tindakan lain yang dilakukan kerana kekurangan dalam salah
satu amal ibadah yang disyariatkan. Pada sudut penggunaan istilah tersebut, sebahagian
para ulama melihat fidyah dan kaffarah sebagai suatu yang sama bentuknya. Namun
begitu, sebahagian para ulama lain membezakannya dengan melihat kaffarah
sebagai sesuatu yang tidak wajib melainkan kerana dosa yang telah dilakukan.
Ini berbeza dengan fidyah yang dilihat sebagai bayaran denda untuk sesuatu
ibadah yang tertinggal atau dilaksanakan secara tersalah.
Sesungguhnya pensyariatan fidyah terdapat di dalam al-Quran dan
al-Hadtih Nabi SAW. Pensyariatan fidyah jelas boleh kita lihat sebagaimana yang
dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Baqarah ayat 184,
firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :
“(Puasa yang diwajibkan itu ialah) dalam beberapa hari yang
tertentu; maka barangsiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir,
(bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang
dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak
berdaya puasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan
orang miskin. Maka sesiapa yang dengan suka rela memberikan (bayaran fidyah)
lebih dari yang ditentutkan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan
(walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi
fidyah), kalau kamu mengetahui.”
Pemahaman daripada ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa terdapat
golongan tertentu yang diberikan pengecualian berpuasa wajib di bulan Ramadan
dan digantikan dengan membayar fidyah. Dalam kitab Ma'alim al-Tanzil
karya Imam al-Baghawi, dinyatakan beberapa penafsiran kepada ayat tersebut.
Antara lain disebutkan bahawa Qatadah berpendapat ayat ini adalah khusus untuk
orang tua yang mungkin boleh berpuasa tetapi agak sukar. Al-Hasan pula menyebut
ayat ini ditujukan khas kepada orang sakit yang mungkin mampu untuk berpuasa
tetapi diberikan pilihan untuk mereka tidak berpuasa dan membayar fidyah
sahaja. Sebahagian lain lagi seperti Sa'id bin Jubair menyatakan bahawa ayat
ini bersifat muhkamat (ayat hukum) dan bukannya dimansuhkan. Bagi beliau,
syariat fidyah adalah untuk orang-orang sakit yang tiada harapan untuk sembuh
dan pulih. Pada ayat yang sama, Imam al-Baihaqi dalam kitab Ahkam al-Quran,
beliau menukilkan ungkapan Imam al-Syafie yang mengatakan bahawa sekiranya
seseorang itu tidak mampu untuk berpuasa, bayar fidyah.
Pensyariatan fidyah juga dalam kita lihat dalam sebuah hadith
riwayat Tirmizi, daripada Abdullah bin Umar RA, bahawasanya Nabi SAW bersabda
yang bermaksud :
“Barang siapa yang mati sedangkan dia masih mempunyai puasa
Ramadan, hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setiap hari yang
ditinggalkan bagi pihaknya.”
Maka jelaslah kepada kita sesungguhnya fidyah itu merupakan
pensyariatan oleh Allah SWT untuk para hamba Nya. Oleh itu secara tidak
langsung kita akan dapat mengetahui pula siapakah gerangan golongan yang diperintahkan
untuk membayar fidyah. Sebelum itu, harus ditegaskan bahawa hukum membayar
fidyah adalah wajib. Hal ini kerana fidyah merupakan satu bentuk gantian yang
diberi pahala oleh Allah kepada pelakunya. Hukum menyempurnakan ibadah adalah
wajib. Maka secara langsung fidyah yang disebut sebagai gantian kepada
kesempurnaan ibadah adalah wajib dilakukan agar tujuannya ialah untuk
menyempurnakan ibadah. Dalam beberapa keadaan, terdapat sekurang-kurangnya
empat sebab yang dituntut untuk membayar fidyah menurut syarak. Pertama, wajib
fidyah bagi mereka yang meninggalkan puasa kerana tua. Ini bermakna bagi mereka
yang berumur senja atau lanjut usia yang tidak mampu berpuasa, maka diwajibkan
padanya membayar fidyah.
Bagi sebab yang kedua, ialah meninggalkan puasa kerana sakit
kronik. Penyakit kronik merujuk kepada maksud sakit yang berpanjangan dan tidak
dapat diharapkan untuk sembuh. Bagi keadaan yang sedemikian, diwajibkannya
untuk membayar fidyah. Selain itu, pada sebab yang ketiga pula ialah
meninggalkan puasa kerana hamil atau menyusukan anak. Dalam keadaan ini, para
wanita yang bergelar ibu, sedang hamil dan sedang menyusukan anak, boleh
meninggalkan puasa wajib kerana dibimbangi akan memberi kesan kepada tubuh si
ibu dan anak. Namun begitu, menurut jumhur ulama (majoriti), sekiranya
meninggalkan puasa kerana bimbang akan keselamatan anaknya, maka diwajibkan
keatasnya membayar fidyah dan menggantikan puasa. Tetapi sekiranya si ibu
meninggalkan puasa kerana bimbang akan keselamatan dirinya, maka untuknya wajib
ganti puasa tanpa perlu membayar fidyah. Selain itu, pendapat dalam mazhab
Maliki pula menyebut wajib menggantikan puasa dan fidyah hanya dikenakan kepada
wanita yang menyusukan anak manakala wanita hamil wajib menggantikan puasa
tanpa perlu membayar fidyah.
Dalam pada masa yang sama, sebahagian pandangan dikalangan para
sahabat Nabi SAW seperti Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan Ibn Sirin, mereka
berpandangan bahawa jika wanita itu tidak kira sama ada kerana hamil mahupun
kerana menyusukan anak merasa bimbang terhadap anak dan dirinya, maka
memadailah bagi orang tersebut untuk meninggalkan puasa dan hanya membayar
fidyah. Sebab keempat dan terakhir, yang membolehkan diri manusia meninggalkan
puasa dan wajib membayar fidyah ialah melewatkan gantian puasa. Ini bermakna,
bagi mereka yang menangguhkan puasa ganti sehingga telah memasuki bulan Ramadan
yang seterusnya, maka bagi dirinya diwajibkan fidyah. Namun begitu, para ulama
berbeza pandangan mengenai gandaan fidyah kerana telah melangkaui tahun.
Menurut pendapat muktamad dalam mazhab al-Syafie, fidyah menjadi berganda
dengan langkauan tahun. Berbeza pula dengan mazhab Maliki dan Hanafi apabila
mereka menyatakan tidak berlaku gandaan.
Demikianlah serba ringkas mengenai syariat fidyah. Adapun soal
kadar bayaran fidyah yang perlu dibayar, tentu sekali dalam konteks ini
tertakluk dibawah bidang kuasa negeri masing-masing dalam usaha menentukan
kadar tersebut. Begitu juga soal gandaan fidyah. Ianya juga tertakluk dibawah
fatwa negeri masing-masing. Hukuman fidyah puasa ialah memberi makan dan minum
kepada golongan fakir dan miskin. Oleh itu jika ada dikalangan kita yang tidak
tahu mencari fakir dan miskin, memadailah dengan kita membayar fidyah kepada
pihak yang berautorit. Sesungguhnya pensyariatan fidyah ini melambangkan
kerahmatan Allah terhadap para hamba Nya. Oleh kerana itu, kita akan melihat di
antara hikmah pensyariatan fidyah tersebut ialah sebagai rukhsah atau
keringanan bagi mereka yang tidak mampu melakukan ibadah secara badaniyyah
(badan) dengan menggantikannya dalam bentuk maliyyah (harta benda). Semoga
Allah SWT merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan