Selasa, 7 Januari 2025

HAKIKAT KEPERCAYAAN TERHADAP AZAB KUBUR

 

Kematian merupakan suatu kepastian yang akan berlaku. Setiap yang bernyawa pastinya akan menghadapi saat kematian yang datang tanpa di duga dan bertandang tanpa disapa. Jika ditanya apakah syarat kelayakan untuk berhadapan dengan kematian ? Tentu sekali jawapan tepat bagi persoalan ini ialah hidup. Ya sememangnya syarat untuk mati adalah hidup. Kita mungkin beranggapan persoalan berhubung kematian berkait rapat dengan faktor usia dan kesihatan, namun dunia telah banyak menyaksikan kematian mengejut berlaku pada setiap manusia merentasi usia dan kesihatan. Kematian adalah proses perpindahan alam daripada alam dunia menuju ke alam barzakh atau disebut sebagai alam kubur. Sebagai seorang Islam, kita wajib mempercayai akan hakikat kebenaran tentang kewujudan nikmat dan azab di dalam kubur. Mempercayai akan kewujudan azab kubur merupakan antara perkara yang dituntut oleh Islam dan kita mestilah berusaha memohon dijauhi daripada terkena azab kubur.

Perkataan azab berasal dari bahasa Arab. Pada sudut bahasa, menurut kamus al-Munjid Fi al-Lughah Wa al-A'lam karya Louis Ma'luf, perkataan azab bermaksud hukuman, balasan, seksaan, teguran bagi umat yang melanggar larangan agama. Selain itu, Prof Quraish Shihab, pengarang kitab Tafsir al-Mishbah, beliau menyatakan bahawa azab adalah suatu kemurkaan Allah akibat pelanggaran yang dilakukan oleh manusia iaitu pelanggaran sunnatullah di alam semesta dan pelanggaran syariat Allah yang diturunkan kepada Nabi dan Rasul Nya termasuk Nabi Muhammad SAW. Perkataan azab pada sudut istilah pula difahami sebagai iqab (hukuman). Walaupun hakikatnya terdapat perbezaann antara iqab dan azab. Iqab atau hukuman di sisi Allah ialah Allah menghukum diatas perbuatan hamba Nya manakala azab pula adalah bentuk dari hukuman Allah.




Pada sisi fahaman Ahlus Sunnah wal Jamaah, menjadi kewajiban bagi orang yang beriman untuk menyakini akan kebenaran tentang adanya azab kubur yang mendatangkan penyeksaan terhadap mereka yang melampaui batas. Bertentangan dengan Ahlus Sunnah wal Jamaah, terdapat sebahagian kelompok umat manusia yang menolak kepercayaan tentang kebenaran wujudnya azab kubur. Ini sebagaimana yang dipegang oleh gerakan sesat seperti Khawarij dan Muktazilah. Bagi mereka, azab kubur tidak ada dan tidak wujud diatas beberapa alasan. Antara lain alasan mereka ialah azab kubur adalah suatu perkara yang tidak rasional. Bagi mereka juga, persoalan mengenai azab kubur hanyalah masalah perbezaan pendapat dan bukannya perkara pokok dalam Islam. Selain itu mereka juga beranggapan dalil dan hujah tentang azab kubur saling bertentangan. Hakikatnya, kesemua alasan dam hujah mereka untuk menolak azab kubur tersebut telah banyak dijawab dan dihuraikan oleh para ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Sesungguhnya persoalan mengenai azab kubur adalah merupakan perkara yang berbentuk ghaib yang tidak dapat dicapai oleh akal manusia melainkan merujuk sumber yang paling sahih iaitulah al-Quran dan al-Hadith. Untuk itu, bagi menjawab segala persepsi sesat tersebut, beberapa dalil dan hujah dapat kita lihat berdasarkan wahyu Allah SWT. Antaranya firman Allah SWT di dalam al-Quran, menerusi surah al-Ghafir ayat 45-46, firman Nya yang bermaksud :

“Dan Firaun beserta pengikutnya dikepung oleh azab yang sangat buruk. Kepada mereka dinampakkan neraka pada pagi dan petang, dan pada hari terjadinya kiamat (dikatakan kepada mereka): “Masukkan Firaun dan kaumnya ke dalam azab yang sangat keras.”

Menurut Imam al-Qurtubi di dalam kitab tafsirnya, beliau menjelaskan bahawa jumhur (majoriti) ulama mengatakan perkataan ayat tersebut menunjukkan mereka berada di alam barzakh ketika dinampakkan neraka dan ini adalah hujjah bagi adanya adzab kubur. Selain itu, Sayyid Qutb pula menyebut ayat ini menyatakan bahawa mereka didedahkan kepada neraka pada waktu pagi dan petang iaitu dalam tempoh selepas mati hingga berikutnya kiamat. Mungkin azab ini ialah azab kubur. Dalam ayat yang lain, firman Allah SWT di dalam surah al-An'am ayat 93 yang bermaksud :

"Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan “sakaratul-maut” (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri), pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar, dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keterangan-Nya".




Imam Ibnu Kathir di dalam kitab tafsirnya ketka menafsirkan ayat tersebut, beliau menyatakan bahawa jika orang kafir mengalami nazak sakaratul maut, maka malaikat akan membawakan kepadanya berita gembira berupa azab, belenggu, rantai, neraka Jahim, air panas yang bergolak, dan kemurkaan Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyanyang, kerana itu nyawanya bergejolak dalam jasadnya dan enggan keluar darinya. Kemudian Malaikat memukulnya sehingga roh mereka keluar dari jasadnya. Demikian ulasan Ibnu Kathir megenai ayat tersebut. Maka berdasarkan penafsiran ini, dapatlah disimpulkan bahawa melalui ayat ini Allah SWT memberitahu kepada kita bahawa wujudnya azab kubur sebelum dibalas pada hari yang sebenar iaitulah setelah dibangkit daripada alam kubur.

Selain ayat al-Quran, turut menjelaskan tentang kebenaran azab kubur ialah daripada hadith baginda Nabi Muhammad SAW. Antara lain di dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesungguhnya seorang hamba jika diletakkan di dalam kuburnya dan ditinggalkan oleh pengantarnya- dan dia mendengar suara sandal mereka – ia didatangi oleh dua malaikat dan didudukkan, lalu keduanya bertanya : “Apa yang kamu ketahui tentang perihal orang ini, maksudnya Muhammad SAW, maka orang mukmin akan menjawab : Saya bersaksi bahwa dia adalah hamba Allah dan Rasul-Nya. Lalu dikatakan : “Lihatlah kepada tempat dudukmu dari neraka, Allah telah menggantikannya untukmu tempat duduk syurga, lalu ia melihat kepada keduanya sekaligus”. “Adapun orang munafik dan orang kafir maka mereka menjawab : Saya tidak tahu, saya dulu meniru ucapan orang-orang. Maka dikatakan : Kamu tidak tahu, kamu tidak baca (al-Qur’an) (atau tidak mengikuti orang yang tahu”, kemudian dia dipukul sekali dengan palu godam yang dibuat dari besi, maka ia menjerit dengan jeritan yang boleh didengar oleh seluruh makhluk yang ada di sekitarnya selain manusia dan jin”.

Demikian sebahagian dalil dan hujah daripada al-Quran dan al-Hadith bagi menjelaskan tentang hakikat kebenaran azab kubur. Sebenarnya terdapat banyak lagi ayat al-Quran dan hadith yang memperkatakan tentang hal ini. Ini membuktikan dengan kuat bahawa azab kubur adalah benar dan memang wujud. Syeikh al-Buti di dalam kitabnya, al-Kubra al-Yaqiniyyat al-Kauniyyah, beliau menyebut bahawa :

“Jika engkau bertanya: “Bagaimana boleh berlakunya soal dan jawab sedangkan insan mati dalam berbagai keadaan?” Jawapannya: Sesungguhnya perkara ini dalam ruang apa yang boleh berlaku, bukan daripada perkara-perkara yang mustahiL, bukan susah bagi Allah Jalla Jalaluh untuk membalikkan kehidupan sekali lagi di atas zarah-zarah jasad, sama ada ia berhimpun dalam kubur, atau bertebaran di bumi yang luas, atau bertaburan dalam perut binatang buas. Lalu Allah jadikan dia sedar soal-jawab kubur dan melihat malaikat yang bertanya dan bercakap dengannya. Tidak ada kepentingan kehendak engkau untuk mengetahui cara bagaimana ia berlaku. Ini kerana kehidupan selepas kematian berkait dengan sistem yang lain, yang benar-benar berbeza dengan sistem kehidupan alam yang kita lihat”.

Berdasarkan nukilan ini, jelaslah bahawa tiada lagi alasan untuk tidak mempercayai kebenaran azab kubur. Sesungguhnya menolak kebenaran akan kewujudan azab kubur ini boleh mengundang kepada kekufuran. Maka marilah bersama kita memperteguhkan iman dengan menyakini akan kewujudan azab kubur. Semoga Allah SWT memberkati dan merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan