Penciptaan setiap makhluk di muka bumi ini memiliki keunikan dan
keistimewaannya yang tersendiri. Bermula daripada sekecil-kecil ciptaan makhluk
sehingga yang sebesarnya, pada tiap-tiap penciptaan itu pastinya mempunyai
hikmah dan pengajaran untuk manusia renungi. Lebih istimewa dan unik lagi
apabila Allah SWT menjadikan makhluk yang bernama manusia ini memiliki sifat
fitrah semulajadi yang tidak dapat disangkal oleh sesiapa pun. Sebagai contoh,
menjadi fitrah bagi setiap manusia memiliki kecenderungan tertarik kepada yang
berlainan jantina. Maka sesuai dengan naluri insan, dijadikan kaum lelaki itu
sebagai pasangan untuk kaum perempuan. Begitu juga sebaliknya kaum perempuan
diciptakan sebagai pasangan hidup bagi kaum lelaki.
Berdasarkan asas penciptaan manusia yang berlatarkan kepada gender
berbeza, maka tujuan perbezaan tersebut dapat difahami ianya sebagai pelengkap
kepada kehidupan di dunia ini. Ini bermakna, perbezaan gender bukan bertujuan
untuk bergaduh, berbalah antara gender dan sebagainya namun sebagai
melengkapkan kehidupan manusiawi. Sememangnya Allah SWT lah yang menjadikan
setiap makhluk itu berpasangan. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT
di dalam al-Quran, menerusi firman Nya dalam surah Yasin ayat 36 yang bermaksud
:
"Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk
semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri
mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya."
Oleh itu, manusia diiktiraf mengikut gender yang ditakdirkan oleh
Allah SWT. Sama ada bergender lelaki atau perempuan, ianya adalah ketentuan
Allah SWT dan mustahil Allah silap dalam menentukan gender para hamba Nya. Maka
kita mestilah hidup sebagai hamba Allah SWT mengikut jantina yang ditakdirkan
kepada kita. Bertentangan dengan hal tersebut, sesungguhnya kita dilarang dan
ditegah oleh Islam untuk hidup dengan menyerupai berlainan jantina. Dalam erti
kata yang mudah, Islam melarang umatnya daripada lelaki menyerupai perempuan
dan sebaliknya perempuan menyerupai lelaki. Dalam istilah syarak, penyerupaan
disebut sebagai "Tasyabbuh". Secara literal,
penyerupaan lainan jantina ini difahami dengan ungkapan seperti pondan
atau mak nyah (lelaki menyerupai perempuan) dan perkataan tomboy
(perempuan menyerupai lelaki). Pada sudut agama, kedua-dua penyerupaan ini
disebutkan sebagai tasyabbuh.
Konsep "Tasyabbuh" yang merujuk kepada makna
penyerupaan lainan gender ini dapat dilihat dalam perbahasan hukum melibatkan
lima perkara penyerupaan. Antara lain penyerupaan dari segi pakaian, perhiasan,
percakapan dan suara, gaya berjalan dan gerak badan serta mengubah
bentuk fizikal badan. Ini bermaksud, Islam melarang umatnya daripada
menyerupai lainan gender yang membabitkan lima perkara tersebut. Kita dilarang
untuk memakai pakaian yang berlainan gender, juga dilarang untuk memakai
perhiasan yang khusus untuk gender tertentu, serta dilarang untuk bercakap
dengan intonasi suara, meniru gaya berjalan dan mengubah fizikal yang berlainan
gender dengan diri kita. Kesemuanya bentuk penyerupaan itu hukumnya adalah
haram. Hal ini sepertimana yang telah ditegaskan oleh baginda Nabi Muhammad SAW
dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Ibnu Abbas RA, dalam sabda Nabi
SAW yang bermaksud :
"Nabi SAW telah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan
orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki".
Selain itu, terdapat hadith lain riwayat Bukhari, Abu Daud,
al-Tirmizi dan Ibnu Majah, sabda baginda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :
“Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang menyerupai
perempuan dan orang yang menyerupai kaum lelaki daripada kalangan perempuan.”
Dalam membahaskan maksud hadith tersebut, al-Hafiz Abul 'Ula
Muhammad bin Abdurrahman al-Mubarakfuri menyebutkan ungkapan oleh Imam
al-Tabari di dalam kitabnya, Tuhfaz al-Ahwazi bi Syarh Jami' al-Tirmizi,
dengan menyatakan bahawa tidak boleh bagi lelaki menyerupai perempuan di dalam
bab pemakaian dan perhiasan yang telah dikhususkan buat kaum perempuan dan
begitulah sebaliknya. Demikian pula menurut Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani
dalam kitabnya, Fath al-Bari, beliau menyatakan bahawa tidak boleh
menyerupai di dalam percakapan dan cara berjalan manakala dari segi pemakaian
pula berbeza mengikut adat pemakaian sesuatu tempat dan kaum. Selain itu, Imam
al-San'ani dalam kitabnya, Subul al-Salam, menyatakan bahawa laknat
Rasulullah SAW terhadap maksiat itu menunjukkan kepada besarnya dosa tersebut.
Dalil tersebut menunjukkan keharaman untuk menyerupai perempuan bagi lelaki dan
sebaliknya.
Turut menjelaskan keharaman tersebut ialah Imam al-Syaukani dalam
kitabnya, Nail al-Awtar. Beliau menyebut bahawa hadith tersebut menjadi
dalil hujah akan pengharaman keatas lelaki menyerupai perempuan dan perempuan
menyerupai lelaki dalam percakapan, pemakaian dan selainnya. Dalam kitab 'Umdah
al-Qari, Imam Badr al-Din al-'Aini pula menyebut celaan laknat ini adalah
pada perbuatan orang lelaki menyerupai orang perempuan dari sudut pakaian dan
juga perhiasan yang khusus buat orang perempuan seperti memakai serkup kepala,
rantai, gelang, gelang kaki, dan juga anting-anting. Dalam pada itu, Syeikh
Muhammad Soleh al-Uthaimin dalam komentar terhadap hukum tersebut menyebutkan
bahawa pengharaman demikian kerana penyerupaan boleh membawa kepada kecacatan
sunnatullah pada makhluk Nya yang diciptakan lelaki dan perempuan. Selain itu,
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili pula menyebut di dalam kitabnya, al-Fiqh
al-Islami wa Adillatuh, bahawa hukumnya haram lelaki menyerupai perempuan
dan begitu juga sebaliknya perempuan menyerupai lelaki.
Maka berdasarkan dalil, hujah dan penjelasan oleh para ulama, jelas
lah kepada kita bahawa setiap perbuatan yang berbentuk penyerupaan yang
berlawanan atau bertentangan dengan jantina adalah haram hukumnya. Oleh itu
jika dipersoalkan pula mengenai hukum berlakon menyerupai lainan gender,
jawapannya tetap haram. Apatah lagi jika penyerupaan tersebut berupa memakai
pakaian yang berlawanan gender. Ini kerana terdapat sebuah hadith Nabi SAW yang
jelas melarang keras daripada memakai pakaian yang berlawanan gender. Ini
sebagaimana yang disebutkan oleh baginda Nabi dalam hadith riwayat Abu Daud,
daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian
perempuan dan orang perempuan yang memakai pakaian lelaki.”
Telah berkata Imam al-Zahabi ketika mengulas hadtih tersebut dengan
menyebut apabila wanita memakai pakaian yang dipakai oleh lelaki dan berlagak
seperti seorang lelaki, dengan pakaiannya yang serba sempit, yang kelihatan
jelas bentuk tubuh badannya, maka yang demikian itu dia sudah menyerupai lelaki
dan dia sudah berhak menerima kutukan Allah SWT dan Rasul-Nya.Demikianlah
penegasan oleh Imam al-Zahabi. Oleh itu, rumusan yang boleh dibuat berdasarkan
penjelasan ini, sesungguhnya Islam sangat melarang keras dan menegah
penganutnya daripada melakukan perbuatan menyerupai watak berlainan gender.
Penyerupaan yang diharamkan tersebut merangkumi semua perkara seperti
percakapan, pemakaian, gaya berjalan, intonasi suara dan sebagainya. Selain
baginda Nabi SAW dengan jelas melaknat sesiapa yang melakukan perbuatan
penyerupaan berlainan gender tersebut. Apa jua tujuan untuk melakukan
penyerupaan termasuk bertujuan untuk lakonan, jualan dan promosi barangan,
hukumnya tetap haram. Sebaiknya kita perlu mengelak daripada melakukan hal
tersebut. Selain kita juga perlu memastikan ahli keluarga kita tidak terjerumus
di dalam perbuatan yang dilaknat tersebut. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan