Perbuatan yang melambangkan ketaatan yang juga dinamakan sebagai
ibadah adalah penghubung antara manusia dengan Tuhan. Ketaatan yang diluhurkan
kepada Tuhan tercipta diatas manifestasi keimanan yang kuat. Dalam Islam,
ibadah dapat dibahagikan kepada empat bentuk utama. Pertama, disebut sebagai
ibadah Qalbiyah (ibadah yang melibatkan jantung hati) seperti rasa
syukur, sabar dan ikhlas. Kedua, dinamakan sebagai ibadah Amaliyyyah
(ibadah yang melibatkan perbuatan) seperti solat dan puasa. Ketiga ialah ibadah
Qauliyah (ibadah yang melibatkan ucapan) seperti zikir dan doa. Keempat
ialah ibadah Maaliyah (ibadah yang melibatkan harta) seperti zakat dan
sedekah. Pada ibadah haji dan umrah, terangkum di dalamnya semua bentuk
peribadatan tersebut dan ianya dianggap sebagai kemuncak ketaatan kepada Allah.
Haji dan umrah merupakan ibadah yang mempunyai sejarah terpanjang.
Dalam catatan lembaran ahli sejarawan, ibadah haji dan umrah bukanlah suatu
ibadah baharu bahkan telah dilakukan oleh para Nabi dan Rasul yang terdahulu. Menurut
pandangan majoriti ulama, ibadah haji disyariatkan pada tahun ke-9 hijrah. Ungkapan
"Haji" berasal dari bahasa Arab. Pada sudut pemahaman
bahasa, Ibnu Manzur dalam kitabnya, Lisan al-Arab menyatakan haji
membawa maksud menuju atau mengunjungi ke sesuatu tempat. Selain itu, Ibnu
Faris dalam kitabnya, Maqayis al-Lughah, menyebut pula haji ialah menuju
ke Baitul Haram bagi mengerjakan manasik. Perkataan haji dalam pemahaman
istilah pula dapat dibahagikan empat pandangan utama. Pandangan pertama
sebagaimana yang dinukilkan oleh Abu al-Barakat al-Nasafi di dalam kitabnya, Kanz
al-Daqa'iq, dikalangan ulama mazhab Hanafi, haji difahami sebagai
menziarahi tempat tertentu pada masa tertentu dengan amalan tertentu.
Pandangan kedua seperti yang dinyatakan oleh Syeikh al-Dardir dalam
kitab al-Syarh al-Kabir li al-Syeikh al-Dardir wa Hasyiah al-Dusuqi,
ulama mazhab Maliki memahami haji sebagai berwukuf di Arafah, mengerjakan tawaf
di Baitullah sebanyak tujuh pusingan, melakukan saie antara Safa dan Marwah,
demikianlah juga dalam bentuk tertentu dengan berihram. Selain itu, pandangan
ketiga pula, di sisi ulama mazhab al-Syafi'e, sebagaimana yang terdapat dalam
kitab al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafi'e, haji membawa maksud mengunjungi
Kaabah bagi mengerjakan manasik atau menuju ke Makkah bagi mengerjakan
amalan-amalan tertentu pada masa-masa tertentu. Pandangan keempat pula seperti
yang dijelaskan oleh al-Buhuti dalam kitab Syarh Muntaha al-Iradat, pada
sisi ulama mazhab Hanbali menyebut haji sebagai mengunjungi Makkah bagi
mengerjakan amalan-amalan tertentu pada masa-masa tertentu.
Berdasarkan definisi yang pelbagai dikemukakan, dapat dirumuskan
bahawa ibadah haji ialah bermaksud suatu perjalanan menuju ke tempat tertentu
iaitu Baitullah dan Arafah, pada waktu-waktu tertentu iaitu bulan-bulan haji
bagi tujuan melakukan amalan-amalan khusus iaitu berwukuf di Arafah, ibadah
tawaf, ibadah saie serta amalan haji yang lain dengan syarat-syarat yang
khusus. Ibadah haji adalah salah satu rukun Islam. Oleh itu, ibadah haji
menjadi kewajiban kepada seluruh umat Islam baik lelaki mahupun perempuan yang
berkemampuan untuk melaksanakannya. Pelaksanaan ibadah haji adalah wajib hanya
sekali seumur hidup. Jika dilakukan lebih dari sekali hal tersebut dikira
sebagai sunat. Pensyariatan ibadah haji berdasarkan firman Allah SWT dalam
surah Ali-Imran ayat 97 yang bermaksud :
“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan
mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”
Berdasarkan ayat ini, Allah SWT mengikat pelaksanaan ibadah haji
dengan syarat berkemampuan. Menurut Ibn Hazm di dalam kitabnya, al-Muhalla,
yang dimaksudkan oleh Allah pada perkataan berkemampuan tersebut bukanlah pada
kekuatan jasmani. Ini kerana tentu sekali Allah SWT tidak akan pernah
membebankan seseorang melainkan apa yang mampu ditanggungnya. Selain Imam Ibn
Kathir pula menyebut dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Quran al-Azim,
kemampuan bermaksud kekuatan seseorang dari sudut (dia mengerjakan haji) untuk
dirinya dan orang lain. Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Idhah,
menyebutkan bahawa pada maksud kemampuan itu terbahagi kepada dua iaitu kemampuan
secara langsung dengan dirinya dan kemampuan untuk mengerjakan dengan
orang lain. Kemampuan dengan dirinya pula ialah seperti mampu mengadakan
bekalan dan perbelanjaan untuk diri dan saraan nafkah mereka yang ditinggalkan.
Selain itu, mampu mendapatkan kenderaan untuk pergi dan balik. Sihat tubuh
badan, aman dalam perjalanan serta berkesempatan masa.
Perkataan "Umrah" pula juga berasal dari
bahasa Arab. Pada sudut bahasa, sebagaimana yang terdapat dalam kitab al-Mausu'ah
al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, umrah bermaksud ziarah. Manakala umrah pada
sudut istilah pula seperti yang telah disepakati oleh kebanyakkan ulama adalah
tawaf di Baitullah dan saie diantara Safa dan Marwah dengan ihram. Berkenaan
hukum melaksanakan ibadah umrah, berbeza dengan ibadah haji apabila para ulama
berselisih pendapat mengenai hukum melaksanakannya. Pendapat pertama,
sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Abu Bakar al-Kasani, di sisi ulama mazhab
Maliki dan majoriti ulama mazhab Hanafi, hukum melaksanakan umrah adalah sunat
dan tidak wajib. Majoriti ulama mazhab Hanafi pula menambah ianya adalah sunat
mua'kkad iaitu sunat yang sangat dituntut. Selain terdapat sebahagian lagi
ulama dalam mazhab Hanafi menyatakan hukum umrah adalah wajib sekali seumur
hidup.
Pendapat kedua, pada sisi pandangan yang lebih kuat dalam mazhab
Syafi'e dan mazhab Hanbali, hukum melaksanakam umrah adalah fardhu. Pendapat
ini juga telah dipilih oleh Imam al-Bukhari. Berdasarkan dalam kitab al-Majmu'
Syarh al-Muhazzab, Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa pendapat yang sahih
dalam mazhab Syafi'e dengan kesepakatan para ashab (ulama mazhab Syafi'e) hukum
umrah adalah fardhu. Ini juga merupakan pendapat Umar, Ibnu Abbas, Ibnu Umar,
Jabir, Tawus, Imam Hassan al-Basri, Ibn Sirin dan lain-lain. Selain itu,
al-Nawawi juga menyebut umrah adalah difardhukan kepada mereka yang mampu sama
sepertimana kefardhuan ibadah haji. Imam Ibnu Qudamah pula dalam kitabnya, al-Mughni,
menjelaskan bahawa umrah diwajibkan keatas sesiapa yang diwajibkan haji. Demikianlah
bagaimana para ulama berbeza pendapat dalam menyatakan hukum melaksanakan
ibadah umrah. Secara jelas, boleh kita simpulkan bahawa hukum melaksanakan
ibadah haji dan umrah adalah wajib sekali seumur hidup dan jika dilakukan
berulangan maka ianya dikira hukum sunat.
Dalam pada pelaksanaan ibadah haji dan umrah, terdapat beberapa
perbezaan yang membezakan antara haji dan umrah. Antara perbezaan tersebut
ialah ibadah haji dilakukan pada bulan-bulan haji sahaja iaitu bermula pada 1
Syawal sehingga terbit fajar 10 Zulhijjah. Berbeza pula dengan ibadah umrah
yang boleh dilaksanakan pada bila-bila masa sepanjang tahun. Selain itu, ibadah
haji tanpa berbeza pendapat, hukumnya wajib bagi mereka yang mampu manakala
ibadah umrah pula ada yang menyebut hukumnya sunat menurut pandangan mazhab
Maliki dan Hanafi. Tambahan lagi, ibadah haji padanya memerlukan kita untuk berwukuf
di Arafah pada hari 9 Zulhijjah, bermalam di Muzdalifah dan di Mina selain
perlu melakukan ibadah melontar di Jamrah. Berbeza dengan ibadah umrah yang
padanya tidak perlu kepada perkara yang dinyatakan tadi. Demikian antara yang
dapat disebut mengenai perbezaan dalam melaksanakan ibadah haji dan umrah.
Sesungguhnya pelaksanaan ibadah haji dan umrah yang menjadi lambang syiar agama
Islam menjadi cita-cita dan impian kebanyakan orang Islam. Semoga Allah
permudahkan bagi kita menjejak kaki ke sana. Semoga Allah mengampuni kita
semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan