Dalam catatan lembaran sejarah dunia, kegawatan ekonomi merupakan
antara cabaran terbesar yang akan di hadapi oleh kebanyakan negara khususnya
negara yang berstatus membangun. Tanpa menafikan, negara berkuasa besar juga
tidak terkecuali dari berhadapan dengan pelbagai siri krisis ekonomi dunia.
Seperti yang dicatatkan, Amerika Syarikat pada tahun 1837, diselubungi oleh
krisis ekonomi akibat daripada spekulasi tanah, dasar perbankan yang buruk dan
kejatuhan harga kapas. Krisis bersejarah itu dikenali sebagai Panic of 1837.
Sebelum itu, sekitar tahun 1720 di England, saham South Sea Company mengalami
kejatuhan mendadak. Sekaligus menyebabkan kerugian besar kepada pelabur dan
menimbulkan krisis kepercayaan terhadap pasaran saham. Demikian sebahagian
catatan sejarah krisis ekonomi yang turut mengheret negara berkuasa besar.
Dalam menangani ketidak tentuan ekonomi, agama Islam sebagai agama
yang lengkap dan sempurna ajarannya, telah memberikan jalan keluar dengan
memperkenalkan kaedah dan cara untuk memastikan ekonomi menjadi stabil. Kaedah
dan cara tersebut dikenali sebagai zakat. Perkataan zakat berasal dari bahasa
Arab. Pada sudut bahasa, zakat bermaksud berkembang, berkat atau kebaikan yang
banyak. Pada sudut istilah pula, ungkapan zakat bermaksud nama bagi kadar
tertentu harta yang tertentu yang diagihkan kepada golongan tertentu dengan
syarat-syarat yang tertentu. Umum mengetahui, zakat merupakan salah satu rukun
Islam yang menjadi syariat kewajiban kepada setiap orang Islam. Ini berdasarkan
firman Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Taubah ayat 103 yang
bermaksud :
"Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah
(zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan
mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana
sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah
Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui"
Tidak keterlaluan untuk kita katakan bahawa zakat mampu dijadikan
sebagai instrumen pertumbuhan ekonomi. Pertumbuhan ekonomi boleh difahami
sebagai peningkatan dalam kegiatan ekonomi yang menyebabkan pertambahan
keluaran (KDNK benar) dalam sesebuah ekonomi. Selain itu, pertumbuhan ekonomi
juga boleh difahami sebagai pembangunan ekonomi berbentuk fizikal seperti
pertambahan keluaran barang dan perkhidmatan, pertambahan infrastruktur dan
peningkatan pembangunan ekonomi lain. Maka berdasarkan apa yang telah
dijelaskan, zakat sebagai suatu instrumen boleh menjadi pendorong dan
penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang sihat. Hal ini dapat dikesan melalui
naik dan turun graf ekonomi. Secara tidak langsung, graf ekonomi akan
memberikan aruhannya kepada zakat.
Dalam perkiraan mudah, berdasarkan graf ekonomi yang dilakarkan,
kenaikan graf ekonomi bermaksud kekayaan yang meningkat. Maka secara logiknya,
kekayaan yang meningkat secara langsung akan menghasilkan kutipan zakat juga
meningkat. Sebaliknya, jika graf ekonomi menunjukkan penurunan maka secara
langsung juga akan mempengaruhi hasil kutipan zakat. Oleh kerana itu, adalah
sangat mudah kita mengetahui tahap kekayaan umat Islam iaitu dengan melihat
berdasarkan prestasi kutipan zakat. Sebagai contoh mudah, jika hasil kutipan
zakat dalam sesuatu sektor seperti sektor zakat pendapatan menurun, ini
bermakna ada sesuatu yang berlaku kepada umat Islam seperti pemberhentian
pekerja yang sekaligus menjadi punca kepada zakat pendaptan yang menurun
kutipannya. Sehubungan itu, pihak yang berwajib seharusnya memanfaatkan zakat
dengan sebenar-benarnya agar mencapai tujuan untuk memberikan manfaat kepada
pembangunan ekonomi negara.
Sebagaimana yang telah kita katakan, zakat sebagai sebuah instrumen
dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Perkara ini dapat
dilaksanakan sekiranya kita memahami peranan dan fungsi zakat dengan
sebenar-benarnya. Antara fungsi dan peranan zakat yang boleh dimainkan dalam
usaha mencapai pertumbuhan ekonomi yang sihat, adalah dengan memahami zakat
sebagai pencairan harta untuk membantu golongan asnaf. Zakat pada fungsinya
boleh dicairkan hartanya bertujuan untuk membantu 8 golongan asnaf yang telah
termaktub di dalam al-Quran. Lapan golongan tersebut ialah golongan fakir,
miskin, amil (pengutip zakat), mualaf, orang yang
dimerdekakan, golongan yang berhutang, golongan yang berjuang
pada jalan agama dan golongan yang dalam perjalanan yang memerlukan
bantuan. Lapan golongan tersebut adalah menjadi sasaran untuk peruntukkan
zakat. Dengan membantu golongan yang memerlukan ini, ianya dapat membantu
berlakunya aktiviti ekonomi di peringkat bawahan. Ini kerana kegawatan ekonomi
akan paling dirasai oleh mereka yang berada di peringkat bawah.
Selain itu, zakat juga sebagai instrumen pertumbuhan ekonomi boleh
dikembangkan kepada aspek kredit mikro seperti Qardhul al-Hasan.
Ungkapan Qardhul al-Hasan boleh difahami sebagai suatu pinjaman ikhlas atau
pinjaman yang tidak melibatkan faedah atau syarat tambahan pada saat
pengembalian pinjaman. Pengembangan fungsi zakat sebagai pinjaman modal secara
tidak langsung dapat membantu orang Islam yang berada pada jurang kemiskinan
bangkit kembali dengan meneruskan usaha mencari rezeki. Keadaan ini sama
seperti membantu para peniaga dikalangan orang Islam untuk mendapatkan
sumbangan zakat bagi menyokong usaha perniagaan tersebut menjadi lebih maju dan
berjaya. Jika dibandingkan dengan pinjaman modal dari agensi lain, kemungkinan
memberi kesan jangka panjang kepada peminjam untuk mengembalikan semula
pinjaman berserta bayaran tambahan yang dikenakan sebagai syarat pinjaman. Jika
zakat dikembangkan untuk membantu perkara tersebut, tentu sekali mendorong
kepada kestabilan perniagaan dan perusahaan yang dilakukan oleh orang Islam
sekaligus dapat merancakkan lagi aktiviti ekonomi.
Menyedari akan masalah pengangguran yang sentiasa membelenggu
kehidupan terutamanya pada generasi muda, zakat sebagai suatu instrumen ekonomi
boleh membantu para penganggur dengan menyediakan peluang pekerjaan yang
memenuhi permintaan pasaran. Perkara ini dapat dilakukan dengan wujudnya
kerjasama atau jalinan hubungan baik antara pihak badan pengutip zakat dengan
syarikat-syarikat berkepentingan yang boleh membantu membuka peluang pekerjaan.
Melalui zakat, ianya dapat membantu para penganggur dengan disediakan peluang
melalui skim latihan pekerjaan selain dibantu dengan sokongan elaun latihan dan
penginapan. Setelah tamat latihan, mereka yang dibantu tersebut boleh ditawar
untuk mengisi kekosongan pekerjaan di syarikat tersebut sekaligus mereka ini
telah berjaya mendapat pekerjaan dan mampu memiliki pendapatan tetap sendiri.
Dengan cara seperti ini, sekurang-kurangnya masalah tersebut dapat diselesaikan
hanya dengan manfaat daripada kutipan zakat.
Demikian sebahagian cara yang boleh dimanfaatkan melalui fungsi dan
peranan zakat dalam usaha pertumbuhan ekonomi yang sihat. Pada hakikatnya,
beberapa cara yang disebutkan ini telah pun diaplikasi oleh beberapa badan
kutipan zakat dan ianya menunjukkan kesan langsung yang sangat
memberangsangkan. Telah ramai golongan yang memerlukan bantuan dibantu dan
dibimbing oleh pihak zakat sekaligus berjaya mengeluarkan mereka daripada
kepompong kemiskinan kepada kehidupan yang lebih senang. Harus diakui bahawa
zakat juga bukan sekadar membantu sektor ekonomi semata-mata sebaliknya zakat
turut dapat menyumbang kepada sektor pendidikan dan sosial seperti memberikan
pendidikan percuma, menaja program biasiswa dan seumpamanya. Namun begitu,
zakat harus dipandang sebagai instrumen terpenting juga dalam usaha mendukung
pertumbuhan ekonomi negara. Bagi menggalakkan hal tersebut, kempen kesedaran
menunaikan zakat harus diperkasakan di semua peringkat agar pembangunan ekonomi
dapat dijana dengan baik. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan