Isnin, 10 Mac 2025

LARANGAN MENGHINA SEMBAHAN AGAMA LAIN

 

Agama pada tanggapan umum dianggap sebagai wasilah atau jalan penghubung kerohanian antara manusia dengan ketuhanan yang diyakininya. Agama juga seringkali difahami sebagai pegangan falsafah yang membentuk dan menjana kekuatan rohani dan jasmani insan. Selain itu agama pada pemahaman umum juga ada yang melihat sebagai ritual semata-mata dan ia adalah berbentuk pilihan dan bukannya kewajiban. Walau apapun konotasi yang cuba digambarkan, kebanyakan manusia akan percaya bahawa agama adalah hak eksklusif peribadi dan ianya menjadi salah satu keunikan yang ada pada diri makhluk yang bergelar manusia. Agama umumnya terbina diatas nilai kepercayaan yang bersifat mengukuh. Maka sesuatu kepercayaan yang berbentuk agama pastinya mempunyai nilai sensitiviti yang tersendiri.

Agama pada istilah menurut Islam disebut di dalam bahasa Arab sebagai al-Din. Perkataan al-Din boleh difahami sebagaimana yang dijelaskan oleh Al-Attas di dalam bukunya, Islam : Faham Agama dan Asas Akhlak, al-Din bermaksud suatu gaya atau cara berkelakuan atau perangai setiap insan yang selari, sebati dan sepakat mengikut undang-undang yang adil serta adab dan tatasusila yang luhur. Pada dunia Barat, agama disebut di dalam bahasa Inggeris sebagai religion. Menurut Kamus Dewan, agama bermaksud kepercayaan pada Tuhan dan sifat-sifat serta kekuasaan Tuhan dan penerimaan ajaran dan perintah Nya, kepercayaan pada yang Maha Kuasa. Agama pada dunia Barat yang disebut sebagai religion, telah difahami dan ditafsirkannya dengan berbagai maksud mengikut konteks dan bidang kepakaran masing-masing. Misalnya, menurut Durkheim dalam bukunya berjudul The Elementary Forms of the Religious Life : A Study in Religious Sociology, beliau menyifatkan agama sebagai jalan antara magik dan sains selain agama sebagai sistem kepercayaan yang berkaitan perkara suci.




Walau apapun definisi agama yang digambarkan, kita boleh bersetuju bersama untuk menyatakan bahawa agama tidak boleh dipisahkan dengan nilai kepercayaan yang diyakini. Hal tersebut boleh menjadi sensitif apabila ada yang cuba untuk menghina, mengejek, memperlekehkan dan seumpamanya. Maka dengan itu, Islam sebagai agama yang paling benar dan bersifat kasih sayang, melarang dan menegah penganutnya daripada melakukan perbuatan yang berbentuk menghina agama lain. Perkara ini boleh difahami lagi dengan kita menghayati ketegasan oleh Allah SWT menegah dan melarang hamba Nya menghina sembahan agama lain. Ini sepertimana firman Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-An'am ayat 108 yang bermaksud :

“Dan janganlah kamu memaki dan mencela sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana nanti mereka akan membalas dengan cara memaki Allah melampau-lampau pula tanpa ilmu.”

Dalam pada kita memahami maksud ayat ini, Imam Muhammad Ali al-Sabuni, pengarang kitab Safwah al-Tafasir, menyebutkan bahawa ayat ini bermaksud janganlah kamu memaki atau mencela sembahan-sembahan orang musyrikin dan berhala-berhala mereka kerana mereka kelak akan membalasnya dengan celaan kepada Allah dalam keadaan jahil dan bersifat melampau disebabkan mereka tidak mengetahui kebesaran Allah SWT. Ibn Abbas RAnhuma menyebutkan bahawa orang-orang musyrikin berkata : “Berhentilah daripada menghina tuhan-tuhan kami ataupun kami akan menghina Tuhan kamu.” Maka Allah SWT melarang orang-orang beriman daripada mencela atau memaki berhala-berhala mereka. Selain itu, Imam az-Zamakhsyari menyebut di dalam kitabnya, Tafsir al-Kasyaf, alasan mengapa dilarang mencaci agama lain adalah kerana perbuatan tersebut menyebabkan kerugian bagi umat Islam sendiri dimana mereka akan membalas dengan mencaci agama Islam.




Ketika membicarakan ayat tersebut juga, Imam al-Qurtubi dalam catatan tafsirnya beliau menyebut bahawa hukum larangan menghina agama lain adalah hukum pasti dan tidak boleh diubah dengan apapun alasan. Selama mana di bimbangi akan kaum bukan Islam menghina Islam maka selama itulah juga umat Islam dilarang untuk menghina agama lain. Imam as-Suyuti pula menyebut di dalam kitab al-Asybah wan Nadhair, amar ma'ruf (menyuruh kepada kebaikan) dan nahi munkar (mencegah kemungkaran) dapat digugurkan ketika perbuatan tersebut boleh mengundang bahaya yang lebih besar. Selain itu, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam kitabnya, Tafsir al-Munir, ketika menafsirkan ayat tersebut beliau menjelaskan bahawa Allah SWT melarang Rasul Nya dan orang beriman daripada mencela sembahan-sembahan orang musyrikin sekalipun dalam hal itu adanya maslahah (kebaikan). Akan tetapi mafsadah (kebinasaan) daripada perbuatan tersebut adalah lebih besar daripada maslahahnya iaitu orang-orang musyrikin akan membalas kembali dengan mencela Tuhan orang-orang beriman yakni Allah, tiada tuhan yang sebenar-benarnya berhak disembah melainkan Dia.

Dalam konteks ini, apa yang cuba dijelaskan oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili ialah meninggalkan suatu perkara yang bersifat maslahah (kebaikan) demi menghindari mafsadah (kebinasaan) yang lebih besar adalah suatu yang harus diutamakan. Hal ini dilihat bertepatan dengan sebuah hadith Nabi SAW riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abdullah bin 'Amr Ranhuma katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesungguhnya termasuk sebesar-besar dosa-dosa besar adalah seseorang melaknat kedua orang tuanya. Ditanyakan: ‘Wahai Rasulullah, bagaimanakah seseorang melaknat kedua orang tuanya?’ Baginda bersabda: ‘Seorang lelaki mencaci bapa orang lain, lalu orang itu mencaci pula bapanya, dan dia mencaci ibunya, lalu orang itu mencaci pula ibunya.’”




Berkenaan maksud hadith ini, Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya, Fath al-Bari, menyebut bahawa sesiapa yang meramal perbuatannya akan membawa perkara yang diharamkan maka perbuatan itu juga haram keatasnya sekalipun dia tidak bermaksud untuk melakukan perkara yang haram. Menurut Ibnu Battal katanya hadith ini ialah asal bagi kaedah Sadd al-Zarai' (menutup jalan-jalan kerosakan). Oleh itu, berdasarkan apa yang telah disebutkan ini, maka jelaslah kepada kita bahawa umat Islam adalah dilarang dan ditegah daripada melakukan perbuatan yang menjurus kepada penghinaan agama lain. Walau apapun alasan dan tujuan yang dikehendaki, cara yang berupa penghinaan tersebut tidak menghalalkan matlamat yang baik. Ingatlah kita saranan Allah kepada hamba Nya di dalam usaha menyampaikan dakwah melalui surah al-Nahl ayat 125 yang bermaksud :

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk”

Ayat ini menuntut kita semua untuk menyampaikan Islam di dalam kerangka yang harmoni dan tidak melanggar batasan syariat Islam. Barangkali ada yang bertanya bagaimana pula dengan dakwah Nabi Ibrahim AS yang telah memecahkan patung-patung berhala di zaman Namrud ? Mengapakah perbuatan tersebut tidak dilarang oleh Allah andai benar Allah melarang hamba Nya menghina agama lain ? Bagi menjawab persoalan ini, harus kita fahami bahawa perbuatan Nabi Ibrahim AS pada ketika itu adalah bersifat khusus kepada baginda. Perkara tersebut berlaku dalam konteks itu sahaja dan tidak pula diperintah oleh Allah kepada kita untuk mengikuti langkah yang sama. Selain itu, dalam hal ini kita tidak dituntut untuk mengikuti syariat Nabi Ibrahim AS tetapi kita disuruh untuk mengikuti dan berpegang teguh dengan syariat Nabi Muhammad SAW. Maka memadailah untuk kita jadikan kisah Nabi Ibrahim tersebut sebagai pengajaran. Allah merakamkan di dalam al-Quran larangan menghina agama lain untuk dijadikan sebagai peringatan yang perlu ditaati dan bukan untuk dipersoalkan lagi. Maka jelaslah bahawa perbuatan menghina agama lain sangat ditegah dan dilarang oleh Allah. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan