Isnin, 9 Jun 2025

SYARIAT JAMAK & QASAR : HADIAH DARI ALLAH

 

Ketaatan kepada Allah sebagai pencipta sekalian makhluk dituntut sepanjang masa sehingga kita kembali pulang menghadap Nya. Setiap pensyariatan di dalam Islam membawa suatu tanda pengabdian diri menyerah dan menyembah hanya kepada Nya. Bahkan kita yang juga sebagai hamba Nya berkewajiban meminta dan memohon pertolongan hanya kepada Allah. Demikianlah manifestasi ibadah kepada Allah Jalla Wa 'Ala. Maka kita dengan penuh jiwa perhambaan, tugas kita adalah untuk mendengar dan taat akan segala titah perintah Nya. Baik pada perkara yang kita sukai mahupun sebaliknya yang tidak disukai. Syariat Allah atau mudah difahami sebagai perundangan dan peraturan agama Islam ini tidaklah datang dengan tujuan untuk membebankan umat manusia sebaliknya bersifat mudah untuk dilakukan. Sebagai contoh, dalam pensyariatan solat, wajib solat dalam keadaan berdiri, jika tidak mampu, boleh solat dalam keadaan duduk. Demikian juga yang dinamakan sebagai "Jamak" dan "Qasar", suatu peraturan yang Allah berikan sebagai tanda kasih sayang Nya terhadap hamba Nya.

Perkataan "Jamak" ialah berasal dari ungkapan bahasa Arab yang membawa makna himpun. Manakala perkataan "Qasar" pula juga dari bahasa Arab yang membawa maksud pendek. Dalam pensyariatan Islam, Jamak dan Qasar berkait dengan syariat solat fardhu 5 lima waktu. Secara ringkas, Jamak bermaksud menghimpun dua waktu solat dan dilakukannya pada satu waktu. Misalnya, dihimpunkan solat zohor dan solat asar pada satu masa dan dilakukannya kedua-dua solat tersebut secara bersama dalam masa yang sama namun hal tersebut boleh dilakukan dalam keadaan yang bersyarat. Manakala Qasar pula merujuk kepada maksud memendekkan rakaat solat fardhu yang empat menjadi dua rakaat sahaja. Misalnya, pada asalnya solat zohor mempunyai empat rakaat. Namun apabila diringkaskan (diqasarkan) ianya boleh dilakukan sebanyak dua rakaat sahaja tetapi dengan bersyarat. Syariat Jamak dan Qasar merupakan suatu keringanan dan kemudahan bagi mereka yang berada di dalam keadaan yang sukar untuk melaksanakan ibadah solat secara sempurna.




Dalil atau hujah yang menjelaskan akan syariat Jamak dapat kita lihat melalui sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Anas bin Malik RA, bahawa :

"Sesungguhnya apabila Nabi SAW bermusafir sebelum gelincir matahari, beliau akan mengakhirkan / melewatkan waktu Zohor sehinggalah waktu Asar, kemudian beliau singgah disuatu tempat dan bersolat jamak kedua-dua solat. Apabila baginda berangkat sebelum gelincir matahari, Nabi akan bersolat Zohor dan kemudian berangkat."

Begitu juga di dalam hadith lain riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi, daripada Muaz bin Jabal RA bahawa :

"Nabi SAW ketika peperangan Tabuk, apabila bergerak selepas Maghrib disegerakan solat Isyak, maka dilakukan solat Isyak dengan Maghrib"

Selain itu, dijelaskan pula dalil dan hujah mengenai syariat Qasar, sebagaimana yang dapat dilihat di dalam surah al-Nisa' ayat 101, firman Allah SWT di dalam surah al-Nisa' ayat 101, yang bermaksud :

"Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu".

Selain itu, terdapat sebuah hadith yang menceritakan tentang Qasar. Hadith tersebut riwayat Bukhari dan Muslim, telah berkata Anas bin Malik RA yang bermaksud :

"Kami keluar bersama Nabi SAW dari Madinah ke Mekah, dan kami bersolat 2 rakaat, 2 rakaat, sehinggalah kami kembali ke Madinah"




Demikian antara sebahagian dalil atau hujah yang menjelaskan pensyariatan Jamak dan Qasar. Berbalik kepada hujah yang pertama mengenai Qasar, berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah al-Nisa ayat 101, tujuan asal Allah SWT mengizinkan memendekkan solat dari 4 rakaat menjadi 2 rakaat adalah kerana dibimbangi ada dikalangan kaum muslimin yang akan diserang oleh musuh-musuh. Ini bermakna, konteks ayat ini yang mengizinkan qasar tersebut menggambarkan kepada kita keadaan ketika itu kaum muslimin diserang, tidak tenteram dan merasa terancam. Namun begitu, setelah keadaan menjadi aman dan tenteram, Allah kekalkan perintah tersebut dengan tetap mengizinkan untuk melaksanakan qasar (memendekkan rakaat solat) dalam keadaan aman dengan bersyarat dalam permusafiran. Hal tersebut dianggap sebagai hadiah daripada Allah SWT. Perkara ini telah dijelaskan melalui sebuah hadith riwayat Muslim, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Ya'la bin Umaiyah RA telah berkata kepada Umar RA, mengapa kita mengerjakan solat secara qasar sedangkan kita di dalam keadaan yang aman? Lalu Umar RA menjawab, aku telah bertanya kepada Rasulullah SAW. Baginda SAW bersabda, solat qasar itu sebagai satu sedekah (pemberian) yang Allah SWT sedekahkan dengannya ke atas kamu maka hendaklah kamu menerimanya atau ambillah sedekah itu".

Mengenai pensyariatan solat Jamak dan Qasar ini, telah berkata Syeikhul Islam Imam Ibn Taimiyyah di dalam kitabnya, Majmu' Fataawa, beliau menyebutkan bahawa :

"Mengenai solat Jamak dimana baginda melakukan solat jamak pada beberapa waktu ketika sibuk berjalan, dan uzur syarie. Sebagaimana beliau menjamakan solat di Arafah dan Muzdalifah. Beliau juga ada kalanya menjamak solat pada perang Tabuk, apabila beliau keluar bermusafir sebelum gelincir matahari, beliau akan mengakhirkan solat sehingga waktu Asar lalu melakukan kedua-dua solat. Inilah sandaran yang sahih".

Namun begitu, harus difahami juga berkenaan waktu yang dibenarkan untuk Jamak tanpa Qasar, Qasar tanpa Jamak dan waktu yang dibenarkan Jamak dan Qasar. Pertama sekali, untuk keadaan yang dibenarkan Jamak tanpa Qasar, harus kita fahami bahawa solat Qasar hanya dibenarkan ketika berada di dalam permusafiran sahaja. Sebaliknya solat Jamak lebih luas pelaksanaannya. Solat Jamak boleh dilakukan dalam beberapa keadaan seperti hujan yang lebat, sakit dan termasuklah ketika di dalam permusafiran. Kedua, bagi keadaan dimana hanya dibenarkan Qasar tanpa Jamak, ini sepertimana pandangan yang dipegang oleh para ulama di dalam mazhab Hanafi, bagi mereka solat jamak hanya boleh dilakukan ketika ibadat Haji, iaitu ketika di Arafah dan di Muzdalifah. Selain dari itu, bagi mereka semasa bermusafir hanya dibenarkan melakukan solat secara Qasar sahaja. Namun begitu, mengikut pandangan jumhur (majoriti) para ulama, dibenarkan solat Jamak dan Qasar semasa bermusafir. Tetapi dari segi lebih baiknya, jika seseorang itu tidak berada didalam keadaan kesukaran, eloklah bersolat secara Qasar sahaja semasa bermusafir, iaitu solat dilakukan pada waktunya.




Ketiga, bagi keadaan dimana dibenarkan untuk melakukan kedua-duanya sekali iaitu Jamak dan Qasar adalah ketika berada di dalam permusafiran. Ini sepertimana yang dipegang oleh majoriti para ulama. Berdasarkan ketiga-tiga keadaa tersebut, dapat kita fahami bahawa bukanlah semua keadaan dibenarkan untuk kita melakukan solat jamak dan qasar. Ianya ada pada keadaan yang dibenarkan oleh syarak. Begitu juga di dalam melaksanakan solat Qasar, bukanlah semua solat fardhu boleh dipendekkan rakaat. Ianya hanya untuk solat 4 rakaat iaitu solat zohor, asar dan isyak sahaja. Manakala bagi syariat solat Jamak pula, hanya boleh dihimpunkan antara solat zohor bersama asar, dan solat maghrib bersama isyak sahaja. Terkait dengan solat Jamak, ianya terbahagi kepada dua iaitu Jamak Taqdim dan Jamak Ta'khir. Jamak Taqdim bermaksud menghimpunkan dua solat dan dilakukan pada waktu solat yang pertama. Manakala Jamak Ta'khir pula bermaksud menghimpunkan dua solat dan dilakukan pada waktu solat yang kedua.

Selain itu, tidak kurang penting juga untuk kita memahami tentang jarak perjalanan yang dibenarkan untuk melaksanakan Jamak dan Qasar. Dalam permasalahan ini, telah menjadi perselisihan yang panjang dikalangan para ulama. Pun begitu, dapat kita simpulkan kepada dua pandangan utama. Pandangan pertama, jumhur (majoriti) para ulama berpandangan jarak perjalanan yang dibenarkan untuk Jamak dan Qasar ialah 80 kilometer. Pandangan ini antara lain dipegang oleh Ibn Abbas, Imam Malik, Imam al-Syafi’i dan Ahmad. Pandangan kedua, sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, beliau menyebutkan bahawa tidak ada penetapan khusus dalam hadith tentang jarak tertentu. Penentuan suatu perjalanan terhitung safar atau bukan dikembalikan pada urf (kebiasaan) masyarakat setempat. Demikianlah antara perkara terpenting yang mesti kita fahami berkaitan syariat Jamak dan Qasar. Secara mudahnya, kita diberikan keringanan atau rukhsah oleh Allah untuk melakukan solat Jamak dan Qasar dengan syarat-syarat tertentu. Seperti di dalam permusafiran, mencukupi syarat jarak perjalanan dan sebagainya. Semoga kita diberikan kefahaman yang jelas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan