Ahad, 25 Mei 2025

SOSIALISME DAN KEPERCAYAAN AGAMA ISLAM

 

Perihal isu-isu yang menyentuh tentang kemanusiaan antara topik yang sentiasa diperkatakan sejak zaman berzaman lagi. Nilai keadilan, kesaksamaan, maruah dan integriti antara yang sering diperbahaskan bagi mencapai keterangkuman makna kepada sesebuah kehidupan. Seperti kata orang, lain manusia lain pula ragamnya. Begitulah tentang kemanusiaan. Memperlihatkan kepada kita bukan sahaja soal tabiat semula jadi manusia malah mengajarkan kita bagaimana pola kehidupan manusia mulai berubah kesan implikasi daripada pengalaman dan dapatan ilmu yang menjadi latar kepada perubahan tersebut. Oleh kerana itu, telah wujud suatu bidang kajian yang mengkaji tentang tingkah laku manusia yang dikenali sebagai ilmu sosiologi. Kesan daripada itu pula, lahirlah sebuah ideologi yang disebut sebagai "Sosialisme".

Perkataan "Sosialisme" sepertimana yang disebut oleh seorang pemikir Barat yang bernama Robert Owen, ungkapan sosial berasal daripada bahasa Latin iaitu Socius yang bermaksud teman, rakan, kawan atau sahabat. Menurut Kamus Bahasa Melayu, istilah sosialisme merujuk kepada maksud teori atau sistem organisasi sosial yang menganjurkan supaya sumber-sumber kekayaan seperti pengeluaran, tanah, modal dan lain-lain mesti dijadikan hak milik negara. Tujuannya untuk dinikmati oleh setiap rakyat dengan kadar sama rata. Franz Magnis Suseno, seorang pemikir yang berasal dari Jerman menyebut bahawa sosialisme itu sebagai ajaran dan gerakan yang menganut bahawa keadaan sosial tercapai melalui penghapusan hak milik peribadi terhadap alat-alat produksi. Menurut Lorens Bagus pula dalam Kamus Filsafat, sosialisme adalah pengendalian harta dan produksi serta kekayaan secara berkelompok dan bukannya dimonopoli oleh seseorang.




Secara mudah untuk difahami, istilah sosialisme merupakan suatu maksud yang merujuk kepada sebuah ideologi pemikiran falsafah berteraskan nilai-nilai sosial kemasyarakatan seperti keadilan dan saksama. Hakikatnya, ideologi sosialisme merupakan payung yang merangkumi fahaman lain seperti komunisme, Marxisme, demokrasi sosial dan anarkisme. Ketika berlakunya Revolusi Perancis sekitar tahun 1789-1799, golongan yang membawa ideologi ini dilabel sebagai ideologi Kiri. Pada zaman Pencerahan (Enlightment), sosialisme antara bentuk pemikiran yang muncul di Eropah sebagai alternatif terhadap perkembangan fahaman Liberalisme dan Kapitalisme yang dianggap sebagai gagal untuk mewujudkan struktur masyarakat yang ideal. Namun sebelum itu lagi, akar kepada pemikiran sosialisme ini sebenarnya telah wujud sejak zaman Renaissance lagi. Ini dapat dilihat sebagaimana yang ditulis oleh Thomas Moore dalam bukunya yang berjudul Utopia.

Menyoroti sejarah pada awal abad ke-19, sosialisme telah muncul di Eropah semasa ekonomi Kapitalisme sedang berkembang pesat sehingga terjadinya Revolusi Industri pada abad ke-18. Antara pelopor terawal ideologi ini ialah Henry Saint-Simon, Robert Owen dan Charles Fourier. Nama-nama besar ini telah mengkritik kapitalisme sebagai punca yang menyebabkan masalah kemiskinan dan penindasan buruh. Jika kita amati dengan lebih luas, sebenarnya ideologi sosialisme telah wujud dalam kebanyakan agama. Oleh kerana demikian, usaha penentangan terhadap ideologi lain seperti liberal dan kapitalis agak sukar dilaksanakan kerana tokoh-tokoh terawal sosialisme masih berhujah berpusatkan soal moral dan etika. Pun begitu, pada pertengahan abad ke-19, Karl Marx telah muncul dengan membawa wajah baharu ideologi sosialisme dengan membangunkan teori sosialisme yang lebih sistematik. Usaha gigih Karl Marx dalam membawa nafas baharu ideologi ini telah diiktiraf oleh rakannya, Friedrich Engels dengan mengelar idea Karl Marx sebagai 'Scientific Socialism'.

Dalam dunia kesarjanaan Islam, persoalan mengenai ideologi sosialisme juga turut mendapat perhatian oleh para ilmuan Islam. Antara yang terawal membahaskan tentang sosialisme ini ialah Mustafa al-Siba'i. Beliau menulis di dalam bukunya yang bertajuk al-Ishtirakiyyah al-Islam, dengan menyebut bahawa sistem sosial Islam adalah lebih baik daripada ideologi sosialisme yang dibawa oleh naratif Barat. Beliau tidak menolak keseluruhan ideologi tersebut namun dengan tegas menyatakan bahawa Islam sebagai agama yang sempurna memiliki roh sosialisme yang tersendiri. Selain itu, Syed Hussien al-Atas pula menulis di dalam bukunya bertajuk Islam dan Sosialisme, beliau mengkritik sebahagian penulis Islam yang melihat sosialisme itu sekadar aliran materialisme dialetik Karl Marx. Beliau menegaskan bahawa Islam juga amat mementingkan kebendaan. Baginya, Nabi Muhammad SAW merupakan tokoh sosialisme bagi umat Islam. Selain Syed Hussien, pandangan mengenai sosialisme turut dibicarakan oleh ramai tokoh reformis Islam seperti Syed Jamaluddin al-Afghani dan Tjokroaminoto, tokoh reformis Indonesia. Menurut mereka ideologi sosialisme tidak akan ada pertembungan dengan Islam sekiranya ianya difahamkan kepelbagaian cabang sosialisme itu sendiri.




Dalam kerangka pemikiran sosialisme, apa yang diperjuangkan dan dibangkitkan sebahagian besarnya telah terangkum di dalam syariat Islam. Malah sebelum munculnya ideologi ini, Islam telah mendahului dengan membawa nilai sosial selari dengan kehendak sang Pencipta makhluk. Antara contoh yang boleh dilihat ialah tentang soal membela dan membantu golongan fakir dan miskin. Islam datang dengan membawa solusi bagi membela nasib golongan fakir dan miskin ini melalui pensyariatan ibadah zakat. Zakat merupakan instrumen sosial terbaik bagi membantu kelangsungan hidup mereka yang fakir dan miskin. Selain itu, Islam juga menolak tentang soal kasta dalam masyarakat. Hal ini boleh difahami sebagaimana dalam sebuah hadith riwayat Ahmad, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Wahai sekalian manusia! Rabb kalian satu, dan ayah kalian satu (maksudnya Nabi Adam). Ingatlah. Tidak ada kelebihan bagi orang Arab atas orang Ajam (non-Arab) dan bagi orang ajam atas orang Arab, tidak ada kelebihan bagi orang berkulit merah atas orang berkulit hitam, bagi orang berkulit hitam atas orang berkulit merah kecuali dengan ketakwaan".

Begitu juga bagaimana kita lihat baginda Nabi Muhammad SAW menyuruh sahabat Nabi bernama Bilal bin Rabah untuk melaungkan azan. Bilal bin Rabah merupakan seorang pemuda yang berkulit hitam, sebelum itu beliau merupakan seorang hamba yang kemudiannya dimerdekakan oleh Abu Bakar as-Siddiq, namun diberikan kedudukan mulia oleh baginda Nabi SAW sebagai tukang azan pertama Islam. Dalam pada itu, Allah SWT menegaskan di dalam al-Quran berkenaan tujuan penciptaan manusia yang berbilang kaum dan bangsa bukanlah untuk ditentang dan dilawan sebaliknya adalah untuk saling berkenalan dan memahami antara satu yang lain. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud :

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)".

Demikian antara sebahagian roh sosialisme yang wujud dalam neraca syariat Islam. Sebagaimana menurut Mustafa al-Siba'i, Syed Hussien al-Atas dan yang lain-lain, ideologi sosialisme hakikatnya bukanlah seratus peratus boleh diterima dan begitu juga bukanlah seratus peratus perlu ditolak. Ia terletak kepada bagaimana kita melihatnya dalam kerangka syariat yang benar. Seharusnya kita perlu lebih terbuka dalam menilai setiap ideologi yang ada supaya kita tidak jumud dalam berfikir dan tidak pula terlalu bebas hingga tiada batas. Dengan penuh insaf dan adil, sebahagian perjuangan sosialisme menurut naratif Barat perlu ditapis dan diperhalusi bersama agar ianya sesuai dengan konteks beragama. Islam bukanlah agama yang kaku, keras dan tidak bergerak. Islam agama yang meraikan perubahan, membuka jalan pembaharuan dan mendokong segala yang bersifat maslahah selagi hal tersebut tidak menyanggahi syariat Allah. Semoga Allah SWT merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan