Hidup beragama tidak semestinya kita
hanya sibuk beribadah sehingga mengabaikan tanggungjawab kita yang dituntut
oleh agama. Hidup beragama juga bukanlah bermaksud keluar berdakwah
semata-mata. Walhal, urusan anak isteri dan jiran tetangga juga perlu kita santuni
dan ambil peduli. Kesibukkan kita berdakwah bukanlah alasan untuk kita berasa
cukup ilmu, bahkan sebaliknya semakin sibuk berdakwah, maka bertambah sibuklah
juga kita menuntut ilmu dan bermuhasabah diri.
Oleh kerana demikian, agama ini tertegak
bukanlah kerana kita beramal semata-mata tetapi ianya tertegak dengan
memberikan hak kepada mereka yang berhak. Dalam erti kata yang mudah, beramal
jangan lah sehingga diri terabai. Tuhan tidak pernah menyuruh kita untuk
beribadah 24 jam, apatah lagi Tuhan tidak pernah meminta kita berdakwah
seharian. Namun bukanlah salah untuk beribadah dan berdakwah 24 jam. Tetapi
dalam tempoh tersebut, yang dikurniakan oleh Allah, ada hak yang perlu kita
tunaikan.
Dalam sebuah kisah sahabat Nabi yang
masyhur, antara Salman al Farisi dengan Abu Darda'. Keakraban mereka berdua
tercipta setelah tindakan baginda Nabi SAW ketika sampai di Madinah, baginda
telah mempersaudarakan sesama umat Islam yang berhijrah ke Madinah (Muhajirin)
dengan penduduk Madinah (Ansar). Maka bermula disaat dan ketika itu, mereka
bersaudara atas ukhwah islamiah.
Suatu ketika, Salman telah pergi ke rumah
Abu Darda' untuk menziarahinya. Ziarah sahabat adalah menjadi kelaziman dan
sunnah Rasulullah SAW. Kebetulan pada waktu itu, beliau berjumpa dengan isteri
Abu Darda' yang hanya memakai pakaian yang lusuh. Melihat akan keadaan
tersebut, maka Salman bertanya tentang keadaan itu, lalu isteri Abu Darda'
menjawab : "saudaramu, Abu Darda' sudah tidak lagi berhajat kepada
dunia".
Salman akhirnya bertemu dengan Abu Darda'
lalu beliau dipelawa masuk ke dalam rumahnya. Sebagai tanda memuliakan tetamu
yang datang, Abu Darda' menghidangkan makanan dan menjemput Salman untuk
menjamah makanan. Dalam masa yang sama, Abu Darda' enggan makan bersama kerana
beliau sedang berpuasa. Melihat situasi tersebut, lantas Salman pun berkata
:"Aku tidak akan makan sehingga kamu makan". Lalu, Abu Darda'
pun mengalah dan telah berbuka puasa dengan menjamah hidangan bersama
sahabatnya, Salman.
Pada hari yang sama, Salman telah mengambil
keputusan untuk bermalam di rumah Abu Darda' dan hasrat tersebut tidaklah
ditolak bahkan dipelawa oleh Abu Darda''. Pada ketika malam mencapai waktu
puncak, Abu Darda' bangun daripada tidur dengan tujuan untuk menunaikan solat
malam. Namun Salman sedar dan menyuruh Abu Darda' tidur. Maka Abu Darda' akur
dan terus menyambung tidur. Pada kali kedua, sekali lagi Abu Darda' bangun
untuk solat malam, tetapi Salman menyuruhnya untuk tidur dahulu. Abu Darda' pun
akur dan mengikut arahan sahabatnya.
Pada ketika waktu hampir subuh, Salman
pun bangun dari tidur lantas mengejutkan Abu Darda' untuk bangun menunaikan
solat malam bersama. Setelah itu, Salman telah menegur perbuatan Abu Darda'
yang hanya menumpukan ibadah kepada Allah dan telah mengabaikan tanggungjawab
yang lain. Salman berkata kepada Abu Darda' :
"Sesungguhnya kamu mempunyai hak
terhadap Tuhanmu, hak terhadap dirimu sendiri dan juga hak terhadap isterimu.
Maka berikan hak kepada setiap mereka yang berhak atasnya"
Setelah mendengar kata-kata tersebut, Abu
Darda' telah bertemu dengan baginda Nabi SAW dan beliau telah menceritakan
kejadian yang berlaku antara dirinya dengan Salman. Lalu baginda bersabda yang
bermaksud :
"Benarlah kata-kata Salman".
Mengambil pengajaran daripada kisah ini,
dapat kita sama-sama memahami bahawa agama Islam yang diturunkan dengan penuh
kerahmatan dan kasih sayang, tidak sesekali menafikan hak umatnya untuk
dipenuhi sebagai suatu cara menjalani kehidupan yang pelbagai. Kita tidak
disuruh untuk berdakwah 24 jam, tetapi kita di tuntut untuk mengimbangi hak
antara yang berhak, agar kita tidak sibuk dengan beramal walhal hak kita
sebagai suami, hak kita sebagai bapa dan sebagainya tertangguh dek kerana
kesibukkan kita pada hal yang lain.
Allah tidak menyuruh kita bersujud 24 jam,
meratib dan berzikir diatas tikar sejadah semata-mata tanpa keluar berusaha
mencari rezeki memenuhi keperluan dan kehendak kehidupan. Selagi mana keperluan
dan kehendak tersebut tidak bercanggah dengan syariat, maka wajib kita memenuhi
hak supaya tidak menzalimi dalam keenakkan kita beramal soleh. Kita harus ingat
bahawa beramal dan beribadah juga merupakan salah satu pintu untuk tipu daya
iblis bagi mengheret kita ke lembah kesombongan dan keangkuhan dengan apa yang
telah kita kerjakan.
Oleh itu, marilah sama-sama kita hidup
dengan menunaikan hak-hak kepada yang berhak. Usahlah menunggang diatas nama
beramal sehingga menyebabkan tindakan kita langsung tidak mempedulikan
keluarga, masyarakat dan komuniti setempat. Apa yang lebih mustahak adalah
kualiti beramal dan bukan pada kuantiti. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan