Isnin, 3 November 2025

KONSEP TAWAKAL YANG SEBENAR

 

Kesusahan adalah salah satu pelajaran terbaik dalam kehidupan. Kesusahan mengajar manusia erti bangkit semula. Kesusahan juga menyemai sifat percaya kepada proses kehidupan. Mudah kata, jikalau hidup ini tidak pernah mengenai erti apa itu susah, makanya kita telah rugi dalam memperolehi satu pelajaran yang terbaik dalam kehidupan. Hakikatnya hidup dalam kesusahan melatih diri menjadi manusia yang rajin berusaha, tidak mengenal makna putus asa selain memupuk semangat berjuang habis-habisan. Secara umumnya, kesusahan baik dalam apa jua hal, mengingatkan kita tentang persoalan usaha dan tawakal. Usaha adalah apa yang berada dalam kawalan diri kita manakala tawakal pula adalah suatu perasaan bergantung harap pada Yang Maha Berkuasa. Di celah-celah itu, manusia sering salah memahami makna tawakal yang sebenar.

Perkataan "Tawakal" (التوكل) adalah berasal dari bahasa Arab. Menurut Ibnu Manzur dalam kitabnya Lisan al-'Arab, perkataan tawakal bermaksud berserah diri kepada Nya. Dalam kitab al-Qaamus al-Muhiith karangan oleh Fairuz Abadi, beliau menyatakan bahawa tawakal ialah menyerahkan dan meninggalkannya. Selain itu dalam kitab al-Mufradaat fii Ghariib al-Quran, ar-Raghib al-Ashfahani mengatakan perkataan tawakal dilihat pada dua sisi. Sisi pertama tawakal membawa maksud aku menyerahkan kekuasaan padanya. Pada sisi kedua pula, tawakal merujuk kepada makna aku menyerahkan urusan kepadanya sehingga dia mewakili diriku. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, perkataan tawakal merujuk kepada maksud berserah kepada Tuhan setelah berusaha selain percaya dengan sepenuh hati kepada Tuhan. Demikian makna tawakal pada pemahaman bahasa.




Ungkapan tawakal pada sudut istilah pula terdapat pelbagai makna yang dibahaskan. Antaranya sepertimana yang dijelaskan oleh Imam Ibnu Jauzi dalam kitabnya Zaadul Masiir fii Ilmi Tafsir, beliau menukilkan ungkapan oleh Ibnu Abbas RA dengan menyatakan bahawa tawakal itu ialah percaya sepenuhnya kepada Allah. Telah berkata pula Ibnu Rajab al-Hanbali dalam kitab Jami'ul Ulum wal Hikam, tawakal bermaksud benarnya pergantungan hati pada Allah Azza Wa Jalla untuk meraih pelbagai kebaikan dan menghilangkan bahaya baik dalam urusan dunia mahupun akhirat. Selain itu, menurut Ibn al-Athir dalam kitabnya al-Nihayah fi Gharib al-Hadith, beliau menjelaskan bahawa makna tawakal ialah menyerahkan urusan kepada pihak lain atau menggantungkan kepadanya. Hal ini disebabkan kerana kepercayaan penuh kepada yang diserahkan atau ketidakmampuan menangani sendiri. Secara ringkas, tawakal boleh difahami sebagai perbuatan menyerahkan diri dengan kepercayaan sepenuh jiwa.

Mengenai tawakal, Allah Azza Wa Jalla telah menyifatkan mereka yang bertawakal kepada Nya mempercayai bahawa hanyasanya Allah sebaik-baik penolong baginya. Ini sepertimana yang termaktub di dalam al-Quran menerusi surah al-Talaq ayat 3, Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)".

Berdasarkan ayat ini, jelas bahawa apabila seseorang hamba itu benar-benar dengan setulusnya bertawakal kepada Allah, maka cukuplah dirinya yakin bahawa dengan sesungguhnya Allah jualah sebaik-baik pembantu dan penolong. Berkenaan ayat ini juga, Imam Ibn al-Qayyim menyebut dalam kitabnya Bada'i al-Fawa'id, beliau menjelaskan dengan menyatakan bahawa dalam firman Allah SWT di atas, tidak dikatakan bahawa orang yang bertawakal akan dibalas dengan pahala sekian dan sekian seperti balasan untuk amalan yang lain. Malah disebut balasan dari tawakal adalah Allah sendiri yang mencukupkannya. Jika seseorang benar-benar bertawakal kepada Allah, maka Allah akan memberikan jalan keluar melalui langit dan bumi serta setiap makhluk di dalamnya yang Allah tundukkan. Allah SWT akan mencukupkan dan menolong orang yang bertawakkal tersebut. Demikian penjelasan oleh Ibn al-Qayyim. Walau bagaimana pun, timbul pula persoalan apakah bertawakal itu bermaksud kita tidak memerlukan lagi kepada usaha ? Adakah agama menyuruh kita bertawakal dengan tidak perlu berusaha ? Bagi merungkaikan kekeliruan tersebut, mari kita melihat bagaimana Islam mengajar kita erti tawakal yang sebenar.




Dalam sebuah hadith riwayat Ahmad, al-Tirmizi dan lain-lain, daripada Umar bin al-Khattab RA, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

“Seandainya kamu semua benar-benar bertawakkal pada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.”

Dalam memahami maksud intipati hadith ini, Imam al-Munawi dalam kitab Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami' al-Tirmizi, menyatakan bahawa ini menunjukkan bahawa tawakkal tidak boleh dengan meninggalkan usaha. Tawakal hendaklah dengan melakukan pelbagai usaha yang akan membawa kepada hasil yang diingini. Hal ini kerana burung pun memperoleh rezeki dengan berusaha. Justeru, hal ini memberi petunjuk kepada kita untuk berusaha mencari rezeki. Dalam hadith ini, Rasulullah SAW mengisyaratkan bahawa tawakal yang sebenarnya bukanlah bererti bermalas-malasan dan enggan melakukan usaha untuk mendapatkan rezeki, sebaliknya tawakal yang benar hendaklah dengan melakukan pelbagai jenis usaha dan cara yang dihalalkan untuk memperoleh rezeki. Imam al-Munawi menjelaskan lagi dengan menyebut :

"Burung berangkat pagi dalam keadaan lapar dan balik petang dalam keadaan kenyang. Namun, usaha (sebab) bukanlah yang memberi rezeki, tetapi Allah SWT yang Maha Kuasa, yang memberi rezeki. Ini menunjukkan bahawa tawakal kepada Allah tidak memerlukan sebab meninggalkan, sebaliknya melibatkan diri dalam pelbagai sebab yang akan membawa kepada hasil yang diingini. Kerana walaupun burung mendapat rezeki melalui usaha, rezeki ini membimbing kita untuk mencari".

Selain itu, dalam kitab Umdatul Qori Syarh Sahih al-Bukhari, dikisahkan tentang Imam Ahmad bin Hanbal pernah ditanya tentang seseorang yang kerjanya hanya duduk di rumah atau di masjid. Lelaki itu berkata, "Saya tidak melakukan apa-apa sehingga rezeki saya datang kepada saya." Lalu Imam Ahmad berkata, "Orang ini tidak mengetahui ilmu (bodoh). Rasulullah SAW telah bersabda, "Allah menjadikan rezekiku di bawah naungan tombakku." Dan beliau SAW pun bersabda (sebagaimana disebutkan dalam hadits Umar di atas). Demikian kisah tersebut menjelaskan kepada kita tanpa syak wasangka lagi, konsep tawakal kepada Allah sebagaimana yang diajarkan oleh Islam tidak menafikan tentang keperluan untuk berusaha. Ini juga bermakna bertawakal sahaja tetapi tanpa adanya usaha hanyalah perbuatan yang sia-sia dan tidak menepati kehendak ajaran Islam.




Dalam pada itu, konsep tawakal yang sebenar menurut syarak bukanlah bermaksud kita berpasrah semata-mata. Sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini, tawakal bukanlah bermaksud bersikap bersandarnya hati kepada Allah SWT semata tetapi tidak disertai dengan usaha. Ibnu Rajab al-Hanbali dalam hal ini menyebut bahawa Mengamalkan tawakal (meringankan beban) bukanlah bererti meninggalkan asbab atau sunnatullah yang telah ditentukan dan ditakdirkan (sunnah Allah). Allah SWT memerintahkan kita untuk berusaha dan juga menyuruh kita bertawakkal kepada-Nya. Oleh itu, berjihad dengan anggota badan untuk mencapai sesuatu perkara adalah ketaatan kepada Allah, manakala bertawakal dengan hati adalah perbuatan beriman kepada-Nya. Demikian penegasan yang diberikan oleh Ibnu Rajab.

Demikianlah serba ringkas menjelaskan tentang konsep tawakal yang sebenar. Secara rumusannya, kita boleh katakan tawakal adalah suatu ibadah yang terletak kepada jantung hati para manusia. Kebergantungan kepada Allah melalui konsep tawakal ini mengajar kita untuk tidak meninggalkan usaha dalam pada kita harus bertawakal. Harus diingatkan kepada masyarakat umum, tawakal sama sekali tidak menafikan atau menghilangkan makna usaha dalam kehidupan. Andai hidup ini memadai dengan bertawakal, tentu baginda Nabi SAW melakukannya. Pun begitu sebaliknya, ketika baginda Nabi SAW bersama para sahabat berperang menentang musuh, baginda SAW turut memakai baju besi sebagai perisai mempertahankan diri selain mengelak daripada terkena serangan. Ini mengukuhkan lagi dakwaan bahawa tawakal tidak menafikan usaha. Semoga Allah SWT merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan