Agama adalah sesuatu yang dibina diatas nama kepercayaan dan keyakinan
yang utuh. Gabungan percaya dan yakin ini akan diterjemahkan pula kepada bentuk
ritual dan ibadah. Oleh itu, setiap agama yang terbina dengan bermacam
kepercayaan dan keyakinan, akan dibuktikan nilai dan tahap keagamaan itu dengan
melakukan ketaatan melalui pelbagai bentuk yang dinamakan sebagai rirual dan
ibadah. Dalam ajaran Islam, setiap ketaatan yang dilakukan, sama ada ibadah
tersebut bersifat zahir atau batin, kedua-duanya mempunyai nilai yang
tersendiri. Pahala dosa dan syurga neraka merupakan janji Allah yang benar
kepada setiap hamba Nya. Bagi mereka yang beriman kepada Nya walau iman
tersebut sebesar zarah, tentu diberikan ganjaran syurga. Sebaliknya bagi mereka
yang tidak punyai iman langsung, dengan kehendak Nya jua akan dihukum dengan menduduki
neraka. Maka adalah menjadi perjuangan kita bersama untuk memelihara keimanan
kepada Nya. Ini termasuklah tidak melakukan perkara yang boleh merosakkan iman
seperti meniru ritual agama lain.
Secara asasnya, Islam sebagai satu-satunya agama yang paling benar
dan diredhai oleh Allah SWT melarang dan menegah umatnya daripada melakukan
perbuatan yang menyerupai agama lain. Larangan ini adalah berdasarkan dalam
sebuah riwayat Abu Daud, Ahmad, Ibn Abi Syaibah dan lain-lain, daripada Ibn
Umar RAnhuma, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah
daripada kalangan mereka".
Berdasarkan hadith ini, para sarjana Islam membincangkan mengenai
maksud dan kehendak hadith ini. Dalam kitab Tafsir Ibn Kathir, Imam
a-Hafiz Ibn Kathir menyatakan bahawa hadith ini menunjukkan larangan keras dan
amaran bagi sesiapa yang menyerupai orang kafir pada ucapan, perbuatan,
pakaian, perayaan, ibadah dan lain-lain perkara yang tidak disyariatkan serta
ditetapkan ke atas kita. Menurut Imam al-San’ani pula dalam kitabnya Subul
al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, beliau menyebut hadith ini menunjukkan
sesiapa yang menyerupai atau meniru orang yang fasiq, orang kafir, atau pembuat
bidaah maka dia adalah daripada kalangan mereka (sama seperti mereka). Di mana
dia meniru apa yang khusus bagi mereka seperti pakaian, tunggangan atau
gerak-geri mereka. Dalam pada itu, Ibn Abd al-Bar dalam kitab al-Tamhid,
beliau menjelaskan bahawa ditafsirkan siapa yang menyerupai sesuatu kaum maka
dia daripada kalangan mereka atau dihukumkan bersama mereka atau siapa yang
bertasyabbuh pada perbuatan mereka, keadaan mereka dan ini secara umumnya
dimaksudkan dengan mengikut (meniru perbuatan mereka).
Selain al-Munawi pula dalam kitabnya al-Taisir bi Syarh al-Jami’
al-Saghir, beliau menyebut hukumnya sama seperti hukum mereka kerana setiap
maksiat diwarisi daripada satu ummah dan umat-umat yang Allah binasakannya.
Justeru, sesiapa yang menyerupai dan tasyabbuh dengan satu-satu umat, maka dia
termasuk daripada umat tersebut. Maka berdasarkan semua penjelasan yang
dinukilkan ini, dapatlah kita ringkaskan bahawa perbuatan meniru, menyerupai
atau menyamakan dengan ritual agama lain adalah haram dan ditegah dengan keras
oleh Islam. Bagi memperlihatkan akan hal ini dengan lebih mendalam, Imam Ibn
Hajar al-Haitami al-Makki, seorang tokoh hadith dan imam Mazhab Syafie, beliau
menyebut dalam kitabnya al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, menerusi bab al-Riddah
(murtad), beliau mengatakan bahawa menyerupai kaum kafir terbahagi kepada tiga
hukum. Pertama, hukumnya ialah haram apabila wujud unsur reda dengan kekafiran
atau berniat menyerupai syiar agama lain. Kedua, hukumnya berdosa namun
tidaklah jatuh kafir apabila ada unsur meninggikan syiar agama bukan Islam,
tetapi mereka tiada niat dan reda dengan kekufuran tersebut. Manakala yang
ketiga, hukumnya adalah harus apabila tiada niat menyerupai agama lain.
Berdasarkan penjelasan hukum oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami ini,
maka dapatlah kita fahami bahawa ada beberapa keadaan hukum menjadi haram dan
boleh dijatuhi kafir. Ada pula dalam keadaan tertentu, tetap hukumnya berdosa
namun tidaklah sehingga dihukum kafir dan ada juga dalam keadaan yang lain,
hukumnya adalah harus. Hakikatnya, keharusan menyerupai sesuatu kaum bukanlah
bermakna kita boleh meniru ritual agama lain dengan syarat tidak berniat untuk
hal tersebut. Namun yang dimaksudkan dengan keharusan meniru sesuatu kaum
adalah seperti gaya hidup yang tidak bercanggah dengan syariat. Misalnya
memakai kot hitam, makan menggunakan sudu dan lain-lain. Selain daripada itu,
umat Islam dilarang untuk meniru atau menyerupai gaya hidup, kelakuan atau
pakaian yang khusus dikenali dengan unsur jahat yang boleh mengundang salah
sangka orang ramai. Dalam hal ini, Imam al-Munawi berkata dalam kitab Faidh
al-Qadir, beliau menyatakan :
“Jika puak fasiq atau kaki berfoya mengkhususkan sesuatu pakaian,
maka dilarang untuk seseorang memakainya kerana mungkin boleh menyebabkan orang
yang tidak tahu berburuk sangka bahawa dia dalam kalangan mereka (fasiq dan
kaki berfoya), lalu berdosa yang berburuk sangka dan juga yang disangka buruk
disebabkan dia punca sangkaan tersebut”
Apa yang ditegaskan oleh al-Munawi berdasarkan ungkapan ini ialah
sekiranya sesuatu pakaian itu dikhususkan untuk agama tertentu, maka berdosalah
dirinya kerana perbuatan tersebut boleh mengundang kepada ruang fitnah yang
lebih besar. Adapun sebaliknya jika sesuatu pakaian tersebut yang tidaklah
dikhususkan untuk mana-mana agama selain Islam, maka adalah harus hukumnya.
Dalam catatan oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya Majmu'
al-Fatawa, beliau menyebut :
“Rasululah SAW itu pernah memakai gamis (baju labuh) dan serban,
baginda pernah memakai kain sarung dan ridak (baju separuh yang dipakai bersama
kain sarung), baginda pernah memakai jubah dan farajiah (baju besar dan panjang
kedua tangannya). Baginda pernah memakai pakaian dari jenis kapas, bulu dan
selainnya. Baginda pernah mamakai jubah bulu ketika bermusafir. Baginda juga
memakai apa yang dibawa dari Yaman dan selainnya. Kebanyakannya dibuat dari
kapas. Mereka (pada zaman tersebut) juga memakai buatan Qibti Mesir yang
ditenun dari kattan. Maka, bererti sunnah Rasulullah SAW dalam hal ini adalah
seseorang memakai pakaian dan memakan makanan yang mudah didapati dalam
negerinya. Maka perkara ini berbagai-bagai, berdasarkan kepelbagaian negeri”
Maka tidaklah salah untuk kita meniru apa jua perkara yang tidak
membabitkan persoalan agama bukan Islam dan tidak menyanggahi syarak. Apa yang
dilarang ialah meniru atau menyerupai baik dalam bentuk perlakuan, pakaian
mahupun gaya hidup yang menjurus kepada kepercayaan dan keyakinan agama
tersebut. Dalam hal ini juga, baginda Nabi Muhammad SAW mengingatkan kita semua
agar tidak mengikuti jejak langkah orang kafir dalam hal kemaksiatan. Ini
sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud :
“Sesungguhnya kalian akan mengikuti orang-orang sebelum kalian
sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, bahkan sekiranya mereka masuk
ke dalam lubang biawak pun pasti kalian turut mengikutinya.” Kami (sahabat)
bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah yang diikuti itu Yahudi dan Nasrani?”
Baginda menjawab, “Siapa lagi?”
Demikianlah peringatan jelas kepada kita agar tidak terjerumus ke
dalam perangkap Yahudi dan Nasrani. Walau apapun, menyerupai atau meniru
sesuatu baik pada sudut pakaian, perbuatan atau ungkapan yang berunsurkan
kepada ritual agama lain, ketahuilah ianya adalah haram dan berdosa. Berwaspada
lah selalu dan janganlah kerana hendak mengangkat nilai perpaduan merentas kaum
dan agama, habis tergadai prinsip akidah Islam yang selama ini kita semai.
Meniru perbuatan agama lain seperti memakai tanda salib, mengenakan Vibhuti
atau Bhasma di dahi, melakukan ritual ramalan dan lain-lain yang sama
sepertinya adalah ditegah dan dilarang. Hukumnya jelas haram dan berdosa.
Sesungguhnya setiap diri yang bernyawa pasti akan bertanggungjawab dengan apa
yang telah dirinya kerjakan. Untuk itu, marilah kita semua menjaga iman dengan
mengukuhkan amal yang soleh. Semoga Allah mengampuni kita semua.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan