Pembinaan peribadi yang mulia serta sahsiah yang terpuji antara
agenda terpenting dalam dunia pendidikan pada hari ini. Kemenjadian murid tidak
lagi dilihat dan diukur pada prestasi akademik atau pencapaian keputusan
peperiksaan semata malah turut ditekankan melalui proses pembinaan akhlak dan
moral. Segala usaha dibuat dengan dibina pelbagai dasar pendidikan bagi
memastikan agenda membentuk peribadi mulia dapat direalisasikan. Usaha ini
penting sebagai bekalan untuk mempersiapkan pelapis kepimpinan negara yang
berkaliber, bermutu dan berkualiti tinggi. Perkembangan hari ini memperlihatkan
beberapa kes jenayah berlaku dikalangan para pelajar di sekolah sedikit
sebanyak membangkitkan perasaan bimbang tentang masa hadapan generasi sekarang.
Sehingga ada yang mencadangkan agar hukuman rotan diperkasakan.
Pada prinsipnya, Islam adalah agama yang menyemai nilai kasih
sayang dan menolak budaya kekerasan. Tindakan yang menjurus kepada sebarang
bentuk keganasan adalah ditentang oleh agama Islam. Oleh itu, hukuman yang
terdapat dalam Islam bukanlah bertujuan untuk melakukan penderaan, bersikap
ganas dan melampau dalam menghukum tetapi ianya adalah sebagai pendidikan dalam
memberi pengajaran. Menurut Abdul Qadir Audah, seorang tokoh gerakan Islam
kontemporari, beliau menjelaskan bahawa falsafah hukuman dalam Islam meliputi
konsep keadilan, konsep pencegahan dan konsep pemeliharaan nilai-nilai murni
dalam masyarakat. Maka dengan itu, apabila kita katakan tentang hukuman merotan
dalam Islam, ianya perlu difahami dalam kerangka syariah yang sebenar. Hal ini
sangat penting untuk difahami agar tidak timbul fitnah dan tohmahan tidak
berasas terhadap agama Islam.
Jika ditanya, adakah dalam Islam wujudnya hukuman merotan, maka
kita katakan ya dalam Islam terdapat hukuman merotan dengan ungkapan yang
pelbagai. Pertama, hukuman merotan dalam Islam boleh dilihat melalui perkataan al-Jald
(الجلد) yang membawa maksud memukul. Dalam
bahasa Melayu, perkataan al-Jald disebut sebagai sebatan. Hukuman sebat
terdapat di dalam al-Quran sebagaimana firman Allah Azza Wa Jalla menerusi
surah an-Nur ayat 2 yang bermaksud :
"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah
kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat ; dan janganlah
kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam
menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari
akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka
itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman".
Melalui ayat ini, Allah SWT telah mensyariatkan hukuman sebat
dibawah peruntukkan hukum hudud bagi kesalahan berzina baik lelaki atau
perempuan. Dibawah hukum hudud, hukuman sebat atau merotan selain untuk kes
zina, juga turut diharuskan sebat atau merotan bagi kesalahan lain seperti
minum arak dan menuduh perempuan yang baik melakukan perbuatan zina. Dalam ayat
lain, Allah SWT berfirman dalam surah an-Nur ayat 4 yang bermaksud :
"Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada
perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan
empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah
kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah
orang-orang yang fasik "
Berdasarkan kepada dua ayat tersebut, jelaslah kepada kita bahawa
hukuman rotan sememangnya disebut oleh agama Islam sebagai suatu cara mendidik
dengan memberikan pengajaran. Hukuman rotan bukanlah suatu cara pendekatan
baharu atau baru diada-adakan. Malah telah lama ditekankan oleh syarak. Selain
itu, hukuman merotan juga secara asas turut dikaitkan dengan mendidik keluarga.
Ini merangkumi perintah Allah kepada para suami untuk mendidik isteri dan
perintah baginda Nabi Muhammad SAW kepada ibubapa untuk menyuruh anak-anak
mendirikan solat. Dalam konteks rumahtangga, suami adalah tunjang atau ketua
kepada institusi kekeluargaannya. Maka para suami dengan penghormatan yang
diberikan oleh Islam, bertanggungjawab mendidik isteri dan anak-anak agar
sentiasa mentaati dan tunduk patuh kepada Allah SWT. Perkara ini dapat
dijelaskan lagi sebagaimana firman Allah Azza Wa Jalla di dalam al-Quran
menerusi surah an-Nisa' ayat 34 yang bermaksud :
”Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan
derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil)
pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah
mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya)”
Berdasarkan kefahaman ayat ini, Allah Azza Wa Jalla memerintahkan
para suami memukul isteri yang dibimbangi derhaka kepadanya. Tindakan memukul
ini hendaklah dibuat setelah tidak berjaya mendidik isteri dengan cara
menasihati dan setelah mengasingkan tempat tidur. Perkataan "pukul"
disini boleh difahami sebagai merotan dengan pukulan ringan dan merotan
tersebut mestilah dengan tujuan memberi didikan dan pengajaran, bukannya
bertujuan untuk menzalimi apatah lagi untuk tujuan mendera. Dalam hal ini, Imam
Abu Bakar al-Jaza'iri menyatakan dalam kitabnya Aysar al-Tafasir, dengan
menyebut langkah ketiga iaitu memukul isteri dengan pukulan yang tidak
menyakitkan, menyebabkan luka dan mematahkan mana-mana anggota. Selain itu, Dr.
Muhammad al-Zuhaili menyebut dalam kitab al-Mu'tamad fi al-Fiqh al-Syafie,
suami perlu menjauhi dari memukul bahagian badan yang dimuliakan dan kawasan
badan yang membahayakan nyawa, dan pukulan hanya dibenarkan jika diyakini boleh
mendidik isteri dan isteri akan kembali mematuhi suami.
Dalam konteks mendidik anak pula, baginda Nabi Muhammad SAW
memerintahkan agar ibubapa menyuruh anak mendirikan solat pada usia 7 tahun dan
merotan anak pada usia 10 tahun jika enggan menunaikan solat. Hal ini terakam
di dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, daripada Abdullah bin Amru RA, sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Suruhlah anak-anak kamu yang berumur 7 tahun untuk mendirikan
solat, dan pukullah mereka (apabila dia tidak mahu mendirikan solat) apabila
berumur 10 tahun”
Hadith ini menjelaskan bahawa menjadi tanggungjawab para ibubapa
untuk mendidik anak-anak tentang kepentingan solat. Dalam hal ini, Imam
al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu' Syarah al-Muhazzab, menukilkan kata-kata
oleh Imam al-Syafie yang bermaksud :
"Menjadi tanggungjawab ke atas para ibu dan bapa untuk
mendidik anak-anak mereka, serta mengajarkan ilmu berkaitan taharah, solat, dan
memukul anak-anaknya sekiranya mereka meninggalkannya semasa telah sampai umur
berakal (mumayyiz)".
Jelaslah bahawa hukuman rotan sememangnya dinyatakan dengan jelas
oleh syarak. Dengan pelbagai keadaan yang diharuskan untuk memberi hukuman
rotan, semua keharusan merotan tersebut adalah dengan bersyarat iaitu merotan
dengan tujuan untuk memberi didikan dan pengajaran dan bukannya untuk
penderaan. Pelaksanaan merotan telah digariskan beberapa panduan oleh syarak.
Antara lain, Islam melarang merotan atau melakukan sebatan dengan melebihi 10
kali kecuali pada hukum hudud. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh baginda
Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Abi Burdah
al-Ansari RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Tidak disebat seseorang itu melebihi sepuluh kali sebatan
kecuali pada (hukuman) had daripada hudud-hudud Allah SWT".
Selain itu, Islam turut menekankan mengenai tujuan hukuman rotan
diberikan. Islam sangat melarang bersikap melampau dalam merotan meskipun untuk
tujuan mendidik. Hukuman rotan mestilah dilakukan dengan cara yang tidak
mengundang kecederaan. Tambahan lain, Islam juga amat melarang keras daripada
memukul di bahagian muka atau wajah. Memukul dalam erti kata menggunakan rotan
sekalipun, tetap dilarang dan ditegah daripada terkena bahagian muka. Larangan
ini sebagaimana yang terdapat di dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada
Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Apabila salah seorang daripada kamu bergaduh maka hendaklah
dia menjauhi (dari memukul) muka".
Maka dapat kita simpulkan bahawa hukuman rotan adalah dibenarkan
oleh Islam dengan syarat-syarat tertentu. Antaranya hendaklah merotan dengan
tujuan untuk mendidik dan bukannya mendera. Hukuman rotan juga mestilah
dilakukan dengan cara tidak memukul bahagian muka atau wajah selain hendaklah
dilakukan hukuman rotan dengan cara yang tidak mendatangkan kecederaan.
Demikianlah bagaimana Islam melihat hukuman rotan. Sewajarnya kita harus faham
bahawa merotan bukanlah bermaksud menghukum semata-mata. Malah merotan juga
adalah suatu ruang memberikan pengajaran bermakna dalam kehidupan. Tanpa
dinafikan, kaedah rotan bukanlah satu-satunya kaedah yang terbaik dalam memberi
hukuman. Namun hakikatnya menunjukkan kerana rotan, ramai yang telah
dimanusiakan. Semoga Allah mengampuni kita semua.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan