Rabu, 12 November 2025

ADAKAH NAMA ALLAH HANYA 99 NAMA ?

 

Kita sangat percaya dan yakin bahawa setiap nama atau gelaran yang diberikan oleh kedua ibubapa kita bukanlah semata-mata hanya susunan abjad sahaja tanpa punyai makna dan harapannya. Tentu sekali disebalik nama atau gelaran yang diberikan mempunyai cita dan harapan yang tersendiri. Dalam Islam, memberikan nama kepada anak hendaklah dengan nama yang membawa maksud yang baik. Ini menunjukkan sesuatu nama atau gelaran yang diberikan akan menjadi lambang kepada maruah manusia itu sendiri. Tidak bermaruah atau tidak senonoh jika manusia yang dianggap sebagai sebaik-baik ciptaan namun diberi nama dan gelaran yang tidak mendatangkan makna yang baik. Islam amat menitikberatkan soal memberi nama yang baik ini. Dalam banyak nama-nama yang baik, Allah SWT dikenali dengan 99 nama Nya. Persoalan yang timbul, adakah Allah hanya miliki nama sebanyak 99 nama ?

Secara asasnya, manusia akan dapat mengetahui dan mengenali nama-nama Allah hanya melalui apa yang telah dikhabarkan oleh Nya sendiri menerusi al-Quran yang merupakan kalam Allah mahupun menerusi ungkapan lisan Rasul Nya iaitu hadith Nabawi. Ini bermakna, sumber yang tepat lagi sahih untuk mengenali nama-nama Allah hanyalah melalui wahyu al-Quran dan al-Hadith. Kesemua nama-nama Allah tersebut menurut Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, adalah bersifat tauqifiyyah. Perkataan "Tauqifiyyah" merujuk pada maksud sesuatu itu mestilah berlandaskan kepada dalil dari al-Quran dan al-Hadith. Ianya tidak boleh dicanang atau didakwa dengan sewenang-wenangnya. Maka kita akan dapat merungkaikan persoalan mengenai jumlah nama Allah 99 ini dengan memahaminya dari wahyu al-Quran dan hadith. Pertama sekali, Allah SWT menerusi al-Quran telah menegaskan bahawa segala nama-nama Nya adalah nama yang baik dan mulia. Ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah dalam surah al-A'raf ayat 180, firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :

“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu.”




Ini bermakna segala nama yang baik lagi mulia adalah kepunyaan Allah SWT. Segala kepunyaan kebaikan dan kemuliaan itu hanyalah milik mutlak Allah Azza Wa Jalla. Dalam pada itu, tentang jumlah 99 nama Allah, terdapat satu hadith riwayat Bukhari dan Muslim, yang menjelaskan tentang 99 nama Allah. Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah memiliki sembilan puluh sembilan nama, seratus kurang satu. Sesiapa yang ‘menghitungnya’ (menyebut dalam doa dan mengamalkan secara berterusan) maka dia akan masuk syurga.”

Berdasarkan hadith ini, Imam al-Nawawi menyebut dalam kitabnya al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, para ulama telah bersepakat bahawa hadith ini tidak menunjukkan nama-nama Allah SWT hanya sebanyak itu sahaja dan ia juga tidak bermakna bahawa Allah SWT tidak mempunyai nama-nama lain selain daripada 99 nama ini. Adapun maksud hadith ini adalah bahawa sesiapa yang menghafalnya, memahami serta menjaganya maka dia akan masuk ke dalam syurga. Maka yang diinginkan di dalam hadith ini adalah pengkhabaran antara sebab yang boleh menyebabkan masuk ke dalam syurga bukannya menetapkan bilangan nama-nama Allah SWT sebanyak ini sahaja. Demikian ulasan al-Nawawi. Maka boleh kita katakan tanpa ragu lagi, nama Allah SWT bukan sahaja jumlah 99 nama bahkan nama Allah Azza Wa Jalla lebih banyak daripada itu. Hal ini berdasarkan dalam sebuah hadith dengan sanad yang dha'if riwayat Ahmad, daripada Abdullah bin Mas'ud RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Tidaklah apa-apa masalah atau kesedihan menimpa seseorang, lalu orang itu membaca :

اللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ ، وَابْنُ عَبْدِكَ ، وَابْنُ أَمَتِكَ ، نَاصِيَتِي بِيَدِكَ ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي ، وَنُورَ صَدْرِي ، وَجِلَاءَ حُزْنِي ، وَذَهَابَ هَمِّي ،

“Ya Allah, sesungguhnya aku hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubunku di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas ku dalam keputusan-Mu, aku memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, (aku memohon kepada-Mu) untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati ku, cahaya di dada ku, penghilang kesedihan ku, penghapus kesusahan ku,”

(Apabila seseorang membaca seperti ini) pasti Allah akan menghapuskan kesusahan dan kesedihannya, dan menjadikan untuknya jalan keluar. Abdullah bin Mas’ud RA bertanya : “Ya Rasulullah, perlukah aku mempelajari doa ini?” Baginda SAW menjawab : “Sudah pasti, sesiapa yang mendengarnya perlu mempelajarinya.”




Melalui pemahaman hadith ini, dalam kitab Majmu' al-Fatawa, Imam al-Khattabi dan selainnya berkata yang bermaksud :

"Ini menunjukkan bahawa Dia memiliki nama-nama yang Dia rahsiakan. Hal tersebut menunjukkan bahawa sabda Nabi SAW : "Sesungguhnya Allah memiliki 99 nama, siapa yang membacanya masuk syurga," bahawa Allah SWT memiliki 99 nama yang apabila ada seseorang yang mengamalkannya, maka dia akan masuk syurga. Sebagaimana seseorang berkata, "Saya memiliki wang seribu dirham yang saya sediakan untuk sedekah”, sedangkan wangnya lebih banyak daripada itu. Dan Allah SWT dalam Al-Quran berfirman,وَلِلَّهِ الأَسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا(Dan Allah memiliki nama-nama yang agung, maka berdoalah dengannya). Dia memerintahkan agar berdoa dengan nama-namanya yang mulia secara mutlak. Dia tidak mengatakan bahawa namanya cuma 99 nama."

Selain pada itu, turut memberi komentar berhubung hal ini ialah Imam Ibnu al-Qayyim al-Jauziyyah melalui penulisannya dalam kitabnya Badai' al-Fawa'id, beliau menjelaskan bahawa :

"Nama-nama Allah yang indah tidaklah terbatas bilangannya. Sesungguhnya Allah memiliki nama dan sifat yang Dia rahsiakan dalam ilmu ghaib-Nya. Malaikat yang rapat dengan-Nya pun tidak mengetahui, tidak juga para nabi yang diutuskan, sebagaimana dalam hadis (riwayat Ahmad di atas). Dia telah menjadikan namanya kepada tiga bahagian. Pertama, Nama yang Dia berikan kepada diri-Nya dan Dia menzahirkan hal itu kepada sesiapa yang Dia kehendaki daripada malaikat-Nya, dan selain mereka tetapi Dia tidak menyatakannya di dalam kitab-Nya. Kedua, Nama yang Dia turunkan dalam kitab-Nya untuk mengenalkan-Nya kepada hamba-hamba-Nya dan yang ketiga Nama-nama yang Dia rahsiakan pada ilmu ghaib-Nya dan tidak diketahui oleh satu makhluk pun”.

Demikianlah persoalan mengenai 99 nama Allah SWT. Apa yang jelas ialah hakikatnya nama Allah Azza Wa Jalla bukanlah sekadar jumlah 99 tetapi banyak lagi nama-nama Allah yang manusia tidak mengetahui termasuklah makhluk lain seperti malaikat. Segala penjelasan yang dinukilkan oleh para ulama membuktikan bahawa Allah SWT mempunyai nama yang banyak. Sebahagian kecil nama tersebut dikhabarkan oleh Allah SWT melalui a-Quran dan hadith manakala sebahagiannya lagi adalah dirahsiakan oleh Nya. Maka oleh itu kita sebagai orang yang beriman, harus yakin dan percaya bahwa nama Allah lebih dari itu tetapi yang dikhabarkan oleh Allah hanyalah 99 nama. Semoga Allah Azza Wa Jalla merahmati dan mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan