Perkahwinan yang dibina bukan sahaja berasaskan kepada perasaan
kasih dan sayang malah ianya dituntut oleh peranan dan tanggungjawab yang telah
ditetapkan oleh Islam. Dalam ajaran agama Islam, perkahwinan merupakan suatu
nilai ibadah yang mulia dan tinggi kedudukannya. Sebagaimana yang dijelaskan
oleh syariat Islam, perkahwinan merupakan sunnah baginda Nabi Muhammad SAW. Ini
membuktikan bahawa baginda Nabi SAW selain menjadi manusia pilihan Allah
sebagai utusan Nya, baginda juga seorang insan yang memiliki sifat naluri dan
fitrah sebagai seorang manusia biasa. Maka Islam sebagai agama yang memahami
akan tuntutan fitrah tersebut, perkahwinan menjadi syariat terpenting yang
menzahirkan maksud ketaatan hamba kepada Allah selain mengangkat nilai fitrah
insani dengan memelihara nasab keturunan umat manusia.
Perkahwinan menuntut suatu tanggungjawab dan hak yang mesti
ditunaikan. Dalam hal ini, terdapat satu perkara penting yang ditekankan dalam
kerukunan rumahtangga iaitulah yang dinamakan sebagai nafkah batin. Perkataan "Nafkah"
adalah berasal dari bahasa Arab. Pada sudut bahasa, nafkah merujuk kepada
maksud belanja atau biaya. Dalam kitab al-Mu'tamad fi al-Fiqh al-Syafie,
nafkah pada sudut bahasa ialah mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang
terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian,
tempat tinggal dan selainnya. Ia di namakan Nafaqah kerana dikeluarkan
atau digunakan untuk keperluan itu. Selain itu, menurut Kamus Dewan Edisi
Keempat, ungkapan nafkah difahaminya sebagai wang atau makanan dan lain-lain
yang diperlukan untuk hidup dan sara diri dan juga perbelanjaan dan lain-lain
yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya.
Perkataan "Batin" pula adalah kosa kata
dari bahasa Arab yang diambil dari huruf ba (ب), tho (ط)
dan nun (ن) yang bermaksud
sebelah dalam dan bahagian dalam tersebut disebut sebagai jiwa. Menurut Ibn
Manzur dalam kitabnya Lisan al-'Arab, perkataan batin merujuk kepada
maksud segala sesuatu yang tersembunyi. Begitu juga menurut Kamus Dewan Bahasa
dan Pustaka, perkataan batin dimaksudkan sebagai hati atau perasaan dalam hati,
jiwa atau tersembunyi dan ghaib. Maka dapat kita rumuskan bahawa ungkapan "Nafkah
Batin" boleh difahami sebagai suatu keperluan yang mengisi kantung
perasaan, jiwa dan emosi dengan perasaan kasih, cinta dan sayang antara suami
dan isteri. Tuntutan nafkah secara umumnya mengandungi dua bentuk iaitulah
pertama, nafkah zahir yang merangkumi maksud perbelanjaan yang dikeluarkan oleh
suami mengikut kemampuannya untuk menyediakan perkara asas sepeeti tempat
kediaman, makanan dan minuman selain pakaian dan kesihatan. Kedua, disebut
sebagai nafkah batin yang merangkumi soal mengisi perasaan, emosi dan jiwa
dengan kasih sayang.
Syariat perkahwinan yang menjadi lambang syiar kepada agama Islam
menekankan tanggungjawab suami dalam menunaikan atau memberikan nafkah batin
kepada isteri. Penekanan ini dapat dilihat berdasarkan firman Allah SWT di
dalam al-Quran menerusi surah al-Baqarah ayat 223, firman Allah Azza Wa Jalla
yang bermaksud :
"Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh
itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah
(amal-amal yang baik) untuk diri kamu; dan bertaqwalah kepada Allah serta
ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemuiNya (pada hari akhirat kelak) dan
berilah khabar gembira wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman".
Berdasarkan ayat ini, Allah SWT menuntut agar para suami yang
menjadi tonggak utama dalam berumah tangga melayani isteri dengan cara dan
kaedah yang penuh kebaikan. Dalam erti kata lain, Allah melarang para suami
bersikap keras dan kasar terhadap isterinya termasuklah dalam melakukan
hubungan seksual. Ini kerana para isteri adalah amanah untuk suami dalam
menjaga dan memelihara perasaannya. Dalam menafsirkan ayat ini, Imam Ibnu
Kathir dalam kitab tafsirnya telah menukilkan pandangan oleh beberapa tokoh
lain seperti Ibn Abbas RA, Mujahid, Sa'id bin Jubair, al-Hasan juga Qatadah dan
lain-lain lagi dengan menyebut bahawa maksud yang dikehendaki dari ayat
tersebut ialah para isteri adalah ketenangan bagi para suami dan begitu juga
sebaliknya para suami adalah ketenangan bagi para isteri. Selain itu, menurut
Imam al-Tabari dalam kitab tafsirnya beliau menjelaskan bahawa bahawa maksud ayat
ini adalah berkumpulnya dua jasad menjadi satu “bersetubuh”.
Selain itu, nafkah batin yang juga difahami sebagai maksud memenuhi
kantung perasaan, jiwa dan emosi isteri dengan baik turut dijelaskan oleh
baginda Nabi Muhammad SAW melalui sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim,
daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Pergaulilah kaum wanita itu dengan pergaulan yang lemah lembut,
kerana sesungguhnya kaum wanita itu dijadikan dari tulang rusuk dan
sesungguhnya tulang rusuk itulah yang sebengkok-benkoknya ialah yang paling
atas. Maka apabila engkau hendak meluruskannya, luruskannlah dengan perlahan
dan apabila tidak diluruskan, ia sentiasa bengkok selama-lamanya. Oleh sebab
itu pergaulilah wanita dengan pergaulan yang lemah lembut”.
Berdasarkan hadith ini, Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya Fath
al-Bari, ketika menjelaskan maksud hadith tersebut beliau menyebut bahawa
asal kejadian wanita ialah tulang rusuk lelaki (Nabi Adam AS) iaitu ia bersifat
bengkok secara semula jadi. Ini bermakna wanita tidak mampu menerima pelurusan
sepenuhnya kerana sifat asal kejadiannya yang bengkok. Oleh itu, jika si lelaki
(suami atau bapa) cuba melurusnya pasti ia akan patah. Selain itu, Abu al-Hasan
Nuruddin pula menyebut dalam kitab Mirqah al-Mafatih, bahawa seorang
suami tidak sepatutnya berlebih-lebihan dalam meluruskan kekurangan si isteri
kerana ia akhirnya membawa kepada penceraian dan pengakhiran yang tidak baik.
Oleh itu si suami perlu ada sikap toleransi dan pemaaf atas kekurangan yang ada
pada isteri. Demikian penjelasan oleh para sarjana Islam mengenai makna
tuntutan nafkah batin. Daripada penjelasan tersebut, boleh kita fahami bahawa
Islam bukan sahaja menuntut para suami untuk menunaikan hak isteri dengan kadar
memenuhi keperluan fizikal semata-mata seperti makan dan minum tetapi Islam
juga menekankan akan keperluan para suami memenuhi tanggungjawab batin mengisi
perasaan, jiwa dan emosi isteri dengan cara yang baik dn terhormat.
Umum perlu mengetahui dan memahami bahawa menunaikan tuntutan
nafkah batin tidak sekadar berputar soal hubungan seksual semata. Walau tidak
dinafikan kepentingan hubungan intim antara suami isteri adalah sebahagian
daripada maksud tuntutan nafkah batin. Tetapi juga adalah sangat penting untuk
para suami memenuhi kantung perasaan isteri dengan cara bercakap dengan baik
seperti memanggil isteri dengan panggilan yang manja, mendengar keluhan dan
masalah isteri selain mengungkapkan kata-kata pujian kepada isteri. Ini juga
sebahagian daripada tuntutan perkara batin yang mesti dilakukan. Dalam konteks
hubungan seksual sekalipun, para suami dituntut untuk melakukan persetubuhan
dengan cara yang disenangi oleh isteri, tidak menyakiti apatah lagi mendera
isteri secara seksual. Mengimbangi dalam hal ini, bagi para isteri pula
sekalipun mahu menolak untuk berhubungan seksual dengan suami, tolaklah dengan
cara baik dan bukannya dengan menghembur kata-kata yang boleh menyakiti hati
dan perasaan suami.
Demikianlah sedikit sebanyak yang boleh diperkatakan dalam
menghuraikan maksud tuntutan nafkah batin. Hukumnya adalah berdosa jika para
suami tidak memberikan nafkah batin sebagaimana yang telah digariskan oleh
syarak. Dalam isu ini, para isteri setelah benar mendapati suaminya gagal atau
culas dalam menunaikan nafkah mempunyai hak untuk membawa hal tersebut ke
perhatian mahkamah dengan membuat aduan kepada hakim. Dengan pembuktian yang
kukuh, isteri yang teraniaya memiliki hak untuk menuntut penceraian. Begitulah
Islam sebagai agama yang meraikan naluri dan fitrah insani. Harus diingatkan
bahawa perkahwinan bukanlah suatu permainan hidup yang boleh diperolok-olokkan.
Ianya menuntut kepada makna sebuah tanggungjawab, peranan dan fungsi yang harus
dimainkan oleh suami dan isteri. Semoga Allah Azza Wa Jalla merahmati dan
mengampuni kita semua.



Tiada ulasan:
Catat Ulasan