Perbuatan memberi hadiah pada perspektif Islam sangatlah
dipandang mulia amalan tersebut. Amalan memberi hadiah bukan sahaja mendidik
jiwa penerima untuk bersyukur tetapi mengikis sifat kedekut pada si pemberi.
Pun begitu, tidak semua pemberian hadiah dianggap mulia. Ada kalanya perbuatan
memberi hadiah boleh dianggap berdosa apabila membabitkan jenayah rasuah. Perkataan
"Hadiah" berasal daripada bahasa Arab. Maksud hadiah
sebagaimana yang terdapat dalam kitab Aqrab al-Masalik, hadiah bermaksud
pemberian seseorang yang sah memberi ketika dia masih hidup secara tunai tanpa
ada sebarang syarat dan mengharapkan balasan. Pada sudut istilah pula, dalam
kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, disebutkan bahawa
dikalangan ulama mazhab Syafi'e, mereka menyebut bahawa hadiah ialah pemilikan
sesuatu benda tanpa berlakunya pertukaran dan berlakunya perpindahan (barang
tersebut) kepada orang yang dihadiahkan sebagai tanda penghormatan. Hukum
memberi hadiah menurut kesepakatan para fuqaha' adalah disunatkan pada asalnya,
melainkan sekiranya kepentingan yang mendatang. Perkataan "Sedekah"
pula sebagaimana yang dijelaskan dalam kitab al-Majmu’ syarah al-Muhazzab,
merujuk kepada maksud pemberian hak milik ketika hidup tanpa mengharapkan
pembalasan bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Menurut Ibnu Manzur
dalam kitabnya Lisan al-Arab, sedekah bermaksud sebagai satu pemberian
yang diniatkan kerana Allah SWT kepada golongan fakir yang memerlukan.
Manakala perkataan "Rasuah" boleh
diterjemahkan sebagai pemberian atau penerimaan wang sogokan, komisen,
pelincir, duit kopi, ang pow atau under table money bagi masyarakat umum. Ungkapan
rasuah dalam bahasa Arab disebut sebagai "ar-Risywah" atau "ar-Rasywah".
Perkataan rasuah pada sudut bahasanya difahami sebagai sesuatu penyambung yang
dapat menghantarkan tujuan dengan harta sogokan. Dalam makna lain, sebagaimana
yang dinukilkan dalam kitab al-Misbah al-Munir fi Gharib al-Syarh al-Kabir,
rasuah membawa maksud sesuatu yang diberikan oleh seseorang kepada hakim atau
orang lain agar hakim itu memenangkannya atau hakim itu memutuskan hukum sesuai
dengan apa yang diinginkannya. Pada sudut istilah, rasuah seperti yang
dinukilkan dalam kitab al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah, merupakan sesuatu yang
diberikan untuk membatalkan kebenaran atau untuk menegakkan kebatilan. Menurut
Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam,
beliau menyebut :
"Termasuk memakan harta orang lain dengan cara yang batil
ialah menerima rasuah. Iaitu wang yang diberikan kepada penguasa atau pegawai,
supaya penguasa atau pegawai tersebut menjatuhkan hukuman yang
menguntungkannya, atau hukum yang merugikan lawannya menurut kemahuannya, atau
supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada suatu kepentingan dan
sebagainya".
Pengertian rasuah menurut undang-undang, ditakrifkan sebagai
suapan. Dibawah Seksyen 3, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM)
2009, suapan ditakrifkan sebagai wang, derma, alang, pinjaman, fi, hadiah,
cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis
harta, sama ada alih atau tak alih, faedah kewangan, atau apa-apa manfaat
seumpamanya itu yang lain. Suapan juga dirujuk sebagai apa-apa jawatan,
kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa
perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa
sifat, atau apa juga bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa
pinjaman, obligasi atau liabiliti lain, sama ada keseluruhannya atau sebahagian
daripadanya. Selain itu, suapan juga difahami sebagai apa-apa jenis balasan
berharga, apa-apa diskaun, komisen, rebat, bonus, potongan atau peratusan dan
apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain. Demikian juga suapan boleh
juga dirujuk sebagai makna apa-apa tawaran, aku janji atau janji, sama ada
bersyarat atau tidak bersyarat, untuk memberikan suapan.
Pada asalnya, amalan memberi hadiah adalah merupakan suatu amalan
yang mulia sekali. Malah baginda Nabi Muhammad SAW apabila menerima sesuatu
hadiah, pastinya baginda akan membalasnya pula dengan turut memberi hadiah
kepada yang memberi baginda hadiah. Hal ini boleh dilihat sebagaimana yang
terdapat dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Umm al-Mukminin Aisyah
RAnha bahawa beliau berkata yang bermaksud :
“Rasulullah SAW menerima hadiah dan Baginda membalasnya.”
Selain dalam hadith yang lain riwayat al-Baihaqi, al-Tabrani juga
Bukhari, daripada Abu Hurairah RA, sabda baginda Nabi Muhammad SAW yang
bermaksud :
“Hendaklah kamu saling memberi hadiah. Nescaya, kamu akan saling
mengasihi dan mencintai.”
Melalui pemahaman hadith ini, menjelaskan kepada kita bahawa secara
dasarnya Islam amat menggalakkan umatnya untuk saling memberi hadiah dengan
tujuan yang baik lagi diredai oleh Allah SWT. Dalam kitab al-Tanwir Syarh
Jami' al-Saghir, al-'Allamah Amir al-Sana'ni menyebut bahawa ini kerana
pemberian hadiah, ia dapat dicapai seperti apa yang dikehendaki oleh Allah SWT
daripada kelembutan hati dan salin cenderung antara satu sama lain. Namun
begitu, bukanlah semua bentuk pemberian hadiah itu digalakan oleh Islam. Dalam
keadaan tertentu, Islam melarang sama ada pemberi hadiah atau penerima, untuk
memberi atau menerima hadiah diatas dasar berkepentingan. Ini bermakna, tidak
boleh kita memberi hadiah dengan mengharapkan sesuatu balasan dan bagi pihak
penerima pula, tidak boleh menerima hadiah diatas hasil pertolongan yang
diberikan. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abu Humaid as-Sa'idi,
beliau berkata :
"Rasulullah SAW mengambil seorang lelaki dari suku Al-Asad
bernama Ibnu Luthbiyah sebagai pekerja. Amru dan Ibnu Abu 'Umar berkata (Nabi
SAW mengupah lelaki tersebut) untuk mengumpulkan harta zakat. Ketika lelaki
tersebut menyerahkan zakat yang dikutip, dia berkata, "Zakat ini kuserahkan
kepada kamu (Rasulullah), dan ini pemberian orang kepadaku sebagai
hadiah." Abu Humaid berkata, "Rasulullah SAW lalu naik ke atas mimbar
dan berkhutbah, setelah baginda memuji-muji Allah, baginda menyatakan:
"Adakah patut seorang petugas yang aku tugaskan untuk mengurus suatu
tugas, dia berkata, 'Ini untuk kamu, dan ini hadiah orang kepadaku!.' Mengapa
dia tidak duduk saja di rumah ibu bapanya menunggu orang menghantarkan hadiah
kepadanya?
“Demi (Allah), yang jiwaku berada di tanganNya. Tidaklah seseorang
mengambil sesuatu daripadanya (harta secara tidak halal), melainkan dia akan
datang pada hari Kiamat sambil memikul ditengkuknya. Jika (yang diambil) seekor
unta, maka (unta itu) bersuara. Jika (yang diambil) seekor lembu, maka (lembu
itu pun) bersuara. Atau jika (yang diambil) seekor kambing, maka (kambing itu
pun) bersuara." Kemudian baginda mengangkat kedua tangannya sehingga kami
melihat putih kedua ketiaknya, kemudian baginda bersabda: 'Ya Allah, telah aku
sampaikan.' Baginda mengatakannya dua kali."
Berdasarkan hadith ini, beberapa pengajaran yang boleh kita ambil
antara lain ialah setiap pekerja yang diupah melakukan suatu pekerjaan, menjadi
kewajipan kepadanya melaksanakan pekerjaan tersebut dengan amanah bukan
mengkhianatinya. Selain itu, sesiapa yang mengambil sesuatu yang lain daripada
upah yang dibayar kepadanya, akan dipersoal di hari kiamat. Dalam masa yang
sama, kita juga harus ingat bahawa Menerima sebarang bentuk hadiah lebih-lebih
lagi daripada orang yang berurusan dengan bidang kerjanya adalah dilarang
kerana dibimbangi ada tujuan lain. Dalam konteks perundangan di Malaysia pula,
mana-mana pegawai awam dilarang daripada memberi atau menerima hadiah sekiranya
berkaitan dengan tugas awamnya. Bagi penjawat awam yang juga menjadi tulang
belakang kepada dasar kerajaan, adalah menjadi kepercayaan tinggi oleh
masyarakat agar kesejahteraan rakyat diperkukuhkan. Oleh itu, amat malang
sekali nasib masa depan negara andai ada yang memberi dan menerima rasuah.
Menurut Pekeliling Perkhidmatan Awam Bil. 3 Tahun 1998, hadiah
ditakrifkan sebagai wang, harta alih atau tak alih, kenderaan, tambang percuma,
saham, tiket loteri , kemudahan perjalanan, hiburan, perkhidmatan, keahlian
kelab, apa-apa bentuk diskaun atau komisen, hamper, barang kemas, perhiasan,
apa-apa pemberian, cenderamata, atau apa-apa benda yang bernilai yang diberi
kepada atau diterima oleh pegawai itu, isterinya atau mana-mana orang lain bagi
pihaknya daripada mana-mana orang, dengan tiada balasan atau balasan yang
diketahui oleh pegawai itu tidak mencukupi ataupun mencukupi. Demikianlah
pemberian hadiah yang ada ketikanya boleh menjadi saham pahala dengan
bersedekah dan ada kalanya pula boleh menjadi saham dosa dengan memberi rasuah.
Sebagai manusia yang masih mempunyai nilai integriti, jujurlah dengan amanah
yang diberi, janganlah sesekali terfikir untuk mengambil harta yang bukan dari
hak kita. Sesungguhnya perbuatan memberi dan menerima rasuah merupakan
perbuatan terkutuk, jijik dan terhina. Implikasi daripada perbuatan rasuah
tersebut, bukan sahaja menggugat sistem ekonomi negara malah mampu meragut
kesejahteraan rakyat selain mengikis nilai kepercayaan kepada sistem keadilan.
Semoga kita semua dirahmati, diberkati dan diampuni oleh Allah Azza Wa Jalla.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan