Jumaat, 14 November 2025

HAKIKAT ULAMA YANG JAHAT

 

Keilmuan adalah sesuatu yang sentiasa dipandang tinggi dan mulia nilainya. Kerana ilmu yang ada, manusia dapat mengeluarkan dirinya dari lembah kebodohan kepada cahaya kebijaksanaan. Dengan ilmu jua, manusia mampu mengenal hakikat dirinya sendiri yang kerdil dan lemah ini. Berbeza dengan ilmu Allah, manusia mempunyai keterbatasan akal dalam menguasai sesuatu ilmu berbanding ilmu Allah pula sangatlah luas tanpa sempadan. Islam amat mengiktiraf kedudukan orang yang berilmu. Oleh kerana itu, Allah telah menjanjikan laluan mudah untuk ke syurga bagi sesiapa yang berada di jalan mencari ilmu. Biarpun begitu, ilmu secara umumnya boleh dibahagikan kepada dua kategori. Pertama, ilmu yang bermanfaat, iaitu ilmu yang bersifat mendekatkan diri kepada Allah selain mengangkat nilai kebenaran. Kedua, ilmu yang tidak bermanfaat seperti ilmu sihir, santau dan lain-lain. Ilmu ini bersifat mungkar, jahat dan keji.

Perkataan "Ulama" adalah berasal dari bahasa Arab. Pada sudut bahasa, sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibnu Manzur dalam kitab Lisan al-'Arab, ungkapan ulama adalah kata jamak bagi perkataan 'alim yang bermaksud seorang yang berilmu. Lawan bagi 'alim pula ialah jahil. Dalam bahasa Arab, jika seseorang itu benar-benar 'alim, maka dia akan digelar dengan gelaran seperti 'allam atau 'allamah. Menurut istilah pula, perkataan ulama mempunyai pelbagai definisi dan kesemuanya saling terkait antara satu sama lain. Telah berkata Imam Ibn Qayyim dalam kitab I'lam al-Muwaqqi'in 'an Rab al-'Alamin, beliau menyebut ulama adalah golongan ahli fiqh Islam di mana fatwa-fatwa seringkali dikeluarkan menerusi kata-kata dan pendapat mereka. Mereka berkeahlian dalam mengeluarkan hukum dan memelihara dengan tegas kaedah-kaedah halal dan haram. Mereka di bumi umpama bintang-bintang di langit. Melalui mereka, manusia yang keliru mendapat petunjuk. Keperluan manusia kepada mereka pula melebihi keperluan kepada makan dan minum.



Selain itu, Imam al-Tabari pula mnyebut dalam kitabnya Jami’ al-Bayan, ulama ialah golongan yang Allah jadikan sebagai tiang kepada manusia untuk bersandar dan bergantung dalam permasalahan fiqh, ilmu urusan agama dan dunia. Sementara itu, Imam Abu Hayyan menjelaskan maksud ulama menerusi kitab tafsirnya al-Bahr al-Muhit, beliau menyatakan bahawa ulama ialah mereka yang mengetahui tentang sifat-sifat Allah SWT dan mengesakan-Nya serta beriman dengan segala yang harus, wajib dan mustahil bagi-Nya, lalu mereka memuliakan dan mengagungkan-Nya sebagaimana yang selayaknya. Sesiapa yang bertambah ilmunya, maka akan bertambahlah takutnya kepada Allah SWT. Selain menurut Ibni Jinni dalam kitab Taj al-Arus min Jawahir al-Qamus, ulama ialah seseorang yang menceburi dan berkecimpung dengan ilmu dalam tempoh yang lama sehingga ia menjadi seperti darah dagingnya dan istilah ini tidak diberikan kepada orang yang baru ingin belajar kerana mereka ini hanya digelar dengan penuntut ilmu dan bukannya ulama.

Ringkasnya, berdasarkan penjelasan oleh para ulama berhubung makna perkataan tersebut, dapat kita rangkumkan makna ulama ialah merujuk kepada golongan orang yang berilmu dengan mendalaminya serta menguasai sesuatu bidang keilmuan tersebut. Secara literalnya, perkataan ulama merujuk kepada sesiapa sahaja yang mempunyai kepakaran dalam apa jua bidang yang dikuasainya dan tidak hanya terhad kepada bidang agama semata-mata. Sebagaimana umum mengetahui, agama Islam amat memandang tinggi kedudukan bagi para ulama. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh baginda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, daripada Abu Darda' RA, baginda bersabda yang bermaksud :

“Para ulama adalah pewaris Nabi, mereka tidak mewariskan dinar atau dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu, sesiapa yang mengambilnya, maka ia telah mengambil keuntungan yang besar.”




Namun begitu, bukanlah semua yang digelar ulama itu dianggap baik dan mulia. Para ulama boleh dibahagikan kepada dua golongan. Golongan pertama ialah ulama yang benar-benar mahu meninggikan syiar Islam. Adapun golongan ulama yang kedua, disebut sebagai "Ulama Su' yang membawa maksud orang yang berilmu tetapi bercita-citakan kepada keuntungan dunia. Ulama bagi golongan kedua ini yang difahami dengan perkataan ulama jahat, telah wujud sekian lama sejak dari zaman Bani Israel lagi. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-A'raf ayat 176, firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :

"Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya : ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya : ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir".

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT mengumpamakan golongan ilmuan dari kalangan Bani Israel seperti seekor anjing yang termengah-mengah sambil dalam keadaan menjelirkan lidahnya. Ibarat seperti seekor anjing yang sentiasa menjelirkan lidahnya tidak kira semasa haus atau tidak, begitulah juga Bani Israel yang sentiasa tunduk dan ikut hawa nafsu mereka tidak kira sama ada mereka tahu akan kebenaran atau sebaliknya. Mereka tetap dengan mengikuti kehendak nafsu. Dalam kita membicarakan mengenai ulama jahat, terdapat beberapa ciri yang boleh kita kenal pasti ulama jahat tersebut. Antara ciri ulama yang jahat ialah mereka menyuruh orang lain untuk melakukan kebaikan tetapi dirinya tidak melakukannya. Ini sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran menerusi surah al-Baqarah ayat 44, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?"




Ciri kedua ulama yang jahat ialah mereka yang berbuat sesuatu perkara yang menyelisihi perkataannya sendiri. Hal ini dapat dilihat dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Seorang lelaki akan didatangkan pada hari kiamat lalu dicampakkan ke dalam neraka, sehingga isi perutnya berkecai, kemudian dia berpusing-pusing seperti keldai mengelilingi penggilingan (tepung). Penghuni neraka berkumpul di sekelilingnya, bertanya, 'Wahai Fulan! Apa masalah kamu ? Bukankah sebelum ini kamu menyuruh manusia melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran?' Dia menjawab, 'Betul. Dulu aku suruh orang buat kebaikan tetapi aku tidak buat. Aku mencegah kejahatan, tetapi sebaliknya aku melakukannya"

Selain itu, ciri ulama yang jahat juga ialah mereka yang hanya menginginkan kesenangan di dunia dan sentiasa mendambakan reda manusia. Mereka berkata-kata semata-mata untuk meraih pujian manusia, mengharapkan ganjaran dunia selain mahu menjadi popular, diikuti oleh ramai pengikut dan sebagainya. Kesemua ini disifatkan sebagai kecenderungan kepada duniawi. Dalam sebuah hadith sahih lighairihi riwayat Ibnu Hibban, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesiapa yang mencari keredaan Allah dengan sesuatu yang (kadang-kadang) menyebabkan orang lain tidak menyukainya, maka Allah akan meredainya dan Allah akan menjadikan orang lain meredainya. Dan barangsiapa yang mencari keredaan manusia dengan sesuatu yang mengundang kemurkaan Allah, maka Allah akan murka kepadanya dan membuat manusia murka kepadanya".




Demikianlah sebahagian ciri ulama yang jahat yang boleh kita kenali sebagai pedoman buat diri kita. Ingatlah kita semua akan suatu pesanan oleh Nabi SAW, terkait mengenai kebimbangan dan ketakutan Nabi SAW lebih daripada bimbang akan kedatangan Dajjal. Dalam sebuah hadith sahih lighairih riwayat Ahmad, daripada Abu Zar RA telah berkata :

"Aku telah berjalan bersama Rasulullah SAW, lalu baginda berkata : Selain Dajjal ada sesuatu yang lebih aku takutkan menimpa kepada umatku. Sambil menyebutkannya sebanyak tiga kali. Maka aku (Abū Zar) berkata : Wahai Rasulullah, apa yang kau takutkan menimpa umatmu selain Dajjal? Kata Baginda : Para imam yang menyesatkan".

Oleh yang demikian, dalam keghairahan kita mempelajari ilmu agama, kita haruslah bijak dan tahu membezakan antara ulama yang baik dan jahat supaya kita tidak terjerumus dalam kejahatan dan pembohongan mereka. Ketahuilah bahawa mereka yang bergelar ulama namun melakukan kejahatan, tidak lebih sekadar syaitan yang bertopengkan jubah, menipu manusia diatas jalan ilmu yang salah. Sewajarnya ulama yang berfungsi sebagai pewaris ilmu Nabi, mengajak manusia mendekati Allah, membesar dan mengagungkan Allah dan bukannya mengambil kesempatan diatas kejahilan orang lain dengan menipu dan menyeleweng akan kebenaran. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan