Setiap detik dan ketika yang berlalu tentunya membawa seribu satu
coretan dalam kehidupan yang sesingkat ini. Apa pun keadaan yang kita hadapi,
gelak tawa dan nangis hiba, semuanya akan terakam dalam memori ingatan kita.
Betapa besarnya nikmat hidup ini meskipun singkat dan tidak kekal, namun tetap
meninggalkan jejak yang membekas dalam memori manusia. Apatah lagi jika Allah
SWT mengurniakan kepada kita nikmat memperolehi lailatu qadar, yang padanya
dijadikan satu malam lebih baik dari seribu bulan. Andai sekecil-kecil nikmat
pun kita ingati, apatah lagi jika Tuhan merezekikan kita untuk bertemu pada
malam yang lebih baik dari seribu bulan ini.
Ungkapan Lailatul Qadar berasal dari bahasa Arab. Padanya terdapat
dua gabungan perkataan iaitu "Lailatul" dan "al-Qadar".
Perkataan Lailah merujuk pada makna apabila tenggelamnya matahari sehingga
terbitnya fajar atau bahasa mudahnya, membawa maksud waktu malam. Manakala
perkataan al-Qadar pula bermaksud kemuliaan atau hukum dan ketetapan. Menurut
Ibnu Qudamah seperti yang dinyatakan dalam kitabnya, al-Mughni, beliau
menjelaskan bahawa malam qadar ialah malam yang mulia, diberkati, diagungkan
dan mempunyai banyak kelebihan. Selain itu, Imam Ibnu al-Jauzi telah menyatakan
lima pendapat berkenaan dengan nama malam qadar. Antaranya, seperti pendapat
al-Zuhri, beliau menyatakan malam qadar bermaksud malam keagungan. Ibnu
Qutaibah pula menyatakan malam al-Qadar malam yang diberi hukum dan ketetapan.
Ini kerana kerana pada malam tersebut semua urusan ditentukan oleh Allah.
Secara umumnya, Lailatul Qadar merujuk kepada makna malam yang
padanya terdapat kemuliaan, malam yang diberkati, dirahmati dan padanya urusan
manusia ditentukan oleh Allah Azza Wa Jalla. Peristiwa Lailatul Qadar telah
disebutkan oleh Allah SWT dalam firman Nya melalui surah al-Qadr ayat 1- 5 yang
bermaksud :
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam
Lailatul-Qadar, (1) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran
Malam Lailatul-Qadar itu? (2) Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu
bulan. (3) Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka,
kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang
berikut); (4) Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!
(5)"
Telah berkata Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Majmu' Syarh
al-Muhazzab, menyatakan, para ashab kami yakni ulama dalam kalangan mazhab
Syafi‘i dan selain mereka menyebutkan bahawa ia merupakan sebaik-baik malam
dalam setahun. Ayat ke 3 "malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu
bulan" bermaksud malam itu lebih daripada seribu bulan yang tiada di
dalamnya lailatul qadar. Selain itu, lailatul qadar ini juga adalah khusus buat
umat ini, yang Allah SWT tambahkan kemuliaan kepada mereka, yang tidak ada pada
umat sebelumnya. Selain itu, Syeikh al-Maraghi berkata malam itu ialah saat
kemunculan sinar petunjuk dan hari permulaan bagi agama baru yang diturunkan
kepada seseorang yang terbaik dalam kalangan seluruh manusia.
Hakikatnya, pada malam al-Qadar atau disebut Lailatul Qadar ialah
malam yang lebih baik dari seribu bulan. Dalam hal ini, kita dapat melihat
bahwa Allah telah menyatakan angka seribu bulan. Jika dilihat pada angka
seribu, tentunya kita anggap ianya jumlah kecil. Pun begitu, angka seribu yang
dijelaskan oleh Allah bukanlah bermaksud benar-benar jumlahnya seribu tetapi
jumlahnya tidak ternilai hadnya. Ini kerana angka seribu mengikut kebiasaan
bangsa Arab dikira sebagai suatu jumlah yang besar. Oleh itu, sebutan seribu di
sini bukanlah seribu yang sebenarnya. Maka, difahami bahawa lebih baik dari
seribu bulan itu bermaksud lebih baik dari bulan-bulan lain yang tidak
terkiranya jumlahnya. Ungkapan ini untuk memberitahu kita betapa hebatnya satu
malam yang tiada yang lebih baik dari malam tersebut biarpun beribu-ribu malam,
beribu-ribu bulan, tahun dan sebagainya.
Lailatul Qadar padanya diangkat sebagai malam yang penuh
keberkatan. Ini kerana seperti yang dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Qadr
pada ayat yang pertama, Allah menyebutkan bahawa pada malam tersebut Allah telah
menurunkan al-Quran. Dalam hal ini, para ulama berbeza pendapat tentang bila
diturunkan al-Quran. Ini kerana terdapat sebahagian pendapat yang menyatakan
al-Quran turun pada 17 Ramadan. Sebahagian lagi menyatakan al-Quran diturunkan
pada malam al-Qadar. Menurut Imam Ibn Kathir menyatakan dalam kitab tafsirnya,
terdapat dua pandangan mengenai penurunan al-Quran. Pandangan pertama, seperti
yang disebutkan oleh Ibnu Abbas, pada malam al-Qadar tersebut, telah berlaku
penurunan al-Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul 'Izzah atau disebut sebagai langit
dunia secara serentak atau sekaligus sepertimana yang disebutkan di dalam surah
al-Qadr.
Pandangan kedua, seperti yang dinukilkan oleh Abu Jaafar al-Baqi,
penurunan pada hari nuzul al-Quran atau pada tanggal 17 Ramadan adalah
merupakan penurunan wahyu pertama yang diturunkan ke gua Hira’ yang mana ia
melibatkan permulaan surah al-‘Alaq sekali gus bermulanya penurunan wahyu
secara beransur-ansur dari Baitul ‘izzah kepada Rasulullah SAW. Berdasarkan
pandangan tersebut, dapat kita simpulkan bahawa malam penurunan al-Quran dan
malam Lailatul Qadar kedua-duanya adalah malam berlaku penurunan al-Quran
mengikut peringkatnya tersendiri. Malam 17 Ramadan yang masyhur dengan malam
nuzul al-Quran ialah malam permulaan turunnya al-Quran dari Baitul ‘izzah
(langit dunia) kepada Rasulullah SAW secara berperingkat. Adapun penurunan
al-Quran pada malam Lailatul Qadar adalah malam al-Quran diturunkan dari Luh Mahfuz
ke Baitul ‘izzah secara serentak 30 juzuk.
Selain itu, pada malam al-Qadar juga, telah turun para malaikat
bersama dengan ketua malaikat, Jibril AS yang disebutkan sebagai al-Ruh dengan
urusan manusia untuk setahun. Malam al-Qadar atau disebut Lailatul Qadar akan
berlaku diantara 10 malam terakhir di bulan Ramadan. Ini sebagaimana yang
dinyatakan oleh baginda Rasulullah SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari,
sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Carilah olehmu sekalian Lailatul Qadar itu pada waktu ganjil
sepuluh terakhir di bulan Ramadan"
Berdasarkan hadith ini, jelas kepada kita bahawa malam al-Qadar
akan berlaku pada 10 malam terakhir di bulan Ramadan. Selain itu, dikalangan
para ulama pula ada yang menyatakan malam al-Qadar akan berlaku pada malam 27
Ramadan seperti yang dipegang oleh Abu Ka'ab yang yakin dengan pandangan Ibnu
Mas'ud, juga disebut oleh Ibnu Abbas. Ada pula yang berpandangan berlaku pada
malam 23 Ramadan. Inilah pendapat yang dipegang oleh Imam al-Syafie. Maka
dengan itu kita akan dapati baginda Nabi SAW akan lebih bersungguh-sungguh
memfokuskan ibadah sepanjang malam tersebut dan akan mengejutkan ahli keluarga
Nabi untuk turut bangun malam beribadah kepada Allah. Hal ini sebagaimana yang
terdapat di dalam sebuah hadith riwayat Ibn Hibban daripada Aisyah RA, beliau
menceritakan yang bermaksud :
“Adapun Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir bulan
Ramadhan, Baginda SAW membangunkan ahli rumahnya, mengikat kainnya (menjauhi
isteri-isterinya) serta menghidupkan malam tersebut".
Pada malam al-Qadar itu terdapat banyak kelebihan. Antaranya
seperti yang disebutkan oleh Imam al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya, beliau
menyatakan bahawa malam al-Qadar mempunyai kelebihan kerana banyaknya
keistimewaan dan malam tersebut dibahagikan kebaikan yang banyak yang tidak
terdapat seumpamanya pada seribu bulan. Ramai ulama dan ahli tafsir berpendapat
amalan dilakukan pada malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan yang
tiada padanya malam al-Qadar. Hal ini, disokong oleh Abu al-‘Aliyah. Malah,
tambah al-Qurtubi, malaikat bersama ketua malaikat, Jibril AS turun ke langit,
mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia
untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu
fajar. Demikianlah apa yang ada pada malam tersebut.Semoga Allah mengampuni
kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan