Selasa, 30 April 2024

PERBUATAN JIRUS DAN RENJIS AIR PADA KENDERAAN

 

Sebagai seorang Islam yang berpegang teguh kepada akidah yang suci pastinya meletakkan kebergantungan harap dalam hidupnya hanya kepada Allah SWT. Bagi maksud dan tujuan tersebut, Allah SWT telah memerintahkan para hamba Nya untuk berusaha mencari jalan penyelesaian atau dalam bahasa mudah berikhtiar terlebih dahulu kemudian disusuli dengan sifat berserah diri kepada Allah. Meskipun Allah mampu sahaja untuk memberikan apa sahaja kepada hamba Nya tanpa sedikitpun hamba Nya berusaha, namun begitulah aturan hidup ini yang mesti datang dengan usaha kemudian barulah berserah bulat-bulat kepada Nya.

Namun begitu, dalam persoalan tentang berusaha atau berikhtiar, kadang kala manusia akan terperangkap dengan permainan iblis dan konco-konconya apabila usaha itu diukur pada pemahaman dan cara yang salah. Hatta kan, dalam keghairahan kita berusaha, kadang kala ada yang telah tenggelam punca melakukan perkara-perkara yang menyanggahi akidah Islam namun menganggap ini sekadar usaha semata-mata. Padahal perbuatan tersebut tidak disuruh apatah lagi ditunjukkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Antara perkara yang seringkali menjadi adat tradisi masyarakat sehingga hari ini ialah melakukan amalan menjirus air atau merenjis serta memercikkan air surah yasin, air wuduk, air solat hajat dan seumpamanya kepada kenderaan yang baharu dibeli dengan niat dan tujuan yang tertentu.




Amalan menjirus, merenjis atau memercik air pada adat sebahagian orang adalah bertujuan untuk menolak bala yang bakal berlaku dan menimpa. Bahkan perbuatan tersebut pada sebahagian masyarakat mempercayai bahawa hal perbuatan tersebut juga untuk memohon perlindungan pemilik kereta daripada perkara yang tidak diingini berlaku. Dalam maksud mudahnya, dengan perbuatan merenjis air tersebut dapatlah kiranya menolak, menghalang dan berlindung daripada sebarang perkara yang malang dan sial tersebut. Tidak kurang pula, ada yang beranggapan melakukan amalan demikian bukanlah untuk menolak sial dan malang tetapi lebih kepada tujuan untuk mendapat berkat tok guru atau para ulama yang melakukan renjisan tersebut. Dengan keberkatan tersebut, mudah-mudahan Allah berikan perlindungan dan kesejahteraan.

Melihat kepada beberapa tujuan dalam konteks yang berbeza, pertamanya kita harus faham bahawa perbuatan tersebut jelas dan terang, tiada sandaran yang kukuh daripada al-Quran dan Sunnah Nabi SAW. Oleh itu, kita juga perlu faham bahawa sesuatu perbuatan yang kita sangka ianya baik, tetapi tidak ada sebarang petunjuk daripada wahyu Allah yang membenarkannya maka perbuatan tersebut adalah tertolak. Ini sebagaimana yang telah dijelaskan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Ummul Mukminin 'Aisyah RAnha katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesiapa yang mengadakan pembaharuan dalam urusan kami ini (agama) yang bukan berasal darinya maka ianya tertolak"

Jelas kepada kita bahawa perbuatan merenjis, memercik atau menjirus air kepada kenderaan dengan niat dan tujuan tertentu tidak pernah dilakukan oleh baginda Nabi, para sahabat, para generasi awal Islam bahkan termasuk para imam mazhab yang empat, Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafie juga Imam Ahmd bin Hanbali, kesemuanya tidak pernah melakukan hal tersebut. Walhal, mereka yang dihormati ini merupakan golongan umat Islam yang terbaik dan diiktiraf oleh Nabi SAW sebagai golongan manusia pada kurun yang terbaik. Oleh itu, jika golongan terdahulu yang sangat dihormati ini pun tidak pernah melakukannya apatah lagi lebih-lebih mencontohi mereka dengan tidak melakukan perkara tersebut.




Tokoh ilmuan Islam yang terkenal, Imam Ibn Katsir pernah menyatakan dalam kitabnya, al-Bidayah Wan-Nihayah, beliau dengan tegas menyebutkan bahawa jika sesuatu perkara itu dianggap baik, nescaya kita akan didahului oleh generasi sebelum kita. Ahli sunnah ini sifatnya mengikut bukan mereka-reka. Demikian apa yang disebutkan olehnya. Dalam hal ini, jika perbuatan merenjis, menjrus atau memercik air kepada kenderaan tersebut adalah suatu perbuatan yang baik dan dibenarkan oleh agama, tentu sekali para generasi terdahulu lebih awal untuk melakukannya. Oleh itu, kita hendaklah mengambil sikap lebih berwaspada dan berjaga-jaga dengan sebarang amalan yang dianggap sebagai agama walhal ianya batil, sesat dan menyesatkan. Berulang kali juga kita diingatkn tentang agama ini berdiri diatas apa yang telah ditetapkan dan bukannya berjalan diatas rekaan amalan yang tidak ada asasnya.

Bertepatan dengan hal itu, dalam kitab al-Wafi yang mensyarahkan hadith 40 Imam al-Nawawi, Dr. Musthafa Dieb al-Bugha dan Dr. Muhyiddin Mistu yang merupakan pengarang kitab tersebut dengan jelas mereka menyebutkan bahawa Islam ialah mengikut, bukannya rekaan. Rasulullah telah memelihara Islam daripada keterlanjuran para pelampau dan penyelewengan ahli batil melalui hadith ini yang dikategorikan sebagai satu ungkapan yang ringkas tetapi mengandungi makna yang padat. Demikian ketegasan para sarjana Islam yang sentiasa mengajak umat untuk beramal dengan ketulenan ajaran agama dan bukannya beramal pada perkara yang tiada sandarannya. Oleh itu jelas lah kepada kita bahawa perbuatan menjirus kenderaan tidak diajar dalam Islam dan perbuatan tersebut dibimbangi menjurus kepada syirik dan khurafat. Malah amalan tersebut boleh dianggap menyerupai amalan dan kepercayaan agama lain.

Dalam konteks Malaysia umumnya, isu ini mendapat kritikan dan komentar hebat oleh para mufti. Dalam satu pandangan yang dinyatakan oleh Mufti Negeri Sembilan, Sahibus Samahah Dato Haji Mohd Yusof bin Haji Ahmad, beliau menyatakan bahawa solat hajat dan membaca surah Yasin memang perbuatan yang elok. Tetapi apabila airnya sampai dibuat mandi kenderaan, haiwan dan sebagainya, itu tidak patut dan sama sekali menyeleweng. Beliau menambah dengan menyebutkan bahawa senang kata amalan itu baik pada asalnya Tetapi kemudian bertukar jadi buruk hingga membawa tanggapan serong dalam kalangan masyarakat disebabkan perbuatan tersebut. Selain itu, Mufti Negeri Pulau Pinang, Dato' Seri Dr. Haji Wan Salim bin Wan Mohd, beliau menjelaskan bahawa jika amalan merenjis air ke kenderaan dilakukan bagi memenuhi upacara pemujaan dan kepercayaan mitos bahawa amalan tersebut akan menghindarkan daripada malang ia diharamkan kerana perbuatan dan iktikad tersebut mempunyai unsur kesyirikan kepada Allah.




Oleh itu, memadailah dengan kita mengikuti petunjuk sunnah Nabi SAW ketika membeli kenderaan baharu. Hal ini sebagaimana yang telah diajarkan oleh baginda Nabi dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Apabila salah seorang daripada kalian berkahwin atau membeli hamba maka hendaklah dia ucapkan: Ya Allah, aku memohon kepadamu kebaikannya dan kebaikan yang Engkau jadikan ia berada di atasnya dan aku berlindung denganmu daripada kejahatannya dan kejahatan yang Engkau jadikan ia berada di atasnya. Jika dia membeli unta maka peganglah puncak bonggolnya dan ucapkanlah semisal dengannya"

Dalam hal ini, Syeikh al-Munajjid berpandangan unta di zaman dahulu sinonim dengan kenderaan maka jika sesiapa membeli kereta atau motor boleh mengamalkan doa ini dengan memegang bahagian paling tinggi padanya atau mana-mana bahagian daripadanya. Selain itu, apa yang boleh kita lakukan lagi adalah dengan membaca doa menaiki kenderaan sebagaimana yang diajarkan oleh baginda Nabi. Kita juga digalakkan untuk membaca ta'awuz yang khusus apabila tiba ke destinasi. Ini sebahagian amalan yang ditinggalkan oleh Nabi SAW untuk kita amalkan. Adapun amalan merenjis tersebut tidak ada sebarang sandaran yang kukuh. Meski yang melakukan hal tersebut bergelar tok guru, tok wali, maulana, baba atau apa jua gelaran sekalipun, ianya bukan datang daripada manusia agung, Muhammad SAW. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan