Salah satu sifat lumrah manusia adalah suka bergurau senda dan
berjenaka. Sifat suka bergurau ini juga dapat memberikan kebaikan dalam
kehidupan kita terutamanya dapat menghilangkan rasa tertekan (stress) dengan
ragam kehidupan. Bahkan, hidup ini tentunya tidak seronok jika berada dalam
keadan tertekan, serius seharian. Sekali sekala hidup ini memerlukan kepada
kerehatan otot muka dengan bergurau senda. Malah jika kita mengamati dan
menekuni catatan sirah kehidupan baginda Nabi SAW, ada waktu dan ketikanya
baginda akan bergurau senda dan berjenaka bersama keluarga dan para sahabatnya.
Pada zaman Nabi juga, terdapat seorang pelawak yang sering membuat baginda
ketawa, iaitulah yang bernama Nu'aiman bin Amru.
Saban tahun, kita akan melihat sebahagian masyarakat terutamanya di
dunia Eropah, mereka menjadikan April Fools sebagai perayaan bergurau senda
dengan cara melakukan penipuan atau pembohongan yang juga lebih dikenali dengan
istilah "Prank". Ianya acapkali disambut pada 1 April setiap
tahun. Perayaan April Fools merujuk kepada suatu sambutan yang bermula di bumi
Eropah. Berdasarkan dapatan sejarah, asal usul perayaan April Fools masih
menjadi misteri. Ini kerana terdapat banyak teori dan perbincangan yang berlaku
dalam usaha menukilkan sejarahnya. Pun begitu, sebahagian para sejarawan
mengandaikan bahawa peristiwa ini bermula sejak 1582.
Pada ketika itu, Perancis telah menukar sistem kalendar Julian ke
sistem Gregorian. Penukaran sistem ini mengakibatkan ramai yang tidak sedar
bahawa sistem baru ini telah menjadikan tahun baru bermula pada 1 Januari. Ini
kerana mengikut pada kalendar Julian, tahun baru disambut pada penghujung Mac
hingga 1 April. Mereka yang menyambut tahun baru mengikut sistem kalendar
Julian ini dijadikan bahan gurauan oleh sebahagian yang lain yang telah sedar
akan pertukaran sistem itu. Maka mereka membahan sebahagian yang lain ini
dengan melekatkan sejenis ikan kertas di belakang mereka yang dibahan tersebut
sebagai simbol ikan yang mudah ditangkap dan orang yang mudah ditipu.
Selain itu, berdasarkan dari sumber sejarawan yang lain, ada yang
berpandangan bahawa perayaan April Fools ini berasal dari perayaan kuno seperti
Hilaria di Rom pada penghujung Mac. Ada juga yang mendakwa bahawa perayaan ini
terikat dengan ekuinoks, iaitu hari pertama musim bunga untuk Hemisfera Utara,
apabila alam semulajadi menipu orang dengan perubahan cuaca. Walau apa pun asal
usulnya, perayaan ini telah tersebar luas sehingga turut disambut oleh orang
Britain yang bermula pada sekitar abad ke-18. Sejarah mencatatkan di Scotland,
April Fools disambut selama dua hari dan ianya dimulai dengan suatu upacara
yang disebut sebagai "Hunting The Gowk". Upacara ini dilakukan
dengan dihantar seorang pengutus untuk melakukan tugasan yang sebenarnya palsu.
Kemudian pada hari kedua, dinamakan sebagai "Hari Tailie" iaitu hari
untuk mengusik orang.
Akhirnya budaya usikan ini yang dilakukan pada 1 April telah
menjadi sambutan tradisi warga masyarakat di seluruh dunia. Sehingga tercatat
dalam sejarah sekitar tahun 1957, di Switzerlamd, BBC telah melaporkan bahwa
petani-petani di sana sedang menuai mi spaghetti daripada pokok sedangkan ianya
pembohongan. Pada tahun 1998 pula, syarikat Burger King mempromosikan sebuah
hidangan istimewa yang diberi nama "Left-Handed Whopper" yang
menyaksikan ramai pelanggan yang memesan hidangan tersebut namun ianya hanyalah
gurauan semata-mata. Inilah sebahagian sejarah yang tercatat bagi menunjukkan
budaya gurau dengan cara menipu sedang dinormalisasikan dikalangan masyarakat.
Bahkan realiti hari ini, budaya prank sudah menjadi kebiasaan masyarakat,
dijadikan bahan di media sosial.
Sesungguhnya dalam Islam, bergurau adalah sesuatu yang dibenarkan
selagimana tidak bertentangan dengan syariat. Ini bermakna, pada asasnya,
diharuskan untuk kita bergurau senda tetapi janganlah sehingga melampaui batas
seperti berbohong, menzalimi, menakutkan dan selainnya. Oleh kerana itu, dalam
soal perayaan April Fools ini, al-Marhum Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi
menegaskan bahawa menipu adalah satu sifat yang buruk. Ia tidak layak diamalkan
oleh manusia yang berakhlak dan beriman. Bahkan ia adalah satu tanda
kemunafikan. Ini kerana Rasulullah bersabda dalam sebuah hadith riwayat Bukhari
dan Muslim yang bermaksud :
“Orang munafik mempunyai tiga ciri: Dia menipu, tidak menepati
janji, dan tidak menunaikan amanah.”
Rasulullah memberikan amaran ke atas perbuatan menipu dengan tujuan
menghiburkan manusia. Baginda bersabda dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud
yang bermaksud :
“Kecelakaan ke atas sesiapa yang menipu untuk menghiburkan manusia,
kecelakaan ke atasnya, kecelakaan ke atasnya.”
Rasulullah juga bersabda dalam sebuah hadith riwayat Ahmad yang
bermaksud :
“Seseorang itu tidak dikira benar-benar beriman hinggalah dia
meninggalkan penipuan yang bertujuan untuk bergurau dan meninggalkan berdebat
walaupun dia membawa kebenaran.”
Demikianlah apa yang ditegaskan oleh al-Qaradawi tentang perayaan
ini. Maka jelas bagi kita bahwa perayaan ini adalah haram untuk orang Islam
menyambutnya kerana padanya terdapat larangan menipu, juga agama melarang kita
dari menakutkan atau membuat orang bersedih pada perkara yang tidak berasas,
selain Islam melarang kita melakukan pengkhianatan dan meniru budaya buruk yang
bukan milik sifat orang Islam. Selain al-Qaradawi, Syeikh Shalih Fauzan juga
menyatakan pandangannya menerusi laman sesawang islamqa.com, beliau menyatakan bahawa Penipuan adalah tidak
dibenarkan langsung, pada bila-bila masa sahaja. Bahkan adalah tidak dibenarkan
untuk meniru orang kafir dan menjadi seperti mereka, sama ada pada hari ini
(hari April Fool), mahupun pada hari-hari yang lain. Ini kerana Rasulullah SAW
bersabda dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud yang bermaksud :
“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia sebahagian
daripada mereka.”
Menurut Syeikh Atiyyah Saqr pula adalah menjadi kesepakatan kesemua
agama dan akal yang waras bahawa kejujuran itu satu kebaikan, dan penipuan
adalah lawannya. Untuk menyatakan kebenaran, kata-katamu hendaklah menerangkan
realiti, sedangkan untuk menyatakan penipuan adalah dengan menyampaikan apa
yang bercanggah dengan apa yang kamu katakan mahupun lakukan. Seburuk-buruk
pendustaan adalah sumpah yang palsu, bahkan itu adalah satu bentuk kemunafikan.
Demikianlah beberapa fatwa dan pandangan para sarjana Islam yang menegaskan
hukumnya adalah haram bagi orang Islam meraikannya. Perbuatan bergurau senda
sehingga menyakiti orang lain adalah dilarang oleh Islam. Ini berdasarkan
sebuah hadith Nabi dari Ibn Abbas, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
“Jangan kamu bertengkar dengan saudaramu (semuslim) dan jangan kamu
bergurau dengan saudara kamu sehingga menyakitinya.”
Juga baginda Nabi SAW melarang kita untuk berbuat gurauan sehingga
menimbulkan ketakutan atau kebimbangan. Sepertimana yang dinyatakan oleh Abdul
Rahman bin Abi Laila dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud yang bermaksud :
“Telah menceritakan kepada kami para sahabat Rasulullah SAW bahawa
mereka pernah bermusafir bersama dengan baginda. Ketika seorang lelaki tidur,
sebahagian mereka pergi mengambil tali yang ada bersama dengannya. Apabila
lelaki itu terjaga dari tidur, dia terkejut (kerana kehilangan tali tersebut),
lalu orang amai ketawa melihatnya. Sabda Nabi SAW: “Apa yang menyebabkan mereka
semua tertawa?” para sahabat menjawab: “Tiada apa wahai Rasulullah, Cuma kami
mengambil tali miliknya sehingga dia terkejut kebimbangan.” Sabda Rasulullah
SAW: “tidak dihalalkan kepada seorang muslim perbuatan menakutkan seorang
muslim yang lain.”
Memadailah dengan beberapa peringatan penting oleh baginda Nabi SAW
kepada kita semua. Melalui penjelasan ini, dapatlah kita fahami bahwa agama
mengharuskan kita untuk bergurau senda dan berjenaka. Tetapi keharusan untuk
bergurau tersebut sama sekali tidak menghalalkan untuk kita menipu, menakutkan
orang, mengambil barang orang meskipun diatas tujuan sekadar gurauan. Maka apa
yang kita lihat pada perayaan April Fools ini telah menyanggahi garis panduan
syariat. Selain Islam juga melarang dan menegah umatnya daripada meniru budaya
yang tidak elok dari perbuatan orang kafir. Jelaslah bagi kita perayaan April
Fools adalah haram dan tidak boleh orang Islam meraikannya. Semoga Allah
merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan