Salah satu bukti kekuasaan dan keagungan Allah SWT boleh dilihat
melalui segala penciptaan Nya. Ini termasukah penciptaan yang merangkumi
perkara-perkara ajaib dan mustahil pada akal seorang manusia. Tanpa perlu
merenung jauh, memadailah dengan kita melihat bagaimana penciptaan langit yang
tidak bertiang, gunung-ganang terpasak kukuh, lautan luas yang mendalam dan
pelbagai lagi keajaiban penciptaan Allah sebagai salah satu bukti bagi manusia
yang mahu berfikir mencari Tuhan. Tentu sekali segala keajaiban disebalik
penciptaan ini menunjukkan sifat kesempurnaan mutlak ini milik Allah Azza Wa
Jalla.
Antara keajaiban ciptaan oleh Allah SWT adalah manusia yang
memiliki dua kemaluan jantina atau disebut sebagai khunsa. Ungkapan "Khunsa"
seperti yang disebutkan oleh para ilmuan Islam dalam kitab Nihayah al-Muhtaj,
perkataan khunsa merujuk kepada makna seseorang yang mempunyai dua kemaluan
iaitu kemaluan lelaki dan juga kemaluan perempuan. Ataupun seseorang yang tidak
memiliki kedua-duanya dan dia mempunyai lubang yang keluar daripadanya air
kencing. Merujuk kepada Kamus Dewan dan Bahasa pula, perkataan khunsa membawa
maksud orang yang mempunyai dua alat kelamin. Dalam bahasa yang mudah, khunsa
merupakan suatu keajaiban penciptaan Allah yang memperlihatkan pada diri mereka
itu mempunyai dua kemaluan yang berlainan jantina.
Perkataan khunsa dalam bidang perubatan disebutkan sebagai Disorder
of Sex Development (DSD). Dalam soal ini, para ilmuan Islam telah
membahagikan kategori khunsa itu kepada dua keadaan. Keadaan pertama dikenali
sebagai Khunsa Musykil. Ianya merujuk kepada seseorang yang tidak jelas
tanda-tanda kelelakian atau keperempuanan pada dirinya. Tidak dapat diketahui
sama ada dia merupakan seorang lelaki atau perempuan. Khunsa musykil juga
memiliki dua kemaluan iaitu kemaluan lelaki dan kemaluan perempuan dan tidak
dapat dipastikan keadaannya dari kedua jenis tersebut iaitu sama ada dia lelaki
ataupun perempuan.
Keadaan kedua, disebut sebagai Khunsa Ghairu Musykil. Ianya
merujuk kepada keadaan dimana seseorang yang jelas padanya tanda-tanda
kelelakian atau keperempuanan. Dia dapat diketahui sama ada dia merupakan
seorang lelaki ataupun perempuan. Individu seperti ini tidak dikategorikan
sebagai khunsa musykil. Ini kerana dia merupakan seorang lelaki atau perempuan,
tetapi dalam masa yang sama mempunyai anggota lebihan. Hukum untuknya dalam
mirath (pembahagian harta pusaka) dan selainnya dari hukum-hakam adalah hukum
terhadap apa-apa yang jelas dari tanda jantinanya. Sekiranya jelas tanda-tanda
kelelakian, maka ke atasnya hukum-hakam seorang lelaki dan begitulah
sebaliknya.
Bagi permasalahan khunsa ini, terdapat banyak faktor yang boleh
diguna pakai dalam menentukan identiti jantina tersebut. Antaranya melalui
kaedah melihat kromosom dan gonad (testis dan ovari). Selain itu, para ilmuan
Islam juga turut melihat dan mengambil kira kepada faktor-faktor perbezaan
fizikal seperti pertumbuhan bulu yang lebat pada tubuh badan, misai, janggut,
suara yang lebih keras, dan seumpamanya. Berdasarkan kecenderungan ini, maka
dapatlah dikenalpasti akan identiti jantina tersebut. Malah bukan itu sahaja,
ianya juga boleh mengambil kira dari sudut kecenderungan perasaan kepada
jantina berlainan. Ini bermakna, sekiranya seorang khunsa itu mempunyai
kecenderungan perasaannya kepada seorang lelaki maka dia adalah perempuan dan jika
khunsa tersebut memiliki kecenderungannya kepada perempuan maka dia adalah
lelaki.
Namun begitu, khunsa yang disebutkan ini adalah merujuk kepada
khunsa musykil. Adapun keadaan khunsa yang tidak ada padanya musykil mestilah
mengikut kepada sifat dominan yang dimilikinya. Ini juga sebagaimana yang telah
disebut oleh Imam al-Sayuti dalam kitab Al-Asybaah wal Nazhair, beliau
menyatakan bahawa ketika digunakan perkataan khunsa di dalam feqah maka yang
dimaksudkan dengannya adalah khunsa musykil. Bagi menjelaskan lagi kedudukan
identiti khunsa tersebut, Imam al-Nawawi dalam kitabnya Al-Majmuk Syarah
Al-Muhazzab menjelaskan bahawa khunsa itu ada dua jenis: Ada yang mempunyai
faraj orang perempuan dan juga zakar orang lelaki. Manakala terdapat juga
khunsa yang tidak memiliki satupun daripada keduanya (sama ada faraj atau
zakar). Akan tetapi dia memiliki lubang yang keluar daripadanya sesuatu. Bagi
golongan yang pertama (yang memiliki zakar dan juga faraj), terdapat beberapa
tanda-tandanya.
Antaranya tanda pertama adalah melalui air kencing. Sekiranya dia
kencing melalui saluran zakar lelaki sahaja, maka dia adalah lelaki. Manakala
jika dia kencing melalu faraj, maka dia adalah perempuan. Namun jika dia
kencing melalui kedua-duanya, maka diambil kira saluran manakah yang dahulu ia
keluar. Tanda kedua, dengan melihat kepada keluar mani dan darah haid.
Sekiranya keluar air mani dan darah haid pada waktunya, maka jika air mani
tersebut keluar melalui zakar maka dia adalah lelaki. Sekiranya air mani keluar
melalui faraj ataupun keluar darah haid, maka dia adalah perempuan. Dengan
syarat ia keluar secara berulangkali bagi menguatkan lagi sangkaan akan perkara
tersebut. Selain itu, tanda ketiga adalah dengan melihat kepada kelahiran anak.
Proses melahirkan anak membawa bukti yang pasti akan sifat keperempuanannya.
Bahkan ia mendahului kesemua tanda-tanda lain yang bercanggah dengannya.
Demikianlah sebahagian daripada tanda-tanda atau kayu ukur yang
boleh diguna pakai bagi mengenal pasti identiti jantna bagi golongan khunsa musykil
tersebut. Selain perbahasan bagi mengenal pasti akan identiti jantina, turut
diberi perhatian oleh para ilmuan Islam juga adalah berkenaan hukum aurat bagi
khunsa. Dalam permasalahan aurat ini, seperti yang dinukilkan dalam kitab Raudhah
Al-Thalibin, para fuqaha seperti golongan Hanafiyah dan Syafi’eyyah
berpendapat bahawa aurat mereka adalah sama seperti aurat orang perempuan.
Bahkan rambut seorang khunsa yang gugur dari kepala juga turut dianggap sebagai
aurat. Kecuali muka dan kedua tapak tangan. Dan seorang khunsa tidak boleh
untuk mendedahkan anggota badannya ketika proses istinja dan juga ketika mandi.
Ini kerana, sekiranya dia mendedahkan anggota badannya di sekitar orang lelaki,
ada kemungkinan bahawa dirinya itu seorang perempuan. Jika dia mendedahkan
anggotanya di sisi orang perempuan, terdapat kemungkinan yang dirinya itu
seorang lelaki.
Dalam permasalahan solat pula, Imam al-Nawawi dalam kitabnya Al-Majmuk
Syarah Al-Muhazzab, beliau menjelaskan bahawa tidak sah apabila seorang
perempuan dan khunsa menjadi imam kepada orang lelaki. Tidak sah pada solat
fardhu dan tidak juga pada solat sunat. Adapun sekiranya yang mengikut solat
tersebut merupakan orang perempuan (menjadi makmum), maka tidak disyaratkan
kelelakian untuk menjadi imam mereka (orang perempuan) di sisi mazhab
Syafieyyah dan juga Hanabilah. Maka sah bagi orang perempuan untuk menjadi imam
kepada orang perempuan yang lain di sisi mereka (Syafi’eyyah dan Hanabilah).
Berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Sayyidah A’isyah, Ummu Salamah, dan juga
Atha’ bin Abi Rabah bahawa: Sesungguhnya orang perempuan boleh menjadi imam
kepada orang perempuan yang lain. Maka melalui penjelasan ini, dapat kita
fahami bahawa khunsa musykil boleh menjadi imam kepada orang perempuan dan
tidak boleh menjadi imam kepada orang lelaki dan khunsa yang lain.
Demikianlah bagaimana Islam memberikan panduan serta jalan keluar
bagi membantu mereka yang mempunyai dua alat kelamin yang berlainan jantina
ini. Harus kita fahami bahawa golongan khunsa seperti ini tidaklah boleh
dianggap sebagai transgender. Ini kerana golongan transgender adalah golongan
yang mengubah sendiri mengikut kehendak mereka tanpa diukur dan dinilai pada
neraca syariat. Adapun khunsa, bukanlah boleh dibuat-buat atau diminta untuk
mempunyai dua alat kelamin tersebut melainkan ianya adalah bukti kekuasaan
Allah sebagai ujian bagi hamba Nya yang terpilih. Apabila kita berada dalam
keadaan dan situasi seperti ini, rujuklah pakar agama dan pakar perubatan dan
janganlah sesekali kita melakukan diskriminasi terhadap golongan seperti ini.
Bantulah mereka dengan mengikut kehendak dan peraturan yang telah ditentukan
oleh syarak. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan