Khamis, 11 April 2024

RUKYAH DAN HISAB ; KAEDAH MENENTUKAN AWAL BULAN HIJRAH

 

Alam semesta yang terbentang ini tidak terbatas luasnya sehingga manusia sendiri tidak dapat mengukur penghujung kepada alam semesta ini. Meskipun terdapat fakta yang menyebutkan bahawa alam semesta ini dianggarkan bersaiz diameter ialah 93 billion tahun cahaya atau bersamaan 880 septilion meter iaitu 880 diikuti oleh 24 kosong dibelakangnya, namun ianya sebuah anggaran yang diukur berdasarkan apa yang boleh dilihat semata-mata. Namun, ianya tetap lebih luas dan berkembang. Jika diamati dengan penuh keinsafan, tentu sekali kita merasai betapa kerdilnya manusia jika hendak dibandingkan dengan alam semesta yang luas tidak berpenghujung ini. Oleh kerana itu, apa jua keajaiban yang berlaku pada alam ini pastinya tertakluk di bawah pengetahuan dan kekuasaan Allah SWT.

Islam adalah agama yang memberikan panduan yang lengkap dalam kehidupan ini. Baik dari sudut ekonomi, sosial, pendidikan mahupun dalam bidang mengkaji alam yang kita kenalinya dengan nama ilmu falak. Ilmu falak merupakan suatu bidang keilmuan yang mengkaji tentang pergerakan jasad-jasad di langit seperti bulan, matahari dan bintang. Dalam ungkapan lebih mudah, ilmu falak bermaksud astronomi yang mana kedua-dua ini saling berkait rapat namun punyai sedikit perbezaan dari sudut aplikasi. Maka, di dalam Islam, bagi penentuan setiap awal bulan menurut kalendar hijrah, ianya memerlukan kepada keilmuan bidang falak. Oleh sebab itu, para ahli falak biasanya akan dikenali apabila tiba hari untuk cerapan anak bulan bagi bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah sahaja. Sedangkan, kerja-kerja cerapan anak bulan untuk setiap bulan dalam setahun itu tetap berlaku tetapi tidak dilakukan secara rasmi kecuali pada bulan-bulan yang dinyatakan tadi.




Persoalannya, mengapakah umat Islam perlu kepada melihat anak bulan terutamanya pada bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah ? Jawapannya kerana perkara itu telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul Nya. Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 189 yang bermaksud :

"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: "(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji."

Berdasarkan ayat tersebut, Imam Ibn Kathir dalam kitabnya, Tafsir al-Quran al-'Azim, menjelaskan bahawa 'hilal' (anak bulan) itu diciptakan oleh Allah SWT sebagai panduan manusia dalam menentukan waktu berpuasa dan berbuka (raya), iddah, haul zakat, tempoh berhutang, waktu haji dan lain-lain. Selain itu, terdapat perintah khusus melihat anak bulan sebagai syarat permulaan kepada pensyariatan ibadah puasa pada bulan Ramadan. Hal ini sepertimana yang dinyatakan oleh Allah SWT melalui firman Nya dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud :

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa..”.

Juga dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Berpuasalah kamu ketika telah melihat anak bulan Ramadan dan berhentilah kamu berpuasa ketika kamu melihat anak bulan Syawal, jika anak bulan tidak kelihatan bagimu maka genapkanlah bulan Sya'ban menjadi 30 hari."




Demikianlah firman Allah dan sabda baginda Nabi SAW yang menjadi arahan dan petunjuk bagi umat Islam. Namun begitu, dalam soal melihat anak bulan bagi menentukan awal bulan Hijrah, terdapat beberapa kaedah yang digunakan. Kaedah yang diguna pakai ini masih di dalam maksud tuntutan syarak meskipun menggunakan peralatan canggih dan berteknologi tinggi seperti teleskop dan sebagainya. Terdapat tiga amalan, cara atau kaedah yang berbeza dalam menentukan awal bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah. Pertama, kaedah Rukyah atau dikenali sebagai cerapan anak bulan. Kaedah Rukyah merupakan suatu cara mencerap anak bulan semata-mata tanpa mengambil kira sebarang kiraan. Ini bermakna, sekiranya cerapan tersebut menampakkan anak bulan, ini bermaksud telah memasuki bulan yang baharu.

Amalan yang kedua, disebut sebagai Hisab Falak. Amalan ini dilakukan secara kiraan hari semata-mata. Ianya tidak sama sekali melibatkan pelaksanaan melihat anak bulan. Selain itu yang terakhir, cara atau kaedah yang ketiga bagi menentukan awal bulan ialah dengan kaedah Rukyah dan Hisab. Kaedah atau cara yang ketiga ini menggabungkan kedua-dua cara tersebut. Ini bermakna, bagi menentukan awal bulan hijrah, dilkakukan cerapan melihat anak bulan dan dilakukan juga perkiraan. Dalam konteks Malaysia, negara kita telah melaksanakan kaedah Rukyah dan Hisab dengan berdasarkan penggunaan kriteria Imkanur Rukyah. Kriteria Imkamur Rukyah merujuk kepada suatu metodologi perkiraan dan pengumpulan data berkenaan kedudukan anak bulan ketika terbenam matahari.

Ungkapan "Imkanur Rukyah" berasal dari bahasa Arab yang padanya terhimpun dua perkataan iaitulah "imkan" dan "rukyah". Perkataan Imkan bermaksud kemungkinan. Manakala perkataan Rukyah pula bermaksud melihat. Gabungan dua perkataan ini menjadikan maksudnya kemungkinan melihat anak bulan. Kaedah Kriteria Imkamur Rukyah ini telah mula diperkenalkan ketika Muktamar Hilal bagi Permulaan Bulan Hijri yang diadakan di Istanbul pada 26-29 November 1978. Kriteria ini dilaksanakan berpandukan kepada dua ketetapan iaitu pertama, ketinggian anak bulan tidak kurang dari 5° ketika matahari terbenam. Kedua, jarak lengkung hilal-matahari tidak kurang 8° ketika matahari terbenam. Pun begitu, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia menerima pakai Deklarasi Istanbul 1978 dengan tambahan satu syarat alternatif iaitu umur hilal tidak kurang dari 8 jam ketika hilal terbenam.




Pada 1 Jun 1992 bertempat di Labuan, telah diadakan pertemuan tidak rasmi Menteri-Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) dan hasil dalam pertemuan tersebut, semua yang terlibat telah bersetuju untuk mengubahsuai kriteria imkanur rukyah sedia ada. Kriteria imkanur rukyah adalah sebelum matahari terbenam, ijtimak berlaku pada 29 haribulan hijriah dan melalui perkiraan kewujudan hilal adalah positif serta dapat memenuhi salah satu dari dua syarat iaitu pertama, ketika matahari terbenam, ketinggian hilal di atas ufuk tidak kurang dari 2° dan jarak lengkung hilal-matahari tidak kurang dari 3° atau kedua, ketika hilal terbenam, umur hilal tidak kurang daripada 8 jam selepas ijtimak berlaku. Pada awal perkenalan kriteria ini, ianya digunakan dalam penentuan awal bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijah sahaja, manakala bulan-bulan lain secara kaedah kewujudan hilal. Namun, pada tahun 1995, melalui mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kalendar Islam, telah menetapkan bahawa penggunaan kriteria Imkanur Rukyah digunakan untuk semua bulan Hijri dalam pelaksanaan takwim Hijriah.

Inilah penjelasan yang dapat kita fahami berdasarkan pelaksanaan yang diamalkan di negara Malaysia khususnya. Sesungguhnya, penentuan awal bulan hijrah khususnya dalam menentukan awal bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah, adalah terpundak diatas bahu pemerintah. Maka, segala keputusan dan pengumuman yang dibuat oleh pemerintah menjadi tanggungjawab dan peranan kita sebagai rakyat untuk mentaatinya. Hanyasanya yang berhak membuat pengumuman berdasarkan apa yang telah dilihat, dibawah kuasa pemerintah tersebut. Bagi kita sebagai orang awam, memadailah dengan kita berpegang kepada arahan dan fatwa pemerintah baik dalam segala hal yang kita suka ataupun dalam hal yang kita tidak suka. Ingatlah bahwa Allah dan Rasul Nya juga telah memberikan penekanan dan keutamaan kita sebagai rakyat untuk mentaati pemerintah. Maka patuhilah dan ikutilah arahan pemerintah selagi perkara tersebut tidak bercanggah dengan syarak. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan