Menjadi
persoalan besar bagi kita sebagai seorang Islam untuk menyertai dan menyambut
sesebuah perayaan agama selain agama Islam. Sebahagian besar masyarakat diatas
nama perpaduan, keharmonian, maka disambut dan turut bersama dengan orang bukan
Islam menyambut hari perayaan mereka. Malah terdapat juga sebahagian pemimpin
masyarakat mengambil sikap turun padang menyambut dan menyertainya.
Pertamanya,
Islam sangat menganjurkan umatnya untuk melakukan kebaikan dan menjaga
kebajikan terhadap seluruh manusia tanpa mengira agama dan kaum. Allah SWT
berfirman dalam surah an Nisa' ayat 36 yang bermaksud :
"Dan
sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan Nya dengan sesuatu pun. Dan
berbuat baiklah kepada kedua-dua orang tua, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang
miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil
dan hamba sahaya yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang
sombong lagi membanggakan diri"
Namun
begitu, dalam keterbukaan kita sebagai orang Islam melakukan kebaikan kepada
seluruh manusia, di sana mempunyai batasan syarak yang perlu kita patuhi dan
ikutinya. Menyertai perayaan sesuatu agama dengan mengikuti segala ritual dan
upacara agama tersebut adalah dilarang dan ditegah oleh Islam. Atas nama apa
pun dia, sebagai seorang muslim, kita dilarang untuk menyertai upacara perayaan
sesuatu kaum kerana ianya dikira menyerupai mereka mensyirikkan Allah SWT.
Hal
ini sepertimana dalam sebuah hadith Nabi SAW, baginda bersabda yang bermaksud :
"Sesiapa
yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka".
Hadith
ini secara umumnya boleh membawa maksud dalam dua keadaan, iaitu positif dan
negatif. Berdasarkan hadith ini, dari sudut positifnya, sekiranya kita
menyerupai atau meniru sesuatu perbuatan kaum yang terpuji, maka kita termasuk
dalam kalangan mereka yang terpuji. Sepertimana dalam sebuah hadith riwayat al
Bukhari dan Muslim, pembantu Nabi SAW iaitu Anas bin Malik menceritakan dengan
katanya :
"Apabila
Nabi SAW ingin menulis surat kepada Rom kemudian diberitahu bahawa mereka itu
tidak membaca surat yang tidak mempunyai cop. Lalu baginda membuat cop dari
perak. Kata Anas : "Seakan aku masih melihat kilauan cop berkenaan di
tangan Nabi SAW berukir 'Muhammad Rasulullah'."
Ini
bermakna, baginda Nabi SAW meraikan dan menerima pakai kebiasaan sesuatu
kumpulan atau kaum selagi mana hal itu tidak bertentangan dengan syariat Islam.
Tetapi sebaliknya, sekiranya kita menyerupai atau meniru mereka dalam hal
perbuatan yang keji dan buruk, maka kita termasuk dalam kalangan mereka yang
keji dan buruk.
Lafaz "Tasyabbuh"
(menyerupai) merujuk kepada menyerupai atau meniru perbuatan yang khusus untuk
sesuatu kumpulan tertentu atau agama tertentu. Termasuklah dalam makna ini
ialah mengikuti upacara sambutan perayaan mereka yang mensyirikkan Allah Azza
Wa Jalla. Menurut Imam al Son'ani dalam Subul as-Salam, beliau menyatakan
bahawa :
"Hadith
ini menjadi dalil bahwa sesiapa yang menyerupai golongan fasik, atau kuffar
atau ahli bidaah dalam apa-apa perkara yang khusus untuk mereka, sama ada dalam
pakaian, kenderaan atau cara, maka dia termasuk dalam kalangan mereka. Jika dia
menyerupai kafir dalam pakaian (khusus) dan beriktikad untuk menjadi seperti
mereka, maka dia telah kufur. Jika diab tidak beriktikad demikian, maka para
fuqaha' berbeza pendapat mengenainya"
Ini
bermaksud menyertai sesuatu upacara khusus perayaan sesuatu agama selain Islam,
adalah perkara yang dilarang dan haram melakukannya meskipun dia tidak
beriktikad seperti iktikad mereka yang bukan Islam. Perbuatan tersebut tetap
haram dan berdosa. Cuma dalam hal menentukan sama ada jatuh kufur atau tidak,
ulama berbeza mengenainya. Walau pun begitu, sama ada jatuh kufur atau tidak,
perbuatan menyertai upacara perayaan tersebut tetap haram dan berdosa.
Untuk
sekadar menghadiri jemputan jamuan perayaan mereka yang tidak melibatkan
upacara khusus bagi agama mereka, tidaklah dilarang oleh Islam selagi mana
jamuan tersebut tidak dihidangkan dengan menu hidangan yang haram dan dilarang
oleh syarak. Namun, untuk menyertai mereka mengikuti upacara yang khusus bagi
agama mereka adalah sesuatu yang dilarang oleh Islam. Dalam sebuah hadith
riwayat al Baihaqi, Umar al Khattab RA pernah berpesan yang bermaksud :
"Janganlah
kamu masuk ke tempat ibadat orang yang menyekutukan Allah pada hari raya
mereka, kerana kemurkaan (Allah) sedang turun keatas mereka."
Untuk
menunjukkan prinsip keterbukaan Islam berbuat baik kepada seluruh manusia dan
untuk menjulang atas nama perpaduan, janganlah sehingga kita menggadaikan
maruah serta nilai akidah Islam yang suci murni ini. Sebagai muslim, kita perlu
lebih berhati-hati dan teliti dalam isu ini kerana ianya membabitkan persoalan
akidah kita yang menjadi tunjang keimanan kita kepada Allah SWT. Semoga kita
semua tergolong dalam kalangan para hamba Nya yang bertaqwa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan