Sejak
kebelakangan ini, kemunculan ajaran yang dilihat janggal, kepelikkan dan tidak
berasas jelas mula menyerang dan meresapi ke dalam masyarakat kita pada hari
ini. Keadaan ini bukanlah suatu yang baharu. Ianya sejak dahulu lagi sudah
wujud golongan yang disebutkan sebagai "konservatif" yang
hidup beragama dengan berpegang kuat kepada tradisi adat turun-temurun dan
dicampur adukkan dengan pegangan agama.
Lebih
parah lagi, masyarakat kita yang sejak dari dahulu lagi lebih gemar mendengar
cerita mistik dan pelik, berbanding mendengar hal perkara yang berkaitan dengan
fakta. Barangkali bagi mereka hujah dan dalil itu membosankan. Oleh itu,
sebahagian masyarakat lebih gemar mendengar tok-tok syeikh yang dapat
menghiburkan mereka dengan cerita dan kisah berwajah agama yang tidak ada
asasnya sama sekali. Amat mendukacitakan, kesedaran betapa pentingnya untuk
mempelajari fakta dan menyemak sesuatu perkara berasaskan dalil dilihat remeh
dan enteng.
Akhirnya,
akibat daripada hal itu, barah kejahilan semakin menyerang dan membentuk
perangai "taklid buta" atau mengikut secara membabi buta.
Penyakit ini sejak dahulu lagi dan hari ini ianya datang menyerang umat Islam
lagi. Segelintir kita ada yang beranggapan apa yang diungkapkan oleh tok
syeikh, semuanya pasti benar tanpa perlu semak dan ketahui dalil. Dalil itu
bukan tugas dan “level” kita untuk fahaminya. Sungguh dangkalnya kita
dalam hidup beragama. Firman Allah SWT dalam surah al Isra' ayat 36 yang
bermaksud :
"Dan
janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan
mengenainya ; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua
anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya."
Dalam
Taisir al Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, Syeikh Abdul Rahman
al-Sa'di menyebutkan bahawa :
"Janganlah
mengikuti apa yang tidak kamu ketahui. Bahkan perkara ini bergantung diatas apa
yang dikatakan dan dilakukan. Ini kerana setiap perbuatan serta anggota tubuh
itu akan di pertanggungjawabkan sama ada dari segi perbuatan atau percakapan.
Dan tujuan penciptaanya adalah bertujuan untuk ibadah kepada Allah SWT dan
berkerja untuk agama"
Oleh
itu, kita dipertanggungjawabkan diatas segala perilaku dan tindakan yang telah
kita lakukan. Tersalah langkah, maka nahaslah kita. Betapa pentingnya kita
untuk keluar daripada bahana taklid buta ini dengan kembali berpegang kepada
prinsip dalil daripada al Quran dan hadith, tidak cukup sekadar menukilkan
kalam tok guru, tok wali tanpa ada sandaran hujah dan dalil yang tepat dan
benar. Yang namanya agama itu bukanlah bersifat berdiri diatas sangkaan, apatah
lagi terbina diatas penceritaan dongeng tanpa asas, sebaliknya agama Islam
bersifat fakta dan dalil bukti yang benar. Allah SWT menerusi firman Nya dalam
surah al Baqarah ayat 111 yang bermaksud :
"Katakanlah,
"Tunjukkan bukti kebenaranmu jika kamu orang yang benar."
Penurunan
ayat ini ditujukan kepada golongan Yahudi dan Nasrani yang mendakwa mereka
sahaja yang layak untuk memasuki syurga. Dakwaan semata-mata tanpa hujah dan
bukti yang benar, akan sekadar angan-angan kosong yang tidak berkesudahan.
Demikian juga kita sebagai orang Islam, andai kita hidup beragama dengan apa
yang kita ambil dari kalam orang itu orang ini, secara membabi buta sahaja kita
pegang, maka ianya akan memenjarakan akal kita dari terus mahu berfikir dan
mengkaji.
Pemikiran
orang terdahulu, apa sahaja yang keluar dari mulut yang bergelar ustaz, tok
guru, tok syeikh, maka terima sahaja, sudah tidak relevan lagi. Dahulu
barangkali kesempitan dunia, mengakibatkan kita tidak terbuka dengan dunia
luar. Hari ini kerana kepesatan dunia yang bergerak, teknologi cepat membangun,
ruang berinteraksi dengan dunia luar semakin terbuka dan luas. Hal ini telah
mendorong manusia untuk lebih rajin berfikir dan mengkaji, tidak lagi sekadar
menerima dan menelan tanpa tahu asal usulnya.
Timbul
pelbagai cerita dan kisah ajaib, yang akhirnya tidak lagi meninggalkan kesan
agama dalam diri. Apa yang dijelmakan hanyalah kisah-kisah dongeng yang
dibaluti agama, lahirlah petua membuang sial, muncul pula amalan ritual
bersifat khurafat dan syirik, disamping itu sebagai penyedap hati yang jahil,
diajarkan pula zikir yang bukan-bukan dan tidak berasas, yang sememangnya hal
itu secara tidak langsung telah menjauhkan orang dari intipati ajaran agama
yang sebenar.
Kata
Imam Ibnu Jauzi dalam Talbis Iblis ketika berbicarakan tentang tukang cerita,
katanya :
"....maka
golongan awam dan wanita begitu suka kepada mereka. Lantas orang ramai tidak
lagi sibuk dengan ilmu, sebaliknya berpaling kepada cerita-cerita dan perkara
bidaah dalam bidang ini..."
Oleh
yang demikian, peranan dan fungsi akal hendaklah sentiasa waras dan sedar dalam
semua hal keadaan, lebih-lebih lagi dalam soal hidup beragama ini. Agama tidak
akan dapat difahami dengan sekadar mencedok apa yang tok guru kata, tetapi
sebaliknya mesti kita fahami atau sekurang-kurangnya tahu akan hujah dalilnya.
Kerana agama ini sifatnya memandu akal manusia daripada kejahilan menuju
kebijaksanaan. Akal yang waras, pasti mampu membezakan antara tuntutan benar
dan palsu. Semoga Allah menjauhi kita semua daripada segala kesesatan dan
kepalsuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan