Ahad, 2 Januari 2022

TIDAK MENUNJUK, BUKAN BERMAKNA TIDAK BAHAGIA

 

Manusia dan waktu terus berjalan mencipta kenangan suka dan duka kehidupan. Ada episod yang menggembirakan dan ada juga episod yang mendukakan. Sebahagiannya telah kita lalui dan sebahagiannya lagi akan kita tempuhi. Mahu atau tidak, kita tidak ada pilihan selain meneruskan langkah hari ini untuk persiapan pada hari esok.

Kebahagiaan adalah sesuatu subjektif. Ianya bergantung kepada apa dan bagaimana kita mendefinisikannya. Terletak kepada bagaimana kita melihat dan memandangnya. Untuk menentukan kebahagiaan, bukanlah bergantung kepada apa yang ditunjukkan di khalayak orang. Tetapi sebaliknya apa yang dirasakan. Oleh kerana itu, nikmat adalah untuk dirasai dan bukannya untuk ditunjuki.

Untuk dianggap "hidup normal" di zaman serba mencabar ini, sebahagian masyarakat kita, tanpa disedari, telah di doktrin oleh suatu pemikiran bahawa sikap menunjuk, memperlihatkan kebahagiaan, mempertontonkan aksi-aksi kemesraan suami isteri, adegan romantik sana sini adalah perkara normalisasi dalam masyarakat sebagai membuktikan kasih sayang dan cinta suami dan isteri. Bahkan sebahagian orang beranggapan tindakan itu lebih "gentlemen" dan paling "sweet" dengan mempertontonkan aksi sedemikian.




Dalam sebuah hadith sahih riwayat Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Iman itu ada tujuh puluh lebih cabang. Dan rasa malu salah satu cabang dari iman"

Dalam Minhaj al Talibin, Imam Nawawi menyatakan perasaan malu itu adalah akhlak terpuji yang mendorong seseorang untuk meninggalkan sesuatu yang buruk dan mencegahnya dari kelalaian dalam memenuhi hak para pemiliknya. Demikian bagaimana maksud perasaan malu yang menjadi sempadan bagi kita berkongsikan setiap yang ingin kita tunjukkan.

Secara asasnya, tidaklah salah untuk kita berkongsi perasaan gembira dengan apa yang kita miliki, syukur dengan nikmat yang telah kita kecapi. Namun dalam ruang persempadanan yang diberikan, ada batasan dan had yang perlu kita fahami bersama. Batasan yang digariskan oleh syarak bertujuan untuk memelihara dan menjaga kita daripada hal yang melalaikan kita semua.

Kita perlu fahami bahawa segala apa yang ditunjukkan di khalayak awam adalah apa yang terzahirnya sahaja. Sebaliknya, apa yang ada dalam diri itu lebih bernilai dan mahal harganya. Misalnya, apabila seseorang tidak memberikan ucapan istimewa pada orang yang tersayang di laman media sosial, tidak bermaksud dirinya tidak menghargai dan menyanjung tinggi orang yang disayangi tersebut. Sebaliknya, barangkali kasih sayangnya bukan pada lisan yang mengungkap atau pada jari jemari yang menulis, tetapi pada hati yang tulus dan tindakan yang halus.

Selain doktrin rasa suka menunjuk, kita juga sedang berhadapan dengan serangan doktrin "materialistik" bagi membuktikan kasih sayang terhadap seseorang. Sebagai contoh, apabila tiba hari kelahiran, yang diharapkan oleh sebahagian besar kita adalah hadiah dan kejutan, kek yang sedap, majlis sambutan yang sweet dan lain-lainnya lagi. Sekiranya tidak disambut, tidak ada hadiah, ada yang beranggapan perkata itu tanda tidak sayang. Jika tanda sayang itu dengan memberi hadiah dan kejutan, atau dengan membuat sambutan atau dengan menulis ucapan di media sosial, maka murahnya nilai dan harga kasih sayang kita.




Untuk apa sebenarnya kita menunjuk-nunjuk dalam hidup ? Apa tujuan sebenar kita hendak menunjukkan kebahagiaan kemesraan ? Persoalan ini berbalik kepada diri masing-masing. Oleh sebab itu, barah suka menunjuk di khalayak awam merupakan satu sindrom mental yang bahaya dan boleh memakan diri sendiri. Akhirnya, yang kita hendakkan adalah pujian dan perhatian semata-mata. Oleh kerana itu, Islam mengajar kita sikap bersederhana dalam setiap perkara yang kita lakukan. Bersederhana itu adalah ubat yang paling tepat bagi diri kita yang gemar menunjuk-nunjuk di media sosial.

Firman Allah SWT dalam surah al Mukminun ayat 71 yang bermaksud :

"Dan jika sekiranya kebenaran mengikut hawa nafsu mereka, nescaya binasalah langit dan bumi dan siapa-siapa yang di dalamnya. Tetapi Kami datangkan kepada mereka satu peringatan untuk mereka (al Quran), lalu mereka berpaling dari peringatan itu".

Berdasarkan firman tersebut, sekiranya hidup ini hanya sekadar menuruti kehendak hawa nafsu dengan menunjuk-nunjuk sana sini, maka hancurlah manusia. Hidup bersederhana dengan mengikuti ajaran al Quran dan Sunnah, akan menjadikan kita lebih matang untuk berkongsi hal peribadi kerana pada diri kita tertanam sifat malu. Sebaliknya, hidup diatas kehendak hawa nafsu, akan menjahanamkan kita dan mencabut perasaan malu dalam diri kita. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan