Isnin, 27 Disember 2021

BENCANA ALAM : RAKYAT PERLUKAN BANTUAN, BUKAN LAKONAN

 

Seyogianya seluruh rakyat Malaysia melahirkan rasa berduka cita dan simpati diatas musibah banjir yang melanda beberapa negeri dalam tempoh hari. Meskipun zahirnya keadaan semakin terkawal, namun tiada ungkapan yang boleh kita gambarkan gelora kesedihan dan kepiluan yang sedang memuncak di jiwa mereka yang terlibat sesudah pulang ke rumah untuk membersihkan kawasan. Bagai hilang separuh nyawa, keadaan getir ini perlu dihadapi dan ditelan jua.

Kita sangat bertuah kerana berada di bumi Malaysia. Selain keunikan tersendiri Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang masyarakat kaum, agama dan bangsa, Malaysia juga begitu kaya dengan rakyatnya yang bersifat pemurah sehingga merentasi perbezaan agama dan bangsa. Apa yang kita saksikan selama tempoh musibah banjir ini melanda, rakyat Malaysia telah pun berjaya sebenarnya merealisasikan aspirasi negara dibawah slogan "Keluarga Malaysia". Sikap mulia membantu orang lain yang berada dalam kesusahan ini merupakan sebahagian tuntutan dalam Islam. Sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Imam Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Barangsiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barangsiapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat".




Pun begitu, dalam kita bersemangat menghulurkan pelbagai bantuan dan pertolongan, kita tidak boleh memadam api kemarahan dan kekecewaan sebahagian mereka yang ditimpa musibah terhadap pentadbiran kerajaan baik negeri mahupun persekutuan dalam usaha menguruskan bencana ini. Banyak persoalan dan keraguan rakyat terhadap pihak pengurusan bencana negara yang tidak terungkai dengan baik oleh pihak kerajaan. Kegagalan ini juga lebih mendalam parah dan lukanya apabila beberapa kenyataan dan tindakan para menteri yang agak "kurang bijak" menafikan itu ini dan lain-lain.

Seingat kita semua, YAB Perdana Menteri telah melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional pada 5 Oktober 2021 di perkarangan Laman Kompleks Perbadanan Putrajaya. Pelancaran tersebut sudah tentu membawa sebuah signifikan kesiapsiagaan jentera pengurusan bencana negara yang melibatkan pelbagai agensi dibawahnya seperti Jabatan Bomba Dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia, PDRM, Angkatan Pertahanan Awam dan lain-lain.

Namun demikian, ketentuan Allah telah melebihi segala perancangan dan persediaan para hamba Nya. Seharusnya kita perlu akur akan ketentuan ini dan ianya adalah sebuah pelajaran dan pengalaman terbaik untuk kita mengamatinya. Begitu pun hal itu berlaku, pihak kerajaan tidak boleh sekadar melepaskan batuk di tangga. Perlu tampil dengan polisi dan dasar yang benar-benar boleh membantu dan meringankan beban rakyat. Bukannya datang dengan penuh wakil-wakil media, kemudiannya diambil gambar sana sini. Perkara demikian bukan sahaja tidak dapat meredakan kemarahan rakyat malah sebaliknya menambah lagi rasa marah dan jelek dengan pihak kerajaan.




Sebenarnya, apa yang telah mengundang kemarahan dan kekecewaan rakyat pada kerajaan adalah lebih menjurus kepada persoalan pengurusan bencana yang agak kelam-kabut dan berkecamuk. Setelah berjuta-juta peruntukan diberikan kepada NADMA, sebuah badan khas pengurusan bencana, dilancarkan pula bulan khas siapsiaga, tetapi hasilnya sangat lemah dan menghampakan. Kehendak rakyat sudah tentu bukannya hendak sangat para menteri turun ke sana sini. Jika tujuan para menteri turun ke padang untuk sekadar bertanya khabar, tolong mencuci sana sini, tanpa syarat perlu jadi menteri pun, rakyat sudah dan telah lakukannya.

Apa yang lebih mustahak adalah kerajaan perlu tampil dengan bentuk polisi bantuan yang boleh dihulurkan sebagai sokongan kepada mereka yang diuji demi sebuah perjuangan meneruskan kelangsungan hidup. Selain itu, pada hemat diri ini, pihak kerajaan tanpa perlu mengeluarkan kenyataan yang meloyakan rakyat, ada baiknya juga pihak kerajaan perlu ambil segala kritikan dan luahan ketidakpuasan hati rakyat ini sebagai muhasabah para menteri. Dengan mengambil sikap yang luhur, tiada salahnya jika pihak kerajaan memohon maaf kepada rakyat dan mengakui akan kekhilafan ini. Bukannya terus tunding-menunding jari sana-sini.

Kepada mereka yang bergelar pemimpin, ingatlah amaran Nabi SAW kepada setiap mereka yang bergelar pemimpin, yang menggalas tanggungjawab menguruskan hal umat. Dalam sebuah hadith sahih riwayat Imam Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Tidak ada seorang hamba yang diberikan tanggungjawab untuk memelihara rakyat sedangkan dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya melainkan Allah mengharamkan baginya syurga".




Hadith ini merupakan suatu amaran dan peringatan oleh baginda kepada semua yang bergelar pemimpin. Sedarlah Yang Berhormat, rakyat memilih anda kerana kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap kepimpinan dan kewibawaan yang ada pada Yang Berhormat. Namun jika inilah kualiti para pemimpin yang ada, sambil lewa membantu, turun padang pula, bergambar lebih banyak dari bekerja, hadaplah kekecewaan rakyat dengan redha dan jauh lebih dasyat, jika masih mahu berlakon di hadapan rakyat, terimalah ancaman Allah mengharamkan syurga.

Oleh itu, redakanlah kemarahan dan kekecewaan ini dengan polisi dan dasar yang membantu mereka untuk meneruskan hidup. Sebaliknya janganlah membebankan rakyat dengan pelbagai karenah birokrasi yang menjengkelkan. Usahlah berlakon untuk menjadi hero dan heroin. Setiap babak lakonan yang ditonjolkan itu sedikit pun tidak dapat memadamkan kedukaan rakyat. Disaat getir ini, rakyat lebih memerlukan bantuan, bukannya lakonan. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan