Jumaat, 3 Disember 2021

ANCAMAN BAGI LELAKI YANG DAYUS

 

Setiap manusia yang mendirikan rumahtangga memainkan peranan yang sangat penting dalam mewarnai makna keluarga bahagia. Keluarga bahagia disini bukanlah bermakna mempunyai rumah yang besar, kereta yang banyak dan kemewahan yang tidak bertepian. Keluarga bahagia yang dimaksudkan ini ialah keluarga bahagia yang dibina diatas didikan dan ajaran Islam yang sebenar.

Kebahagiaan mempunyai makna dan erti yang berbeza bergantung kepada diri kita sendiri. Sebahagian orang beranggapan bahagia apabila adanya duit untuk berbelanja. Ada juga yang beranggapan bahagia itu apabila ada orang yang menyayanginya. Namun sedarkah kita bahawa, bahagia yang sebenar adalah apabila keluarga kita dapat mengikuti dan mengamalkan ajaran Islam sebenar. Inilah sebenar-benar bahagia.




Namun begitu, dalam usaha kita hendak membahagiakan keluarga yang kita sayangi ini, baginda Nabi Muhammad SAW telah mengingatkan kita akan ancaman bagi lelaki yang dayus terhadap keluarganya. Hal ini sepertimana yang tercatat dalam sebuah hadith riwayat Imam Ahmad, daripada Abdullah bin Umar RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Tiga golongan yang telah diharamkan oleh Allah daripada memasuki syurga ; iaitu penagih arak, orang menderhakai ibubapanya dan orang yang dayus iaitu orang yang membiarkan kejahatan dalam keluarganya"

Dalam Faidh al Qadir, Imam Munawi berkata maksud dayyus dalam hadis ini ialah orang yang membiarkan kejahatan dalam keluarganya iaitu isterinya dan termasuklah juga kaum kerabat terdekatnya. Manakala kejahatan yang disebutkan dalam hadis ini termasuklah zina, dengan tiada cemburu keatas mereka.

Berdasarkan hadith ini, kita dapat memahami bahawa tindakan isteri dan kaum kerabatnya yang mengundang kepada kemurkaan Allah seperti maksiat zina, dan keadaan itu tidak pula si suami menegur bahkan tidak merasa cemburu sedikit pun dengan hal itu, maka suami tersebut dianggap dayus kerana tidak menegur apatah lagi untuk merasa cemburu dengan hal itu.

Dalam sebuah hadith yang lain, riwayat at Tabrani, daripada Ammar bin Yasir berkata, ia mendengar dari Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Tiga yang tidak akan memasuki syurga sampai bila-bila iaitu si dayyus, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak. Lalu sahabat berkata : Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu dayyus ? Bersabda Nabi SAW : iaitu orang yang tidak mempedulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya)".

Imam az Zahabi dalam al Kabair, berkata :

"Dayyus, iaitu lelaki yang mengetahui perkara keji dilakukan oleh ahlinya dan ia sekadar senyap dan tiada rasa cemburu (atau ingin bertindak), dan termasuk juga ertinya adalah sesiapa yang meletakkan tangannya kepada seorang wanita yang tidak halal baginya dengan syahwat".




Dalam konteks yang lebih luas lagi, makna lelaki dayus juga boleh kita lihat apabila ada segelintir para suami yang tidak mempedulikan soal pakaian anak isterinya dikhalayak awam. Bahkan ada yang beranggapan pakaian adalah fesyen dan perkara itu menjadi normal dalam kalangan masyarakat. Tidak menutup aurat, terbuka dan terdedah sana sini, ianya bukan lagi normalisasi tetapi sebaliknya mengundang kemurkaan dan ancaman dari Allah SWT.

Bertambah sedih dan pilu, para suami yang merupakan tonggak dan ketua kepada sesebuah keluarga tidak mempedulikan tentang soal solat anak-anak dan isteri. Realitinya pada hari ini, sebahagian besar para suami sanggup mengejutkan anak-anak dari tidur pada awal pagi hanya semata-mata untuk bersiap pergi ke sekolah. Walhal, solat lebih utama dan terpenting dalam kehidupan hidup seorang muslim. Ini juga sebahagian dari makna suami yang dayyus.

Demikianlah makna dayyus di dalam Islam. Seorang lelaki dan suami yang hebat, bukanlah yang dapat memberikan wang dan emas berlian permata, tetapi sebaliknya mempunyai rasa cemburu melihat anak isterinya melakukan kemungkaran dan bertindak menegur dan menasihatinya. Ambil lah langkah menegur anak isteri agar menuruti suruhan Allah dan meninggalkan larangan Nya. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan