Selasa, 7 Disember 2021

GANGGUAN SEKSUAL & PERANAN KITA

 

Tahukah anda bahawa dalam tempoh tiga tahun antara 2018 hingga 2020, sebanyak 6,897 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan golongan remaja dilaporkan oleh pihak PDRM. Menurut satu laporan akhbar Harian Metro yang disiarkan pada 28 Julai 2021, mengikut data yang dikumpulkan oleh pihak polis, jenayah seksual yang telah dilaporkan mendapati pelbagai aplikasi media sosial yang digunakan untuk tujuan tersebut seperti Instagram, TikTok, Facebook, MiChat, Telegram, BeeTalk, Whatsapp dan WeChat. Penggunaan pelbagai aplikasi media sosial yang kini semakin canggih dan pantas, seakan-akan tiada batasannya ini telah mengundang kepada peningkatan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan golongan remaja.

Berdasarkan laporan akhbar tersebut juga, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D1), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, pihaknya menerima 2,010 kes jenayah seksual membabitkan kedua-dua golongan itu pada 2018, manakala 2,297 kes direkodkan pada 2019 dan 2,590 kes pada tahun lalu. Menurutnya, angka itu menunjukkan peningkatan kes jenayah seksual kepada remaja dan kanak-kanak terus meningkat walaupun ketika negara dilanda pandemik covid-19 bermula awal tahun lalu.




Kenyataan dan statistik yang dikeluarkan oleh pihak PDRM menerusi laporan akhbar tersebut sudah tentu tidak mengembirakan malah turut mengundang keresahan dan kegelisahan para ibubapa dalam usaha mendidik anak-anak mendepani cabaran yang penuh hebat ini. Apa yang dilaporkan tersebut hanyalah berkaitan dengan golongan kanak-kanak dan golongan remaja sahaja. Belum lagi kita lihat statistik dan realiti jenayah seksual ini berlaku terhadap wanita dan pekerja. Hal ini sangat membimbangkan dan ianya perlu ditangani secara segera dan penuh bijaksana. Mengambil kira keadaan suasana hari ini yang diselubungi dengan pelbagai aplikasi media sosial yang dilihat semakin hari semakin menjadi barah bagi mereka yang menyalahgunakan kemudahan sedia ad aini.

Bagi membendung isu yang kian membarah dalam masyarakat kita pada hari ini, isu pokoknya ialah apakah  peranan kita yang perlu dimainkan dan diterjemahkan bermula dari institusi kekeluargaan, sebagai bapa, ibu, abang dan kakak, juga sebagai masyarakat komuniti dan lebih jauh daripada itu peranan kita sebagai rakyat yang menyayangi masa depan negara yang tercinta ini. Rata-rata perbincangan berlegar dikalangan warganet ialah tentang mencari salah siapa dan tugas siapa untuk menanganinya. Tanpa benar-benar serius, kita tidak boleh lagi sekadar membincang ini salah siapa dan itu tugas siapa. Saya percaya, masing-masing ada peranan dan fungsi yang perlu dimainkan secara bersama, bukan sahaja untuk ahli keluarga kita bahkan juga untuk jiran tetangga kita dan amnya untuk seluruh rakyat Malaysia.

Oleh itu, menyedari akan kepentingan peranan yang perlu dimainkan secara bersama, beberapa tindakan dan langkah yang perlu kita terjemahkan selari dengan semangat “Keluarga Malaysia” yang dijadikan sebagai aspirasi negara. Antara langkah dan peranan terpenting yang harus kita terjemahkan adalah dengan membina keluarga yang bahagia dan sejahtera. Keluarga yang bahagia bukanlah seperti yang sering dihidangkan melalui tontonan drama dan filem yang mempunyai harta dan kekayaan yang mewah, namun keluarga yang bahagia sebenarnya perlu dan mesti mengandungi 3 elemen terpenting iaitu sakinah (ketenangan), mawaddah (kecintaan) dan rahmah (kasih sayang).

Sepertimana firman Allah SWT dalam surah ar Rum ayat 21 yang bermaksud :

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”

Pembinaan keluarga yang bahagia dan sejahtera turut akan memberikan implikasi dan kesan yang baik kepada komuniti masyarakat sekaligus dapat melahirkan jati diri rakyat yang penuh hebat. Konflik kekeluargaan yang kadang-kala dilihat seperti normal adalah tidak sihat untuk pembinaan masyarakat yang harmoni. Akibat konflik inilah, ianya sedikit sebanyak akan mengheret anak-anak untuk mencari kebahagiaan dan keseronokan diluar rumah yang akhirnya akan mengundang masalah sosial yang lebih besar dan dasyat.

Pembinaan institusi kekeluargaan yang baik juga sangat penting bagi menangani jenayah sumbang mahram yang semakin berleluasa ini. Keadaan ini juga bertambah parah dengan adanya arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh pihak kerajaan, membuka ruang dan peluang juga untuk terjadinya tragedi yang tidak bermoral ini. Hal ini berdasarkan kenyataan pihak PDRM berhubung kes sumbang mahram. Untuk rekod, tahun 2020 telah mencatatkan sebanyak 1,105 kes membabitkan jenayah rogol kanak-kanak dan diikuti Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak sebanyak 1,100 kes. Manakala kes sumbang mahram yang direkodkan pada tahun 2020 adalah sebanyak 223 kes. Inilah fakta angka-angka yang telah direkodkan. Bagaimana pula dengan kes yang tidak dilaporkan ? Sehubungan itu, hubungan kekeluargaan yang erat perlu diterjemahkan bagi membentengi keluarga kita daripada terjemurus dalam kancah aktiviti tidak bermoral ini. Dalam hal ini juga, Islam telah ajarkan kepada kita supaya memisahkan tempat tidur anak-anak seawal usia mereka 10 tahun. Hal ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Ahmad, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Perintahkan anak-anak kamu untuk menunaikan solat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukullah mereka ketika mereka berusia sepuluh tahun, dan pisahkan tempat tidur di antara mereka.”




Selain itu, antara langkah dan peranan terpenting yang boleh kita mainkan secara bersama adalah dengan memilih rakan yang baik dan rasional. Pemilihan rakan juga sangat penting bagi membentuk diri kita di masa hadapan. Tambahan pula,pada hari ini dengan kecanggihan teknologi yang hebat dan pantas, ada segelintir para ibubapa tidak endah dan mengambil ringan tentang soal dengan siapa anak-anak mereka berkawan. Ibubapa juga seharusnya mengenali dan mengambil peduli tentang soal pemilihan rakan yang baik untuk anak-anak mereka. Ruang persahabatan yang berada di dalam lingkungan rakan yang baik juga akan sedikit sebanyak menyumbang kepada pembinaan akhlak dan moral anak-anak. Dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Seseorang itu bergantung kepada agama sahabatnya.  Kerana itu, perhatikanlah setiap seorang di antara kalian dengan siapa dia bersahabat." 

Demikian juga firman Allah SWT dalam surah al Zukruf ayat 67 yang bermaksud :

"Pada hari itu sahabat-sahabat karib, sesetengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang yang persahabatannya berdasarkan takwa (iman dan amal soleh)."

Oleh itu, pemilihan rakan yang baik akan turut menyumbang kepada pengurangan kes jenayah gangguan seksual memandangkan suasana dan keadaan sekeliling yang baik dan harmoni. Disebalik angka dan statistik yang dilaporkan, saya percaya bahawa sesetengahnya adalah berpunca daripada ajakan dan pelawaan kawan yang mempengaruhi ruang lingkup pemikiran mereka yang akhirnya menjerat diri mereka sendiri terjerumus dalam kancah yang tidak bermoral ini. Adalah amat wajar sekali untuk para ibubapa mengenalpasti dengan siapa anak-anak mereka bergaul dan sudah tentu, ibubapa itu sendiri perlulah terlebih dahulu menjadi seorang sahabat yang baik kepada anak-anak. Dengan keadaan dan perkembangan semasa pada hari ini, kebanyakan ibubapa telah menghabiskan banyak masa di luar rumah bagi mencari rezeki dan kesibukan ini sudah tentu memberikan ruang masa yang terluang untuk anak-anak bergaul dengan rakan mereka. Untuk itu, sangatlah penting dan mustahak, ibubapa harus peduli tentang soal pergaulan anak-anak mereka diluar sana.

Bagi menangani isu jenayah gangguan seksual ini, adalah penting juga bagi kita untuk menolak budaya menormalisasikan sebarang lawak, sindiran atau gurauan yang berbaur lucah dan tidak senonoh. Perkara ini sememangnya sudah mempunyai gerak usaha untuk membudayakan dikalangan masyarakat segala lawak bahan jenaka, sindiran mahupun gurauan yang berbentuk lucah dan tidak senonoh ini. Untuk menangani isu ini, seharusnya para ibubapa perlu lebih prihatin terhadap bahan internet yang dilayari oleh anak-anak. Ibubapa perlu lebih bijak dan bergerak aktif selari dengan perkembangan semasa, memantau dan meneliti setiap gerak-geri anak-anak ketika melayari internet. Dalam arena arus perdana ini, kita tidak menafikan akan kepentingan belajar melalui wadah internet seperti keadaan sekarang. Penggunaan internet kini semakin luas dan dilihat sudah menjadi suatu keperluan dalam usaha meneruskan proses pembelajaran. Namun perkara itu tidak seharusnya menjadi lessen untuk para ibubapa tidak mengendahkan apa yang dibuat oleh anak-anak.




Juga selain itu, kandungan bahan tontonan di kaca televisyen juga perlu diambil kira agar kita tidak tersalah memilih segmen atau drama yang menghidangkan adegan dan babak yang tidak senonoh. Hal ini lebih mencabar apabila tumbuh bagai cendawan drama dan filem yang mempromosikan budaya hidup barat seperti hidup berpasangan tanpa berkahwin, dengan ditontonkan adegan romantik biarpun belum berkahiwn, menjadikan budaya tersebut dilihat seperti biasa dan inilah bentuk penjajahan sebenar yang sedang dan telah menyerang pola pemikiran kita. Hal ini akan mengundang perasaan ingin bercinta, ingin berkongsi kasih sayang dan akhirnya ke jalan haram penzinaan. Oleh itu, pemilihan stesyen televisyen juga amat perlu dititikberatkan oleh ibubapa atau penjaga.

Sebagai mengimbangi peranan ibubapa, pihak kerajaan harus lebih serius dengan pihak syarikat penyiaran swasta bagi memastikan isi kandungan dan bahan tontonan di layar kaca televisyen bersesuaian dengan tahap umur. Sebuah badan khas yang membantu pihak kerajaan dalam industri kreatif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) perlu memainkan peranan aktif untuk menapis dan menyaring setiap filem yang diterbitkan agar sesuai dan menepati sosiobudaya masyarakat Malaysia. Kita faham, setiap filem mempunyai nilai dan mesejnya yang tersendiri namun bukanlah semua yang menonton filem-filem tersebut mampu menghadam dan mencapai maksud mesej yang hendak disampaikan. Malah, sebahagian adegan yang tidak senonoh itu lebih diingati berbanding mesej utama yang hendak disampaikan.

Saya kira apa salahnya jika pihak FINAS memberi galakkan kepada para pemain industri kreatif untuk lebih banyak mencipta sesebuah filem dan drama yang membina ideologi dan menguatkan jati diri manusia. Jika dahulu, tidak kurang sepinya kita mempunyai filem-filem hebat seperti Darah Satria tahun 1983, Wira Angkasa 1987 dan sebagainya. Kita perlu menghidangkan budaya yang sihat dalam dunia perfileman kerana ianya bukan sekadar untuk berhibur bahkan jauh daripada itu adalah untuk membina jati diri para penonton. Kita perlu menyemak dan menilai semula kualiti filem dan drama yang kian berlambak ditayangkan di pelbagai stesyen televisyen. Lambakan drama dan filem inilah yang menjadi hidangan minda anak-anak kita.

Firman Allah SWT dalam surah an Nur ayat 30-31 yang bermaksud :

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

Demikian beberapa tindakan dan langkah yang boleh kita ambil peduli bersama dan memainkan peranan secara bertanggungjawab bagi menangani isu jenayah gangguan seksual ini dalam radar lapangan masing-masing. Seorang guru, sudah tentu lapangannya di dalam pendidikan. Seorang polis lapangannya di dalam soal penguatkuasaan. Tetapi sekurang-kurangnya, biar apapun lapangan kita, peranan kita mestilah bermula dari rumah terlebih dahulu. Didikan dari rumah akan mencerminkan watak kita pada masyarakat. Keluarga yang utuh akan menjanjikan masyarakat yang kukuh. Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk menangani isu tidak bermoral ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan