Ahad, 19 Disember 2021

BILA UJIAN MUSIBAH DATANG MENYAPA

 

Sebahagian manusia apabila melihat sesuatu musibah bencana datang melanda, tidak kurang daripadanya ada yang mengajak untuk kembali bermuhasabah diri. Ada juga yang mencela dengan mengatakan itulah azab balasan bagi orang yang melakukan dosa. Tidak kurang juga, segelintirnya gemar membuat teori itu ini mengaitkan dengan angka dan digit tertentu dan ada juga yang mengaitkannya dengan tanda-tanda kiamat dan akhir zaman.

Pertamanya, adalah lebih baik sekiranya kita terlebih perlu memahami dan meneliti firman Allah SWT dalam surah al Ankabut ayat 2 yang bermaksud :

"Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan : "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi ?".




Melalui ayat ini, biarpun sekadar sebuah lontaran pertanyaan kepada kita namun intipati ayat ini membawa makna dan hikmahnya yang menjentik hati bagi mereka yang mahu berfikir. Ujian bukan sahaja dalam bentuk kesusahan, kesukaran dan selainnya tetapi kesenangan, kesihatan yang baik, kemewahan harta benda juga merupakan suatu ujian dari Allah. Untuk itu, adalah tidak adil untuk kita menyimpulkan bahawa bagi mereka yang diuji dengan musibah bencana dan malapetaka adalah merupakan petanda kemurkaan Allah SWT.

Dalam situasi getir berhadapan dengan ujian musibah dan bencana ini, adalah menjadi keutamaan bagi kita untuk menghulurkan bantuan dan menzahirkan perasaan simpati dan berdukacita dengan apa yang berlaku. Menghulurkan bantuan bukan sahaja terletak pada nilai wang ringgit, memberikan kata-kata semangat, mendoakan mereka juga sebahagian bentuk sedekah yang boleh kita hulurkan. Dalam sebuah hadith sahih riwayat Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Perumpamaan kaum mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi, seumpama tubuh, jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau merasakan demam".

Hadith ini menjelaskan perumpamaan bagaimana sewajarnya sikap yang perlu diambil ketika melihat saudara seakidah kita dilanda dengan ujian musibah. Membantu, bukan membuntu. Menolong dan bukan sebaliknya menghukum. Sekiranya tidak mampu memberikan wang ringgit, berilah kata-kata semangat, motivasi dan nasihat yang baik untuk mereka terus cekal dan tabah. Sekiranya tidak mampu juga, berdoalah untuk mereka agar dipermudahkan urusan. Inilah keutamaan yang perlu kita praktikkan dan bukannya menghentam sana-sini.




Keduanya, sesuatu ujian musibah yang terkena kepada kita pasti ada hikmah disebaliknya. Ianya sudah pasti ada nilai yang akan diperolehi setimpal dengan tahap keimanan kita. Bagi golongan orang beriman yang diuji, kesabaran mereka pasti memperoleh balasan syurga dan penghormatan oleh Allah diberikan. Sepertimana firman Allah SWT dalam surah al Furqan ayat 75 yang bermaksud :

"Mereka itu akan diberi balasan syurga dengan tempat yang tinggi (dalam syurga) atas kesabaran mereka, dan disana mereka akan disambut dengan penghormatan dan salam".

Syeikh al Saadi dalam tafsirnya menyebut, Allah SWT pasti menguji hamba Nya dengan kesukaran dan kepayahan kerana itu adalah sunnatullah yang tidak akan berubah, mereka yang bersabar pasti mencapai kebahagiaan dan kekuasaan. Demikian pernyataan Syeikh al Saadi menjelaskan bagaimana sikap orang beriman ketika berhadapan dengan ujian kesusahan dan kesukaran. Pastinya dirinya teruji dengan penuh kesabaran. Dan beruntunglah orang-orang yang bersabar.

Bagi golongan orang yang baik tetapi terlanjur berbuat dosa, sudah tentu ujian musibah ini adalah kaffarah bagi diri mereka untuk kembali memperbaiki setiap kekurangan dalam diri. Ianya bukan suatu balasan azab Allah tetapi sebaliknya menjadi sebuah kaffarah peluang untuk menghapuskan dosa. Sepertimana yang disebutkan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith sahih riwayat Bukhari, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Tidaklah menimpa seseorang muslim sama ada letih, sakit, kerisauan, kesedihan, kesusahan atau kebimbangan bahkan tusukan duri sekalipun melainkan Allah SWT akan menjadikan semua itu sebagai penghapus kepada dosa-dosanya".




Manakala bagi golongan yang ingkar dan enggan taat perintah Allah, sudah pasti ujian musibah yang melanda mereka adalah sebuah bala balasan daripada Allah SWT. Hal ini seperti firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah al An'am ayat 44 yang bermaksud :

"Kemudian apabila mereka melupakan apa yang diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan sehingga apabila mereka bergembira dan bersuka ria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (daripada mendapat pertolongan)."

Demikianlah bagaimana Allah membalas setiap para hamba Nya berdasarkan bagaimana keadaan kita berhadapan dengan ujian Nya. Ujian itu sangat penting dalam kehidupan. Ianya barangkali menjadi asbab kita akur dengan kebesaran Allah dan barangkali ianya juga boleh menjadi asbab kita dihukum oleh Nya. Persoalan yang lebih besar adalah tentang bagaimana sikap yang diambil oleh kita ketika berhadapan dengan ujiannya. Kita yang kadangkala terasa seperti tidak diuji, juga sebenarnya diuji oleh Allah dengan perasaan merasa diri baik kerana tidak diuji dan sebagainya. Semoga Allah merahmati dan memberkati hidup kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan