Takdir
adalah salah satu tuntutan wajib bagi orang Islam untuk beriman padanya yang
juga disebutkan sebagai qada' dan qadar. Dalam al Quran, terdapat beberapa
definisi takdir yang disebut oleh Allah SWT dalam beberapa melalui firman Nya.
Antara makna yang disebutkan oleh Allah SWT, takdir itu adalah segala sesuatu
yang terjadi diatas ketentuan Nya. Sepertimana firman Allah Azza Wa Jalla dalam
surah ar Ra'd ayat 8 yang bermaksud :
"Dan
setiap sesuatu adalah ditetapkan di sisi Nya dengan kadar yang tertentu"
Juga
dalam ayat yang lain, Allah SWT menyebutkan bahawa takdir itu adalah sesuatu
yang diciptakan dengan jalan takdirnya. Sepertimana firman Allah SWT dalam
surah al Qamar ayat 49 yang bermaksud :
"Sesungguhnya
Kami menciptakan setiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan)".
Dalam
al Aqaid Islamiyah, Imam Nawawi memberikan makna kepada takdir sebagaimana yang
telah disebutkan oleh Syeikh Syed Sabiq :
"Sesungguhnya
segala yang maujud ini telah digariskan oleh Allah sejak zaman qidam Dia Maha
Mengetahui apa sahaja yang terjadi dalam waktu-waktu yang ditentukan, sesuai
dengan garis yang telah ditetapkan Nya. Terjadi sesuatu itu pasti tepat menurut
sifat-sifat keadaan yang khusus seperti yang telah digariskan oleh Allah".
Secara
mudah, takdir adalah sebuah ketetapan dan peraturan azali yang dibuat oleh
Allah SWT sebagai yang Maha Mencipta kita. Pada takdir itu juga mempunyai
undang-undang yang umum yang terkait dengan persoalan asbab dan musabab dalam
kehidupan para hamba Nya. Oleh itu, sebagai orang yang beriman, kita wajib
beriman dengan takdir Nya yang sudah ditentukan atas kehendak Nya yang Maha
Berkuasa.
Mengajak
diri untuk berdamai dengan takdir bukanlah bermakna kita perlu berputus asa dan
lari daripada berusaha. Bahkan sikap berputus asas dan malas berusaha adalah
suatu sikap yang ditentang dan dilarang oleh agama. Dalam sebuah hadith sahih
riwayat Imam Bukhari, daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW menyebut
dalam doanya yang bermaksud :
"Ya
Allah, aku berlindung kepada Mu dari keluh kesah dan dukacita, aku berlindung
kepada Mu dari kelemahan dan kemalasan, aku berlindung kepada Mu dari rasa
penakut dan kikir, dan aku berlindung kepada Mu dari bebanan hutang dan
penindasan".
Berdamai
dengan takdir membawa maksud kita redha dengan setiap yang berlaku, akur diatas
setiap yang terjadi di samping kita terus bersangka baik dengan Allah SWT.
Setiap manusia pasti ada perkara yang di cita-citakannya. Baik dalam soal
jodoh, rezeki atau lain-lainnya. Meskipun begitu, Allah lebih mengetahui apa
yang terbaik bagi diri kita sendiri. Oleh kerana itu, Allah SWT berfirman dalam
surah al Baqarah ayat 216 yang bermaksud :
"...boleh
jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula)
kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu ; Allah mengetahui,
sedangkan kamu tidak mengetahui".
Demikian
lah bagaimana Allah telah menentukan sesuatu takdir diatas pengetahuan Nya yang
Maha Hebat. Bagi kita yang berakal waras, kekecewaan dalam hidup kerana gagal
mencapai apa yang kita citakan selama ini adalah sesuatu yang sakit untuk
diubati, pahit untuk ditelan dan sukar untuk dilupai. Namun percayalah, hidup
diatas realiti lebih bermakna daripada alam fantasi. Berdiri di alam realiti
lebih bermaruah dan punyai harga diri berbanding terus menerus memilih untuk
meratapi, bersedih dan pilu.
Sebagai
manusia yang serba lemah dan berada dalam serba kekurangan, untuk menelan
sesuatu takdir yang tidak seperti apa yang kita harapkan memanglah sesuatu yang
sulit. Ianya bagaikan menyucuk ke dada dan seolah hilang separuh nyawa. Tetapi
untuk namanya kelangsungan hidup, realitinya harus kita bangkit dan meneruskan
perjalanan walau pun dengan keadaan merangkak, hidup mesti diteruskan.
Pengalaman dan kenangan silam akan terus menghantui kita sekiranya kita tidak
memilih untuk berdamai dengan takdir.
Justeru,
bersangka baiklah kepada Allah, Tuhan yang Maha Kuasa. Dia lah tempat untuk
kita merintih dan memohon. Dia juga lah tempat sebaik-baik kita bersandar.
Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Jabir, Nabi SAW bersabda yang
bermaksud :
"Ketahuilah
bahawa seseorang dari kamu tidak akan menemui maut melainkan dia telah
bersangka baik kepada Allah".
Hidup
ini adalah tentang soal pilihan. Banyak kelebihan andai kita memilih untuk
berdamai. Lupakan yang suram. Pilih lah untuk menjadi manusia yang bermaruah.
Bangkit pada hari ini untuk melakarkan masa depan. Percayalah, Allah
sebaik-baik perancang hidup ini. Semoga Allah memimpin hidup kita menuju jalan
redha Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan