Khamis, 9 Disember 2021

SOROTAN PERJALANAN MAIPs 100 TAHUN

 

Tahun 1920 merupakan tahun yang menjadi titik tolak kepada sebuah penubuhan badan yang menguruskan hal ehwal Islam di negeri Perlis. Sebelum daripada itu, ketika Perlis berada di bawah pemerintahan kerajaan Siam dan British, hal ehwal agama Islam diserahkan kepada Raja Pemerintah yang diangkat sebagai Ketua Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu. Menyedari akan kepentingan menubuhkan sebuah badan khas untuk menguruskan hal ehwal agama Islam, pada tahun 1920, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al Marhum Syed Alwi Ibni Al Marhum Syed Saffi Jamalullail telah menubuhkan Majlis Agama Islam. 

Dengan tertubuhnya sebuah badan khas ini, maka bermula lah sebuah pengurusan hal ehwal Islam yang lebih bersistematik. Berlandaskan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah, MAIPs yang juga memainkan peranan besar dalam membangunkan ummah telah melalui tempoh transformasi dibawah peneraju Duli-Duli Tuanku yang menjadi Yang Dipertua MAIPs. Sejak zaman Al Marhum Tuanku Syed Alwi lagi, MAIPs yang ketika itu dikenali sebagai pejabat zakat dari semasa ke semasa telah melakukan penambah baikkan selari dengan tuntutan dan peredaran zaman.




Secara umumnya, penubuhan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) adalah bermula daripada sebuah enakmen yang disebut sebagai The Muhammadan Marriages (Separation) Amendment Enactment No. 14. Enakmen tersebut adalah berkaitan pendaftaran nikah, cerai dan rujuk yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Perlis pada 12 September 1919. Kesinambungan daripada itu, pada tanggal 24 Februari 1922, Kerajaan Negeri Perlis telah mewartakan Shariah Court Enactment No. 5. Secara faktanya, kedua-kedua enakmen yang disebutkan ini telah diluluskan melalui mesyuarat Majlis Mesyuarat Negeri Perlis dan diperkenankan oleh Raja Syed Alwi Ibni Syed Saffi Jamalullail.

Adalah tidak salah untuk kita menyatakan bahawa penggubalan dan pewartaan kedua-dua enakmen ini adalah menjadi sebahagian asas menuju kearah penubuhan sebuah badan khas yang menguruskan hal ehwal agama Islam di negeri Perlis. Kenyataan ini juga dikuatkan lagi dengan merujuk kepada minit mesyuarat Majlis Mesyuarat Negeri Perlis sepanjang tahun 1909 hingga tahun 1920, kita akan mendapati perbincangan awal berkenaan pengurusan zakat hanya dibincangkan secara lebih terperinci dalam mesyuarat bertarikh 1 Mac 1920.

Mesyuarat pada tanggal 1 Mac 1920 yang telah dipengerusikan oleh Raja Syed Alwi Jamalullail telah membuat keputusan berkenaan tanggungjawab dan peranan “kathi” adalah untuk menyediakan dan mengedarkan notis pemberitahuan berkaitan maklumat kewajiban membayar zakat kepada seluruh negeri Perlis. Oleh yang demikian, berdasarkan catatan sejarah ini, boleh kita simpulkan bahawa peranan MAIPs yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal agama Islam di negeri Perlis secara rasmi telah bermula sejak tahun 1920 lagi.




Usaha pengukuhan peranan dan tanggungjawab MAIPs yang ketika itu dikenali sebagai Dewan Penasihat Raja terus dilaksanakan dengan jayanya. Hal ini terbukti apabila pada tahun 1930, Undang-undang Mahkamah Syariah 1340 H telah digubal semula bertujuan untuk menambah baikkan lagi pengurusan hal ehwal Islam di negeri Perlis. Hasil cadangan yang dikemukakan oleh Sheikh Ahmad Mohd. Hashim dan di sokong oleh Haji Ahmad Muhammad dan Wan Ahmad Wan Daud, satu peraturan mengutip zakat mula disemak. Akhirnya, hasil daripada semakan dan penggubalan undang-undang  tersebut, Raja Syed Alwi yang ketika itu merupakan Raja Perlis telah memperkenankan Undang-undang No. 3 tentang kaedah kutipan zakat di negeri Perlis pada 8 November 1932. Sorotan daripada itu, Majlis Mesyuarat Negeri Perlis telah meluluskan satu peraturan khas yang disebut sebagai Peraturan Mengutip Zakat dan Fitrah Perlis 1932.

Nama MAIPs telah digunakan secara rasminya apabila Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Putra Jamalullail perkenan bagi mengurniakan Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948. Berdasarkan Perkara 6 (1), Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948, Raja Pemerintah negeri Perlis boleh memerintah supaya ditubuhkan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Majlis ini bertanggungjawab sebagai badan penasihat rasmi DYMM Tuanku Raja Perlis dalam urusan hal ehwal Islam dan adat istiadat Melayu. Setelah itu, usaha pemerkasaan dan pengukuhan MAIPs terus dilakukan dengan menubuhkan sebuah undang-undang khas penubuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Negeri Perlis seterusnya mendapat perkenan daripada Almarhum DYMM Tuanku Syed Putra Jamalullail pada 27 Disember 1949.

MAIPs yang sebelum ini dikenali dengan nama Pejabat Zakat dan Fitrah Perlis telah memainkan peranannya dahulu di Pejabat Pemeriksa Kira-kira Kerajaan Perlis. Menjelang tahun 1951, MAIPs dibawah nama tersebut telah memiliki bangunannya sendiri yang terletak di Jalan Hospital, Kangar. Tapaknya kini telah dijadikan bangunan Bank Rakyat cawangan Kangar. Usaha untuk pemerkasaan MAIPs terus diperhebatkan lagi apabila pada tahun 1964, MAIPs telah diangkat sebagai sebuah badan berkanun negeri Perlis dan ianya telah diperkenankan oleh Almarhum Tengku Suleiman ibni Almarhum Tengku Bendahara Abu Bakar pada 27 Februari 1964. Dengan itu, MAIPs yang diangkat sebagai sebuah badan berkanun telah memberikan suatu kedudukan yang tinggi dan hal ini akan memberikan ruang untuk MAIPs terus memperkasakan lagi peranan dan tanggungjawabnya untuk meningkatkan pembangunan sosioekonomi umat Islam khasnya di negeri Perlis.




Sebagai merealisasikan peranan MAIPs yang juga sebagai sebuah badan penasihat kepada DYMM Raja Pemerintah, pada tahun 1986, DYTM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, yang ketika itu sebagai Raja Muda Perlis telah diperkenankan oleh Raja Perlis ditabal sebagai Yang Dipertua MAIPs yang ke 7. Rentetan daripada itu, DYTM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Tuanku Yang Dipertua MAIPs, dengan berpegang teguh pada dasar Ahli Sunnah Waljamaah, Tuanku  tanpa membuang masa, terus-menerus mencipta langkah merangka usaha bagi memantapkan pengurusan MAIPs. MAIPs sebagai sebuah badan berkanun terus berkembang hebat memperkasakan agenda membangunkan ummah dengan penggubalan Enakmen Baitulmal dan Zakat pada tahun 1988. Dengan penggubalan enakmen tersebut, MAIPs telah memantapkan pengurusan baitulmal yang merangkumi wakaf, sumber am dan zakat dengan memperkenalkan serta mewujudkan pelbagai skim agihan dan garis panduan berkenaan pengurusan zakat.

Episod kecemerlangan dan kegemilangan MAIPs terus diwarnai dengan pelbagai kejayaan yang telah dikecapi dengan hebatnya. Tahun 2006, telah membawa suatu dimensi baharu bagi MAIPs. Hal ini kerana, Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 telah diperkenankan oleh DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Pemangku Raja Perlis ketika itu. Enakmen yang telah diperkenankan ini telah membawa kepada suatu anjakan paradigma baharu kepada MAIPs untuk terus mengorak langkah membawa perubahan yang lebih besar sekaligus memberikan impak pembangunan sosioekonomi yang mampan untuk umat Islam khususnya di negeri Perlis.

Dibawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006, MAIPs telah diberikan peruntukkan kuasa bagi mengukuhkan lagi pengurusan dan pentadbiran MAIPs. Sejajar dengan itu, MAIPs yang kemudiannya dikemudi oleh Yang Dipertua MAIPs ke 8, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, telah memulakan langkah maju ke hadapan dengan mengasaskan sebuah gagasan transformasi pengurusan MAIPs. Menyedari akan kepentingan melakukan sesuatu yang lebih besar, pada tahun 2011, MAIPs dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang diketuai oleh Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal telah melaksanakan Kajian Transformasi Pengurusan dan Pelan Strategik MAIPs. Hasil daripada kajian dan pelan strategik tersebut, MAIPs telah berjaya menempa kejayaan dengan menampilkan pelbagai inisiatif yang lebih kemas dan hebat.

Usaha yang gigih dan langkah yang jitu telah melakarkan perubahan yang positif dan ianya telah membawa MAIPs ke suatu dimensi yang baharu. Kini dibawah MAIPs, terdapat beberapa program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh MAIPs yang bukan sahaja bertujuan untuk sekadar memberi bahkan mendidik jati diri warga asnaf untuk berani melangkah keluar dari kepompong kemiskinan sehingga menjadikan mereka pula antara yang menyumbangkan zakat. Program dan inisiatif MAIPs yang merangkumi pelbagai aspek ekonomi, sosial dan pendidikan telah banyak merubah kehidupan warga asnaf khususnya di negeri Perlis.

Dari sudut pembangunan sosioekonomi, menyedari akan kepentingan membantu warga asnaf keluar dari kemiskinan, MAIPs telah menubuhkan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM). ATAM telah ditubuhkan bertujuan untuk memberikan fokus terhadap usaha-usaha memperkasakan warga asnaf dengan menawarkan peluang Latihan dan kemahiran serta menjamin pekerjaan mereka. Bagi merealisasikan objektif penubuhannya, ATAM telah pun bekerjasama dengan puluhan syarikat dan institusi latihan kemahiran bagi menawarkan kepada warga asnaf yang berminat untuk diberikan latihan sekaligus dijamin pekerjaan.

Selain itu, MAIPs dengan kerjasama pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) terus proaktif mengagihkan zakat kepada warga asnaf melalui pelbagai skim dan program bantuan yang ditawarkan. Antaranya ialah Program Hijrah Minda, Program Kayuhan MAIPs Peduli, Skim Bantuan Mikro Baikpulih Rumah, Skim Kediaman Rumah MAIPs, Skim Bantuan Sara Hidup dan pelbagai lagi inisiatif lain yang dilaksanakan untuk pembangunan sosioekonomi ummah.



Dibawah MAIPs juga, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) telah ditubuhkan pada tahun 2013 dengan menawarkan biasiswa pengajian dengan beberapa program berkaitan pengajian berteraskan Islam seperti perbankan Islam, pengurusan kewangan dan hartanah dan pengurusan halal. Untuk rekod, tahun 2020, KUIPs telah berjaya menubuhkan Fakulti Al Quran dan Sunnah yang telah pun disempurnakan perasmiannya oleh DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Perlis pada 26 November 2020. KUIPs kini telah beroperasi di Kuala Perlis dengan membuka pengambilan pelajar dari dalam dan luar negara. Dengan penubuhan KUIPs, ianya menjadi lambing komitmen dan kejituan MAIPs dalam usaha memperkasakan pendidikan.

MAIPs yang juga berperanan untuk menegakkan syiar Islam, tidak ketinggalan untuk memperkasakan pembangunan dakwah islamiah. Dibawah MAIPs, sebuah badan dakwah, One Centre Malaysia Perlis khasnya dakwah kepada orang bukan Islam ditubuhkan pada tahun 2017. Fokus utama mereka adalah untuk membantu MAIPs memainkan peranan menyebarkan Islam disamping MAIPs turut berkolaborasi dengan badan dakwah yang lain seperti PERKIM, Hidayah Centre Foundation, Pertubuhan IKRAM, Gabungan Belia Ibnu al Qayyim (GBIQ) dan lain-lain. Bagi memantapkan pemahaman masyarakat khususnya masyarakat Islam berkenaan pengamalan sunnah, MAIPs dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Jabatan Mufti Negeri Perlis, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis telah mewujudkan pelbagai siri seminar dan program dakwah seperti Akademi Imam, Program Ihya’ Masjid Semarak Dakwah, dan lain-lain.




Malah secara khusus lagi, MAIPs dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Perlis telah mewujudkan Skim Muballigh Jabatan Mufti yang diberikan suntikan dana oleh MAIPs. Juga MAIPs telah memanfaatkan tapak masjid Arau lama dengan memperbaiki segala infrastruktur dan menjadikan ianya sebagai Centre Of Sunnah dibawah kelolaan Jabatan Mufti Negeri Perlis. DYTM Tuanku Yang Dipertua MAIPs yang begitu prihatin dan mengambil berat akan kepentingan membaca turut memperkenalkan sebuah program ‘Anjung Buku-buku Agama dan Pusat Rujukan Islam dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis.

Demikian beberapa coretan ringkas yang boleh kita gambarkan berkenaan perjalanan 100 tahun MAIPs menjunjung syiar memaju ummah. Untuk menceritakan sebuah perjalanan panjang ini sudah tentu tidak akan selesai dengan artikel ini namun cukuplah bagi kita memahaminya bahawa MAIPs yang dilihat sangat proaktif pada hari ini bermula dengan sebuah mesyuarat yang akhirnya diperkasakan dari semasa ke semasa.Terdapat banyak lagi memori manis kejayaan MAIPs menempa nama bukan sahaja di peringkat kebangsaan bahkan dikenali di arena antarabangsa. Kita doakan agar MAIPs dibawah teraju Duli-duli Tuanku terus memayungi ummah dan menterjemahkannya dalam tindakan. Insha Allah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan