Islam
merupakan agama fitrah yang meraikan hak-hak manusia dalam berkehidupan.
Bahkan, kedatangan Islam telah memberikan banyak manfaat kepada manusia
khususnya dalam mengatur urusan kehidupan. Hal ini kerana Islam membawa suatu
cara kehidupan yang lengkap dan sempurna sesuai dengan naluri dan kehendak
sebagai seluruh manusia.
Firman
Allah SWT dalam surah Saba' ayat 28 yang bermaksud :
"Dan
Kami tidak mengutuskan kamu melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai
pembawa berita dan sebagai pemberi peringatan".
Berdasarkan
firman Nya ini, Islam tidaklah diturunkan dengan mempromosikan budaya dan
tradisi sesuatu bangsa dan kaum. Ini juga bermakna keislaman seseorang bukanlah
terletak dan terpaut pada apa bangsa dan kaumnya bahkan merentasi semua agama,
budaya dan adat. Maka kedatangan Islam secara menyeluruh menyeru semua manusia
baik apa pun agama dan kaumnya, meski berbeza budaya dan adatnya, selagi hal
perbezaan itu tidak bertentangan dengan syarak, maka agama mengizinkannya.
Kita
boleh lihat bagaimana baginda Nabi SAW yang berbangsa dan berketurunan arab,
meraikan kebiasaan sesuatu kaum selagi mana perkara itu tidak bercanggah dengan
prinsip Islam. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Anas
bin Malik, yang bermaksud :
"Apabila
Nabi SAW ingin menulis surat ke Rum. Lalu diberitahu kepadanya bahawa mereka
itu tidak membaca surat yang tidak mempunyai cop. Lalu baginda membuat cop
daripada perak. Kata Anas : "Seakan aku masih melihat kilauan cop
berkenaan di tangan baginda berukir Muhammad Rasulullah".
Berdasarkan
hadith ini, kita dapat melihat bagaimana baginda Nabi SAW meraikan kebiasaan
sesuatu kaum seperti bangsa Rom yang tidak membaca surat kecuali padanya
terdapat cop, maka baginda meraikan hal itu selagi mana tidak bercanggah dengan
syarak. Sikap baginda Nabi yang meraikan hal itu menunjukkan contoh teladan
yang baik kepada kita supaya tidak jumud dalam sesuatu perkara selagi hal itu
boleh diraikannya.
Demikiannya
Islam. Tujuan utama kedatangan Islam adalah untuk membebaskan para manusia
daripada menjadi hamba berhala yang langsung tidak dapat memberi manfaat dan
mudharat. Islam datang dengan tujuan untuk membebaskan manusia dari mensyirik
dan mempersekutukan Allah. Pada masa sama, budaya dan adat tradisi yang baik,
yang secara dasarnya tidak berlawanan dengan prinsip Islam, maka ianya
diharuskan untuk kita laksanakan.
Sebagai
contoh, adalah menjadi budaya orang Melayu untuk berpakaian baju melayu serta
bersampin, ditambah pula dengan pemakaian songkok, ianya suatu budaya yang baik
dan tidak menyanggahi syarak. Pemakaian baju melayu bersampin, bukanlah pakaian
rasmi bagi orang Islam, tetapi sebaliknya ia hanya budaya dan adat tradisi
orang Melayu. Demikian juga bagi bangsa arab, menjadi kelaziman bagi mereka
memakai jubah dan serban. Pemakain itu tidaklah melambangkan ianya pakaian
rasmi Islam sebaliknya ianya hanyalah pakaian budaya dan adat tradisi bangsa
arab.
Baginda
Nabi SAW juga tidak ketinggalan untuk memakai pakaian selain daripada kebiasaan
pakaian budaya dan tradisi bangsa arab. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan
Muslim, daripada al Mughirah bin Su'bah, yang bermaksud :
"Sesungguhnya
Nabi SAW memakai jubah Rom - dalam sebahagian hadith disebut jubah syamiah
(negeri Syam) - yang sempit kedua-dua tangan bajunya".
Melihat
akan sikap keterbukaan dan keraian baginda Nabi yang pernah mengenakan pakaian
jubah Rom, telah mengajar kita bahawa Islam tidak datang untuk tujuan menghapuskan
budaya dan adat tradisi kaum bahkan Islam menggalakan kita untuk saling
mengenali antara satu sama lain dan meraikan sesuatu budaya dan adat tradisi
selagi hal itu tidak berlawanan dengan prinsip Islam.
Oleh
itu, orang Islam yang mengenakan baju melayu bersampin dan bersongkok, bukan
bermakna dirinya lebih Islam dari orang lain. Begitu juga pada mereka orang
Islam yang memakai jubah dan serban, bukanlah bermakna dirinya lebih Islam dari
orang lain. Sebaliknya ia hanya sekadar budaya dan adat tradisi yang diharuskan
oleh Islam. Termasuk juga makan ketupat di pagi raya, memberi duit raya dan
ziarah menziarahi di hari raya, ianya merupakan budaya dan adat yang diraikan
oleh Islam kerana semua amalan tersebut sudah menjadi sebahagian tuntutan dalam
agama Islam.
Kata
Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dalam Majmu' Fatawa, beliau menyatakan bahawa :
"Rasulullah
SAW itu pernah memakai gamis (baju labuh) dan serban, baginda pernah memakai
kain sarung dan ridak (baju separuh yang dipakai bersama kain sarung), baginda
pernah memakai jubah dan farajiah (baju besar dan panjang kedua-dua tangannya).
Baginda pernah memakai pakaian daripada jenis kapas, bulu dan selainnya.
Baginda pernah memakai jubah bulu ketika bermusafir. Baginda juga memakai apa
yang dibawa dari Yaman dan selainnya. Kebanyakannya dibuat daripada kapas.
Mereka (pada zaman tersebut) juga memakai pakaian buatan Qibti Mesir yang
ditenun daripada kattan. Maka bererti sunnah Rasulullah SAW dalam hal ini
adalah seseorang memakai pakaian dan memakan makanan yang mudah didapati dalam
negerinya. Maka perkara ini pelbagai, berdasarkan kepelbagaian negeri".
Demikianlah
bagaimana Islam datang membawa kerahmatan kepada seluruh manusia yang terdiri
daripada pelbagai kaum dan bangsa. Untuk itu, dapat kita fahami bahawasanya
Islam sangat meraikan budaya dan adat tradisi sesuatu kaum selagi mana hal
tersebut tidak membawa kepada pelanggaran hukum syariat Allah SWT. Semoga Allah
merahmati dan memberkati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan