Isnin, 27 Disember 2021

SALAHKAH MEMILIKI PERASAAN CINTA SEBELUM BERKAHWIN ?

 

Perasaan cinta merupakan salah satu anugerah Allah SWT kepada setiap para makhluk Nya. Ianya juga menjadi bukti kekuasaan dan keagungan Allah SWT yang menjadikan cinta menyatukan antara satu sama lain. Bagaikan udara yang dihirup, perasaan cinta merupakan pelengkap hidup yang menjadikan kita manusia yang normal. Tanpa cinta, tidak sempurna lah kehidupan sebagai seorang manusia.

Kerana cinta, kita mengenal pencipta. Kerana cinta, kita mengenal Rasulullah, kerana cinta, kita mengenal siapa diri kita, dan kerana cinta, kita dilahirkan ke dunia. Maksud cinta sangatlah subjektif. Ianya bergantung kepada bagaimana kita melihatnya. Sebahagian manusia, memaknai cinta dengan perbuatan, sebahagiannya pula memaknai cinta dengan pertuturan. Pelbagai definisi dan makna cinta yang akan kita temui terletak kepada bagaimana kita memandangnya.




Persoalan besar yang seringkali bermain di minda kebanyakan orang muda adalah soal apakah Islam melarang perasaan cinta sebelum kahwin ? Adakah menjadi suatu kesalahan dan berdosa andai kita telah jatuh cinta kepada seseorang ? Bagaimana untuk menzahirkan rasa cinta jika benar cinta sebelum kahwin di larang oleh Islam ? Demikianlah dilema yang seringkali membelenggu orang muda untuk menzahirkan rasa cintanya pada seseorang. Sehingga sebahagian masyarakat yang "kuat beragama" memandang cinta sebelum kahwin adalah suatu yang menjijikkan.

Sebenarnya, pemahaman cinta yang kebanyakan masyarakat faham adalah seperti apa yang telah dihidangkan oleh pihak barat. Cinta yang dilihat seperti jijik itu adalah merupakan dimensi cinta yang dipromosi oleh budaya barat. Bagi mereka, cinta hanyalah sebuah alat untuk mencapai tujuan seks semata-mata. Seperti yang dipromosikan oleh barat kepada masyarakat melalui filem, drama dan sebagainya, perasaan cinta dilihat seperti tidak baik dan tidak senonoh. Walhal, perasaan cinta adalah salah satu tanda kekuasaan dan keagungan Allah SWT.

Firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah al Baqarah ayat 235 yang bermaksud :

"Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara kiasan) untuk meminang perempuan (yang dalam idah kematian suami), atau tentang kamu menyimpan dalam diri (keinginan berkahwin dengan mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan mengingati mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka dalam sulit, selain daripada menyebutkan kata-kata (secara kiasan) yang sopan. Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis idah yang ditetapkan itu. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam dada kamu, maka beringat-ingatlah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar".

Berdasarkan ayat ini, beberapa perkara boleh kita ambil faham tentang maksudnya. Menerusi ayat ini, kita fahami bahawa Allah melarang para lelaki meminang wanita yang berada dalam idah kematian suaminya. Larangan meminang wanita yang masih berada dalam tempoh idahnya sudah tentu mempunyai banyak maslahah terutamanya membabitkan perasaan keluarga bekas suami. Pun begitu, Allah tidak melarang untuk para lelaki meminang wanita tersebut selepas habis idahnya.




Pada masa sama, Allah juga tidak melarang kita berkeinginan menyimpan perasaan cinta dan selalu teringat akan orang yang kita cintai. Kerana demikianlah fitrah bagi seseorang manusia yang normal. Bezanya, kita dilarang cinta kepada sesama sejenis seperti yang disebutkan sebagai gay, lesbian dan sebagainya. Bahkan pada zaman Nabi SAW, baginda Nabi pernah melahirkan rasa simpati kepada Mughith yang merupakan bekas suami Barirah yang mana beliau masih mencintai isterinya itu. Perkara ini diceritakan dalam sebuah hadith riwayat Imam Bukhari, daripada Abdullah bin 'Abbas, katanya yang bermaksud :

"Bahawa suami Barirah adalah seorang hamba bernama Mughith. Aku seakan masih terbayang dia mengikuti Barirah dari belakang serta menangis sehingga air matanya mengalir di janggutnya. Nabi SAW berkata kepada 'Abbas : "Wahai 'Abbas, tidaklah kau hairan melihat cintanya Mughith kepada Barirah dan bencinya Barirah kepada Mughith ?' Lalu Nabi SAW berkata (kepada Barirah) : 'Tidak mahukah jika engkau kembali kepadanya.' Barirah berkata : 'Apakah engkau memerintahkan ku ?' Nabi SAW bersabda : ' Aku hanya mencadangkan.' Kata Barirah : 'Aku tidak memerlukan dia."

Berdasarkan kisah ini, baginda Nabi SAW tidak melarang Mughith membuat rayuan cinta kepada bekas isterinya, Barirah. Malah baginda Nabi SAW bersimpati dengan apa yang menimpa Mughith. Baginda cuba memujuk Barirah, namun Barirah tidak mahu. Demikianlah tiada paksaan dalam cinta. Oleh kerana itu, tidaklah salah bagi seseorang menzahirkan rasa cinta pada seseorang selagi mana hal itu tidak melanggar syarak. Untuk mengungkapkan cinta kepada seseorang, tiadalah salahnya. Begitu juga menyimpan perasaan cinta pada seseorang, tiadalah salahnya. Malah hal itu menunjukkan bahawa hidup kita berdiri diatas normal kehidupan.




Cumanya, perkara yang dilarang adalah perbuatan zina. Yang dimaksudkan dengan zina adalah seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, berpegangan tangan sebelum bernikah, bercumbuan, berkelakuan seperti sudah bernikah, hal inilah yang dilarang oleh Islam. Adapun bercinta sebelum nikah yang masih mempunyai jarak antara lelaki dan perempuan, menjaga dan memelihara adab pergaulan, maka hal itu merupakan fitrah manusiawi. Menghalang fitrah, boleh mengundang kepada kemaksiatan yang lebih besar. Bahkan ianya tidak mustahil, jika kita terus berfikiran sempit, menghalang perkenalan antara lelaki dan perempuan, boleh menyebabkan timbul kecenderungan suka sejenis kerana fitrah asalnya telah dihalang.

Agama Islam tidaklah sesempit demikian. Islam agama yang luhur, yang meraikan fitrah manusia yang suka mencintai dan dicintai. Oleh kerana itu, syariat datang untuk memandu diri manusia bagi menyalurkan perasaan yang mulia ini ke tempat yang dibenarkan oleh agama. Mempunyai perasaan cinta, timbul kecenderungan untuk mencintai seseorang yang kita minat dan suka, tidaklah berdosa. Asalkan perasaan itu kita disemai dengan syariat, disulam dengan adab. Islam tidak mengharamkan perasaan cinta. Yang ditentang dan ditegah adalah perbuatan zina dan mendekati zina. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan