Rabu, 8 Disember 2021

MASJID BUKAN SEKADAR TEMPAT BERSOLAT

 

Masjid merupakan sebuah institusi terpenting dalam Islam. Perkataan masjid adalah berasal dari bahasa Arab yang membawa maksud nama tempat bersujud. Dari sudut syarak pula, terdapat dua makna. Pertamanya, masjid membawa maksud mana-mana tempat permukaan bumi. Hal ini bertepatan dengan sebuah hadith sahih riwayat al Bukhari, sabda baginda Nabi SAW yang bermaksud :

"Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud)"

Keduanya, masjid juga dari sudut istilah membawa maksud tempat yang disediakan bagi mengerjakan sembahyang untuk selama-lamanya. Oleh kerana ianya merupakan sebuah tempat yang sangat penting, maka bagi manusia yang mengimarahkan dan memakmurkan masjid diberikan kemuliaan dan kedudukan yang hebat di sisi Islam. Sepertimana firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah at Taubah ayat 18 yang bermaksud :

"Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapa pun) selain kepada Allah. Maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk"




Berdasarkan firman Allah, mereka yang kerjanya mengimarahkan masjid dengan beribadah kepada Allah selain menghidupkan masjid dengan pelbagai pengisian jasmani dan rohani adalah terdiri daripada golongan mereka yang beriman kepada Allah SWT. Ini bermakna, bukanlah sesuatu yang biasa bilamana Allah sendiri yang mengiktiraf mereka ini dengan menggelarkan mereka dengan gelaran orang beriman. Ianya satu pengiktirafan dan darjah kebesaran tertinggi kurniaan Allah buat para hamba Nya yang sentiasa menghidupkan masjid.

Imam al Qurtubi dalam al Jami' li Ahkam al Quran, beliau menyatakan terdapat golongan salaf yang menyatakan sekiranya kamu melihat seseorang mengimarahkan masjid maka perelokkanlah prasangkamu kepadanya. Perkara ini sepertimana yang telah disebutkan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat at Tirmizi, Ibn Majah dan Ahmad yang bermaksud :

"Bila kamu sekalian melihat seseorang yang sentiasa pergi ke masjid maka persaksikanlah keimanan untuknya"

Syeikh al Tantawi ketika menafsirkan ayat ini di dalam kitabnya Tafsir al Wasit, beliau menyatakan bahawa orang yang mengimarahkan masjid merupakan mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah dengan apa yang disuruh dan apa yang dilarang dengan petunjuk daripada baginda Nabi SAW dengan hati yang penuh dengan keikhlasan. Ibnu al Jauzi pula menyebut dalam Zad al Masir fi 'Ilm al Tafsir, yang dimaksudkan dengan memakmurkan masjid terdapat dua pendapat, pertama ; merujuk kepada mereka yang selalu datang ke masjid dan duduk di dalamnya (untuk beribadah kepada Allah). Keduanya pula, membawa maksud membangunkan masjid dan memperbaikinya.




Pada zaman Rasulullah SAW, masjid yang dibina diatas nilai ketaqwaan kepada Allah SWT bukan sahaja menjadi tempat untuk orang Islam menunaikan ibadah solat semata-mata sebaliknya masjid telah memainkan peranan yang sangat besar dan efektif dalam usaha membangunkan ummah. Masjid pada zaman Nabi telah menjadi pusat kegiatan ekonomi. Hal ini tercatat dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Jabir bin Abdullah :

"Aku pergi bertemu Rasulullah semasa baginda berada di masjid. Selepas baginda menyuruh aku mengerjakan solat dua rakaat, baginda membayar hutangnya kepada ku dan memberi lebihan wang sedikit kepada ku".

Selain itu juga, masjid pada zaman Nabi SAW berperanan sebagai tempat interaksi sosial. Perkara ini seperti tercatat dalam sebuah hadith riwayat Muslim, bahawa Jabir bin Samura telah berkata yang bermaksud :

"Rasulullah seringkali duduk di tempat baginda mengerjakan solat subuh sehingga matahari naik, baginda akan berdiri di situ sambil para sahabat lain berbual menceritakan keadaan masing-masing pada waktu jahiliah dahulu dan mereka akan tertawa mendengar gelagat lucu. Rasulullah pun sama-sama mendengar tetapi baginda hanya tersenyum sahaja".

Demikian juga masjid pada zaman baginda Nabi telah menjadi sebuah tempat bersosial dan menyambut perayaan. Sepertimana yang diceritakan oleh Aisyah RA dalam sebuah hadith yang bermaksud :

"Beberapa orang pahlawan dari Abisinia telah datang ke masjid pada suatu hari raya dan mereka mempamerkan seni mempertahan diri. Rasulullah menjemput saya menyaksikan perlawanan tersebut. Aku meletakkan kepala ku pada bahu baginda dan melihat pameran seni mempertahankan diri itu sehingga aku puas lalu memalingkan pandanganku"

Melihat akan beberapa fungsi dan peranan masjid pada zaman Nabi SAW membuatkan kita berasa jauh berbeza berbanding dengan peranan masjid pada masa kini. Jangan kan kerana covid, sebelum daripada itu lagi kebanyakan kita gagal untuk mengembalikan fungsi masjid sepertimana yang telah berlaku pada zaman Nabi SAW. Kegagalan ini sudah tentu perlu dijadikan muhasabah dan ruang untuk kita perbaiki dari semasa ke semasa. Persepsi berkenaan masjis hanya sekadar tempat bersolat perlu diperbetulkan dengan meluaskan pemahaman mereka berkaitan peranan dan fungsi masjid sebenar.




Amat dukacita hari ini, sebahagian mereka yang diberikan amanah dan kepercayaan untuk menguruskan masjid langsung tidak berusaha untuk memakmurkannya. Sebaliknya hanya sekadar datang dan pulang untuk menunaikan solat semata-mata. Lebih menyedihkan, terdapat segelintir pihak pengurusan masjid yang meletakkan pemisahan saf kanak-kanak yang sekaligus mewujudkan kasta mengikut umur. Walhal, perkara ini tidak berlaku di zaman Nabi SAW.  Sikap seperti inilah antara yang menyumbang kepada ketidakmesraan masjid terhadap golongan muda.

Kita harus berubah. Persepsi yang salah berkaitan masjid perlu ditangani dengan tindakan dan langkah aktif pihak pengurusan masjid dengan merangka dan merancang pelbagai aktiviti serta pengisian menarik bagi menterjemahkan peranan dan fungsi sebenar masjid. Kita tidak boleh lagi sekadar menunding jari menyalahkan orang itu dan ini tidak datang ke masjid tetapi sebaliknya kita harus melihat kepada kedudukan dan jawatan kita, apa yang telah kita lakukan untuk menarik orang ramai hadir ke masjid.  Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan