Masyarakat
melayu sejak berzaman lagi terkenal dengan pelbagai nama dan spesis hantu-hantu
yang seringkali menjadi momokkan dikalangan masyarakat. Bahkan sebahagian nama
dan spesis hantu di alam melayu ini mempunyai kisah sejarahnya yang tersendiri.
Tidak
keterlaluan untuk kita katakan, sebalik penceritaan kisah hantu-hantu ini, ada
sebahagian masyarakat dahulu menjadikan hantu sebagai pujaan dan belaan untuk
memohon perlindungan dan pertolongan. Ianya telah termasuk dalam hal
mensyirikan Allah SWT.
Di alam
melayu, kewujudan hantu seringkali digambarkan makhluk ghaib yang lahir
daripada roh orang mati atau roh jahat yang kembali bertujuan untuk membalas
dendam kepada orang yang masih hidup. Inilah yang seringkali dicanangkan oleh
masyarakat kita. Allah SWT telah berfirman menerusi surah al Mukminun ayat 100
yang bermaksud :
"Supaya
aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku
tinggalkan". Tidak ! Masakan dapat ? Sesungguhnya perkataannya itu
hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang dihadapan mereka
ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka
dibangkitkan semula (pada hari kiamat)."
Dalam
Tafsir al Tabari, Imam Ibn Jarir al Tabari ketika menukilkan riwayat Mujahid RA
yang menyatakan bahawa barzakh pada ayat tersebut ialah hijab (seperti tembok
penghalang) diantara orang yang telah mati untuk pulang ke dunia. Maka sudah
jelas bagi kita semua bahawa dakwaan yang mengatakan roh kembali adalah tidak
benar dan tidak berasas. Ini kerana terdapat tembok yang memisahkan kehidupan
orang yang telah mati dan orang yang masih hidup.
Maka
jika sedemikian keadaannya, bagaimana yang dikatakan "hantu" boleh
menjelma dengan rupa paras yang menakutkan ? Sudah pasti ianya adalah kerja
syaitan, jin dan iblis yang mahu menakutkan anak cucu Adam sekaligus menjadikan
kita lebih takut hantu daripada Allah Azza Wa Jalla. Sepertimana firman Allah
SWT dalam surah al A'raf ayat 27 yang bermaksud :
"Wahai
anak-anak Adam ! Janganlah kamu diperdayakan oleh syaitan sebagaimana ia telah
mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya
pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka, aurat mereka (yang
sebelum itu tertutup). Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan
yang kamu tidak tahu dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan
syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang tidak beriman."
Al
Qadhi Abu Ya'la Muhammad bin al Husain dalam Aakaam al Marjaan telah berkata :
"Tidak
ada kemampuan bagi syaitan untuk mengubah penciptaan mereka dan berubah bentuk.
Namun Allah boleh sahaja mengajarkan kepada mereka beberapa kalimah dan
perbuatan dimana jika ia mengucapkan kalimah tersebut atau melakukan
perbuatan-perbuatan tersebut, Allah SWT akan mengubahnya daripada satu bentuk
ke bentuk yang lain."
Dalam
Fath al Bari, diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dinilai isnadnya sahih oleh al
Hafiz Ibn Hajar yang bermaksud :
"Sesungguhnya
hantu pernah mereka sebutkan disisi Umar al Khattab. Maka beliau berkata : Bahawasanya
tidak ada yang mampu untuk merubah bentuk aslinya sebagaimana diciptakan oleh
Allah SWT mula-mula. Namun mereka mempunyai tukang sihir sebagaimana tukang
sihir yang ada diantara kalian. Apabila kalian melihat hal itu, maka ucapkanlah
azan pada mereka"
Hakikatnya,
hantu yang dijelmakan itu hanyalah permainan dan tipu daya syaitan serta
kaumnya untuk menyesatkan kita. Dengan beberapa kelebihan yang Allah Azza Wa
Jalla berikan dan izinkan hal itu berlaku, maka syaitan boleh menjelma dengan
pelbagai rupa bentuk yang seringkali kita ungkapkan ianya sebagai
"hantu". Dengan izin Allah jualah, syaitan, jin dan iblis serta
seluruh kaumnya mampu menjelma dengan pelbagai rupa dan keadaan bagi
menakut-nakutkan kita padanya.
Dalam
sebuah hadith riwayat Imam Muslim, daripada Jabir, bahawasanya Rasulullah SAW
pernah bersabda yang bermaksud :
"Tidak
ada wabak penyakit, kesialan dan hantu"
Imam
an Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini berkata :
"Jumhur
ulama berkata bahawa oran-orang Arab menyakini hantu berada di padang-padang
pasir. Ia merupakan salah satu jenis syaitan yang menampakkan diri kepada
manusia untuk nenakut-nakutkan manusia dengan mewarnai diri mereka dengan aneka
macam warna, sehingga mereka menyesatkan dan mencelakakan. Oleh kerana itu,
Nabi SAW membatalkan anggapan atau kepercayaan mereka tersebut."
Kita
perlu sedar dan tahu bahawa hantu adalah merupakan salah satu usaha tipu daya
syaitan, jin dan iblis bagi tujuan untuk menyesatkan kita semua. Oleh demikian,
adalah mesti menjadi prinsip dan pegangan kita semua bahawa tidak ada yang
perlu kita takut kepada hantu kerana ianya adalah permainan makhluk terlaknat
oleh Allah SWT.
Apa
yang mesti kita lakukan adalah perteguhkan keimanan kita kepada Allah, pasakkan
ketakutan kita hanya pada Nya, memohon dan meminta hanyasanya pada Nya jualah.
Beramal lah dengan zikir-zikir yang telah diajarkan oleh baginda Nabi SAW.
Jauhilah sebarang ritual perbuatan yang tidak diajarkan oleh baginda Nabi SAW.
Semoga Allah melindungi kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan