Disebalik
pensyariatan yang diturunkan oleh Allah SWT kepada hamba Nya melalui para
utusan Nya, sebahagian syariat itu dapat kita fahami hikmahnya dan sebahagian
yang lain, perlu dicari dengan mengkaji dan menyelidiki. Malah dengan mengkaji
setiap pensyariatan ini, kita akan lebih merasai betapa kerdilnya diri ini
dengan hikmah sesuatu pensyariatan yang dibawa oleh Allah, Tuhan empunya
syariat.
Dalam
hal ini, manusia yang diberikan akal mempunyai tanggungjawab mencari dan
menyingkapi sesuatu hikmah. Majoriti ulama Salaf dan Khalaf berpandangan setiap
pensyariatan daripada Allah SWT, tidak kira sama ada dalam bentuk suruhan
mahupun larangan, berdiri diatas hikmahnya yang tersendiri.
Untuk
itu, melalui al Quran dan hadith Nabi SAW, sebahagian besar hikmah disebalik
sesuatu pensyariatan dijelaskan. Namun dalam hal yang lain, sebahagian
hikmahnya akan terlihat setelah dikaji berdasarkan displin ilmu yang ada.
Apabila manusia mula mencari hikmah disebalik sesuatu pensyariatan, kita akan
mendapati sebahagian hikmah itu datang secara khusus kepada manusia itu
sendiri. Manakala sebahagian besarnya lagi hikmah itu kembali kepada Allah SWT.
Untuk
memahami akan hal ini, kita dapat melihat hikmah disebalik pensyariatan
perintah ibadah solat, puasa, zakat dan sebagainya, sebahagian hikmahnya
menjanjikan keuntungan dan pulangan yang lumayan kepada diri manusia itu
sendiri. Misalnya sepertimana firman Allah SWT dalam surah al Ankabut ayat 45
yang bermaksud :
"Sesungguhnya
solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar"
Hikmah
disebalik syariat solat adalah untuk kebaikan diri manusia itu sendiri. Melalui
ibadah solat yang sempurna, ianya akan membentuk peribadi yang mulia sekaligus
menjauhi kita daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar. Demikian juga
hikmah pensyariatan ibadah puasa. Firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah al Baqarah
ayat 183 yang bermaksud :
"Wahai
orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan
atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa"
Hikmah
disebalik ibadah puasa ini adalah untuk menjadikan kita sebagai hamba Nya yang
bertaqwa. Maka untuk itu, melalui ibadah puasa, kita dilatih untuk lebih
berdisplin dalam menjaga masa, lebih kuat menahan nafsu dan sebagainya. Pada
masa sama dengan berpuasa juga, tanpa boleh kita nafikannya lagi, berpuasa
memberikan banyak manfaat untuk kesihatan diri. Demikian beberapa contoh
perihal hikmah yang menjanjikan kebaikan dan pulangan manfaat kepada diri
manusia.
Sebahagian
besar hikmahnya lagi adalah kembali kepada Allah SWT. Hal ini membawa makna,
disebalik sesuatu pensyariatan tersebut, terdapat sebahagian hikmahnya adalah
bertujuan untuk membesarkan Allah, untuk mentaati perintah Allah, meninggi
serta mengagungkan Allah merentasi segala hal. Sebagai contoh, firman Allah
Azza Wa Jalla menerusi surah az-Zariyat ayat 56 yang bermaksud :
"Tidak
Kami jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku"
Menerusi
ayat ini, dapat kita fahami tujuan sebenar disebalik penciptaan manusia dan jin
itu adalah untuk menunduk, taat dan patuh kepada Nya. Maka setiap pensyariatan
yang diturunkan Nya kepada para hamba Nya adalah untuk menjadikan manusia
menyembah Allah, membesarkan Allah serta mengagungkan Nya. Dalam firman Nya
yang lain, menerusi surah al Mukminum ayat 115 yang bermaksud :
"Apakah
kamu sekalian mengira bahawa Kami menjadikan kamu dengan sia-sia, sedangkan
kalian tidak dikembalikan kepada Kami"
Berdasarkan
firman tersebut, ianya membuktikan bahawa hikmah disebalik penciptaan manusia
adalah dengan tujuan dan matlamatnya yang tersendiri. Bukan diciptakan dengan
sia-sia. Ada tugas dan peranan yang perlu dimainkan oleh setiap makhluk ciptaan
Nya. Dari sekecil-kecil ciptaan hinggalah sebesar-besar ciptaan, semuanya ada
hikmah yang tersendiri. Maka hikmah itu akan kembali kepada Allah untuk
menghitung setiap amal soleh para hamba Nya.
Dalam
usaha kita memahami dan menyingkap sesuatu hikmah pensyariatan, terdapat
beberapa keadaan hikmah yang perlu kita fahami. Pertamanya, ada hikmah yang
boleh kita capai melalui pengamatan akal semata-mata meskipun tanpa dalil al
Quran dan hadith. Misalnya, apabila kita melihat sesuatu kejadian berlaku, akal
akan menentukan hal itu baik atau buruk. Maka melalui pengamatan akal, kita
akan dapat membezakan antara baik buruk sekaligus dapat memahami hikmah
disebalik kejadian tersebut.
Dalam
keadaan lain, sesuatu syariat diturunkan kepada manusia adalah untuk membimbing
dan memandu diri manusia bagi menentukan baik buruk menurut neraca al Quran dan
hadith. Sebagai contoh, Allah SWT telah mengharamkan riba. Firman Allah SWT
dalam surah al Baqarah ayat 275 yang bermaksud :
"Dan
Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba"
Menerusi
larangan ini, kita akan mendapati hikmah disebalik larangan riba ini adalah
bertujuan untuk menolak sebarang penindasan dalam jual beli. Jika diikutkan
akal logik manusia, riba lebih menguntungkan dan membawa pulangan yang lumayan.
Namun Allah melarang hal itu kerana hikmahnya adalah untuk mengajarkan kita
sifat keadilan dan menolak sebarang penindasan dalam jual beli. Oleh itu,
setiap syariat yang datang membawa hikmah yang tersendiri.
Ada
juga dalam keadaan lain, hikmah datang melalui syariat dalam bentuk ujian Allah
kepada hamba Nya. Ujian tersebut datang dan membawa hikmah yang besar. Perkara
ini sepertimana kisah yang telah Allah rakamkan di dalam al Quran, bagaimana
Nabi Ibrahim AS diperintahkan oleh Allah SWT untuk menyembelih anaknya iaitu
Nabi Ismail AS.
Akhirnya,
disebalik kisah itu telah membawa pensyariatan ibadah korban dan hikmahnya
mengajar kita erti pengorbanan yang sebenar. Demikianlah beberapa keadaan
hikmah yang sebahagiannya boleh dicapai dengan akal manakala sebahagiannya lagi
perlu dicari dengan mengkaji dan menyelidiki. Semoga Allah mengampuni kita
semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan