Dunia
ini tidak lagi memberikan kebaikan dan keberkatan hidup kecuali kepada orang
yang sedia mendengar serta menginsafi diri atau seorang yang memanfaatkan
ilmunya untuk menyampaikan kebenaran. Justeru, apa-apa musibah dan bencana yang
menimpa, sewajarnya dijadikan renungan dan muhasabah diri. Setiap Muslim wajar
merenung apakah kesilapan atau kecuaian yang pernah dilakukan hingga mengundang
bala bencana daripada Allah SWT. Dalam satu sudut lain pula, dugaan Allah SWT
bagi menguji sejauh mana keimanan kepada-Nya.
Muslim
yang berjaya ialah yang sentiasa mengambil iktibar, merenung diri dan
seterusnya bersyukur kepada Allah SWT. Apa sahaja yang berlaku pada diri
seseorang atau sesebuah bangsa adalah bertitik tolak daripada perilaku manusia
sendiri. Ini bermakna musibah yang melanda seseorang atau sesuatu bangsa
sebenarnya satu peringatan keras daripada Allah SWT terhadap tingkah laku
manusia sebelum ini. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Masing-masing
Kami seksa kerana dosanya; di antara mereka ada yang Kami kirim kepadanya angin
taufan (yang mengandungi pasir) dan di antara mereka ada diseksa oleh teriakan
yang keras (terus mati) dan antara mereka ada yang Kami benamkankan ke dalam
bumi, dan ada yang Kami tenggelamkan (dalam laut). Allah tidak menganiaya
mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri."
(Surah
al-Ankabut, ayat 40)
Sudah
menjadi kewajipan setiap Muslim yang beriman supaya bersabar mendepani segala
musibah dan malapetaka yang melanda. Janganlah pula merasa lemah semangat,
berduka cita, berputus asa, bersedih secara berlebihan, apatah lagi menyalahkan
takdir terhadap apa yang telah berlaku. Bukankah Rasulullah SAW pernah
menasihati umatnya melalui sabdanya:
"Hendaklah
kamu bersungguh-sungguh dalam perkara yang memberi manfaat kepadamu, mintalah
pertolongan daripada Allah dan jangan kamu merasa lemah. Jika kamu ditimpa
sesuatu, janganlah pula kamu mengatakan: kalau aku berbuat itu dan ini, nescaya
jadi begini. Sebaliknya katakanlah: itu adalah ketentuan Allah dan apa yang
Allah kehendaki pasti akan terjadi. Sebenarnya perkataan 'kalau' itu membuka
pintu kepada perbuatan syaitan."
(Riwayat
Bukhari)
Begitulah
sifat Muslim yang sebenarnya apabila berhadapan dengan sebarang musibah dan
bencana. Tambahan pula, manusia adalah makhluk yang serba lemah, daif, manakala
segala musibah dan bencana pula semua telah ditetapkan Allah SWT sejak azali
lagi di Luh Mahfuz. Dengan keyakinan seumpama ini, setiap Muslim akan bertambah
keimanan terhadap kebesaran dan kekuasaan Allah yang Maha Agung. Ini bukan
bermakna kita hanya pasrah dan menyerah bulat-bulat semasa berhadapan dengan
musibah itu.
Berhadapan
dengan keadaan yang sukar, amat wajar setiap Muslim memanjatkan kesyukuran ke
hadrat Ilahi, lebih bersimpati terhadap nasib mangsa yang ditimpa musibah
dengan meringankan segala kesulitan dihadapinya di samping menyelami hikmah di
sebalik musibah yang menimpa. Kita perlu saling mendoakan agar dilindungi dari
bala bencana. Bukankah doa senjata ampuh seorang Mukmin apabila berada pada
saat-saat genting, lebih-lebih lagi apabila ditimpa musibah yang berlaku di
luar jangkaan. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Katakanlah:
Siapakah yang menyelamatkan kamu dari bencana di darat dan di laut? (Ketika)
kamu berdoa merayu kepada-Nya dengan merendah diri (secara terang-terangan) dan
secara bersembunyi (dengan berkata): Demi sesungguhnya jika Allah selamatkan
kami dari bencana ini nescaya menjadilah kami daripada orang yang
bersyukur."
(Surah
al-An'am, ayat 63)
Begitulah
wajah kehidupan manusia yang sewajarnya direnungi supaya dapat dijadikan
teladan dan sempadan kepada umat Islam. Ringkasnya, kesemua malapetaka yang
menimpa itu sepatutnya dijadikan bahan pengajaran dan iktibar untuk insaf serta
kembali pada landasan yang lurus. Di samping itu, Muslim juga disaran bertaubat
kepada Allah SWT daripada sebarang kesilapan dan kecuaian sama ada tidak
menunaikan sesuatu perintah Ilahi atau melanggar sesuatu larangan-Nya pada
suatu ketika dahulu.
Allah
SWT berfirman yang bermaksud:
"Telah
timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab
apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana
Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang
telah mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."
(Surah
al-Rum, ayat 41)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan