Cinta
adalah ungkapan yang sering diucapkan. Kalimah cinta menggambarkan perasaan
sangat sayang terhadap sesuatu atau seseorang sama ada antara suami dan isteri;
ibu dan anak; sesama kaum keluarga serta kaum kerabat. Cinta itu bukan sekadar
tumbuh subur di dalam jiwa bahkan suatu tindak tanduk yang dapat diukur melalui
tingkah laku seseorang. Sebagai Muslim, kita tidak dapat lari daripada
membicarakan perasaan kasih dan sayang kepada Allah SWT dan juga rasul-Nya Nabi
Muhammad SAW.
Baginda
diutuskan kepada manusia untuk membimbing mereka ke jalan yang benar melalui
tunjuk ajar dan tindak tanduknya. Inilah yang ditegaskan oleh Allah SWT melalui
firman-Nya yang bermaksud:
"Katakanlah
(wahai Muhammad): Jika kamu benar-benar mencintai Allah maka ikutilah aku,
nescaya Allah mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. (Ingatlah)
Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
Mari kita renungkan sifat cinta
Rasulullah SAW kepada umatnya. Baginda dikurniakan Allah SWT sebagai seorang
insan yang memiliki cinta agung yang tulus dan sejati terhadap umatnya. Tanda
cinta Nabi SAW dapat dilihat dari sikap prihatinnya terhadap umatnya di padang
Mahsyar kelak. Tatkala manusia gementar berhadapan penghakiman Allah SWT
terhadap setiap amalan, Baginda SAW merayu kepada Allah SWT supaya umatnya
diringankan beban dan dilepaskan daripada seksa api neraka.
Baginda bukan risaukan isteri, keluarga, kaum kerabat, sahabat, tetapi amat risaukan umatnya. Persoalannya, apakah bentuk cinta yang perlu kita buktikan terhadap Nabi Muhammad SAW dalam kehidupan seharian? Antara syarat yang perlu ada untuk menjadi umat Muhammad SAW yang sempurna ialah tanamkan perasaan cinta dan kasih yang begitu ikhlas dan tinggi kepada Nabi SAW.
Perasaan
ini perlu dipupuk dan disuburkan dalam jiwa kita serta ahli keluarga sepanjang
masa melebihi segala-galanya. Jika rasa cinta pada Nabi SAW tidak subur dalam
jiwa, maka ini menyebabkan kita tiada usaha dan semangat menghayati dan
mencontohi cara hidup baginda dalam kehidupan seharian.
Ini yang ditegaskan oleh Nabi SAW melalui sabdanya
yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Anas bin Malik:
"Tidak
(sempurna) iman salah seorang kamu sehingga aku lebih dicintai dari bapanya,
anaknya dan semua manusia lainnya."
Sanggup
mempertahankan kemuliaan Nabi Muhammad SAW daripada difitnah sama ada secara
fizikal atau kata-kata. Umat yang cintakan Nabi SAW akan sanggup mempertahankan
kemuliaan Nabinya daripada difitnah. Contohilah Zaid bin Harithah yang sanggup
mempertaruhkan nyawanya demi mempertahankan Nabi SAW daripada dicederakan oleh
penduduk Thaif semasa melaksanakan seruan dakwah terhadap masyarakat di bandar
itu.
Hayatilah
cintanya sahabat seperti Talhah bin Ubaidillah dan Abu Dujanah yang sanggup
menjadikan tubuh mereka sebagai perisai untuk melindungi Nabi SAW daripada
terkena anak panah musuh dalam peperangan Uhud. Sanggupkah kita mempertahankan
kemuliaan Nabi SAW dan ajarannya dengan fizikal dan lidah seperti mana
dilakukan oleh sahabat Baginda. Mempertahankan sunah Nabi Muhammad SAW. Umat
yang cintakan Nabi SAW sanggup mempertahankan sunah nabinya. Mereka menjadikan
cara kehidupan seharian Baginda sebagai ikutan dan cara hidup.
Mereka
sanggup memperjuangkan semua bentuk ajaran rasulnya bahkan berusaha keras
membanteras segala larangan rasul-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Apa
juga yang diberikan oleh Rasulullah (sama ada pemberian atau perintah) kepada
kamu, maka terimalah, dan apa juga yang dilarangnya kamu melakukannya maka
patuhilah larangannya. Bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat berat
azab-Nya (bagi orang yang melanggar perintah-Nya)."
(Surah
al-Hasyr, ayat 7)
Sentiasa
berselawat kepada Nabi Muhammad SAW antara bukti kecintaan kita kepada Nabi
SAW. Riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah:
"Sesiapa
yang berselawat ke atas aku sekali, Allah berselawat ke atasnya sepuluh
kali."
Sayangnya,
jika diperhatikan kehidupan setengah golongan masyarakat Islam hari ini, mereka
lebih seronok dan bangga menjadikan artis, selebriti, ahli sukan serta tokoh
tertentu sebagai contoh ikutan yang digilai. Mereka sanggup membelanjakan wang
ringgit, mengorbankan tenaga dan masa untuk menghayati gaya hidup idola mereka.
Mereka lahirkan rasa cinta dengan mencari maklumat berkaitan ikutan mereka
seolah-olah itulah gaya kehidupan mereka yang sebenar. Pada waktu yang sama,
terdapat pula setengah golongan masyarakat Islam mempertikaikan kemuliaan dan
perjuangan Nabi SAW.
Mereka
mempertikai kedudukan hadis malah ada yang menolaknya. Kini tibalah masanya
kita sebagai umat Islam menukar arah dan pandangan hidup ke arah mencontohi
cara hidup Nabi Muhammad SAW. Marilah kita jadikan Nabi SAW sebagai ikutan
dalam kehidupan, tanamkan sifat cinta kepada Baginda kerana umat yang kasih
pada nabinya akan taat arahan Allah dan rasul-Nya serta sentiasa menjauhi
larangan-Nya. Kesempurnaan iman seseorang itu bergantung kepada sejauh mana
cintanya kepada Rasulullah SAW dan mengamalkan segala sunahnya. Umat yang
cintakan nabinya bukan sekadar melalui ungkapan kata-kata, bahkan sanggup
mengorbankan harta dan jiwa dalam meneruskan perjuangannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan