Dunia
ibarat ladang kepada manusia untuk bercucuk tanam dengan amalan kebajikan dan
ketaatan, tetapi ia bergerak dengan pantas seperti air hujan yang turun. Dunia
ini umpama jambatan menuju ke akhirat yang kekal abadi. Ulama juga
mengumpamakan dunia sebagai ladang untuk bertanam, manakala akhirat pula
diibaratkan tempat menuai hasil.
Justeru,
dalam kesempatan yang ada, setiap mukmin hendaklah berbuat sebanyak mungkin
kebaikan dan ketaatan terhadap perintah Allah agar di akhirat nanti segala
pahala dan kebajikan akan dibalas dengan syurga indah yang kekal abadi. Firman
Allah SWT yang bermaksud:
"Dan
berilah perumpamaan kepada mereka (manusia), kehidupan dunia sebagai air hujan
yang kami turunkan dari langit, Maka menjadi subur kerananya tumbuh-tumbuhan di
muka bumi, kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering yang diterbangkan oleh
angin. Dan adalah Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu."
(Al-Kahfi:
45)
Ayat
ini bermaksud Allah menjelaskan dunia ini tidak mempunyai nilai melainkan untuk
digunakan mengingati-Nya melalui zikrullah dan amalan yang menumbuhkan ketaatan
kepada-Nya. Apabila mengetahui hakikat hidup ini, seseorang mukmin akan mempersembahkan
kealimannya kepada Allah SWT. Begitu setiap waktu dalam kehidupan ini,
dimanfaatkan untuk menghambakan diri kepada-Nya. Allah SWT dalam ayat di atas
juga menjelaskan betapa singkatnya hidup umpama air hujan yang mengalir ke atas
tumbuh-tumbuhan dan menyimbah pada batang serta daun.
Apabila
tiba saat dan ketikanya, pohon yang hidup subur akan kering kontang lalu mati
dan berlalu pergi. Ia jelas mengisyaratkan tidak ada yang kekal dalam hidup ini
kerana semua dicipta untuk sekian waktu tertentu dan isi dunia pula sekadar
pinjaman. Sekiranya dunia tidak digunakan untuk melakukan sebanyak mungkin amal
kebaikan atau menanam sebanyak mungkin pahala, maka kontang pahala untuk
dipetik pada akhirat kelak.
Justeru,
bagi mukmin yang alim dan berpengetahuan, dunia dimanfaatkan untuk menghasilkan
kebun pahala kerana di akhirat kelak adalah waktu dan saat untuk memetik segala
hasil kebaikan yang dilakukan di dunia ini. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
"Jadilah
kamu semasa di dunia ini sebagai orang yang dagang atau asing."
Baginda
mengingatkan umatnya supaya tidak terlalu cintakan dunia, bahkan menjadikannya
sebagai persinggahan yang tidak kekal. Lebih penting, perbuatan dan ketaatan
akan menatijahkan ketakwaan serta kealiman. Rasulullah SAW mengungkapkan
kelebihan orang beriman adalah apabila Allah menganugerahkan keimanan dan
kesihatan yang baik, berasa aman serta tenang dengan ahli keluarga dan sumber
makanan mencukupi.
Bagi
seseorang mukmin yang memperolehnya, keperluan mereka sudah pun mencukupi dan
bersyukur akan nikmat Allah SWT. Tidak ada yang kekal di dunia kerana janji
Allah setiap yang hidup pasti akan menemui kematiannya. Selama waktu masih ada,
gunakan untuk membuat sebanyak mungkin kebajikan dan pahala kerana seperti kata
pepatah, hidup hanya sekali, mereka yang pergi pasti tidak akan kembali. Oleh
itu, jangan sesekali mensia-siakan waktu kerana akibatnya menanggung kerugian
sampai bila-bila.
Penuhi
kehidupan dengan mencari ilmu kerana orang yang tinggi ilmu lebih dekat
mengenal dan memahami hakikat hidup, iaitu untuk menghambakan diri terhadap
segala perintah Allah SWT. Seseorang mukmin yang taat suruhan Allah akan memperoleh
ganjaran pahala syurga yang kekal abadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan