Rabu, 19 Julai 2023

ISLAM DAN KEDATANGAN TAHUN BAHARU HIJRAH

 

Masa atau waktu adalah suatu sistem bagi makhluk Allah SWT yang padanya mengikat kehidupan setiap hamba Nya. Pada yang namanya makhluk, pastinya tidak dapat lari daripada putaran masa yang menjadi sunnatullah. Suka atau tidak, setiap detik akan berlalu pergi sehinggalah hari berganti bulan, bulan berganti tahun dan demikianlah dunia ini bergerak. Begitulah sistem peraturan masa yang mengikat para makhluk Nya. Tidak ada sesiapa pun dikalangan makhluk Nya yang terkecuali dari sistem peraturan masa ini. Adapun kita sebagai hamba Nya yang berjalan diatas putaran masa ini, akan merasai dan melalui setiap detik-detik kehidupan ini dengan penuh ketakjuban kita pada Nya. Manakan tidak, dahulu rupa paras kita yang cantik dan tegang, tenaga kita yang dahulu kuat, kini kian berubah riak wajah selari dengan peredaran masa yang berlalu pergi.

Allah telah berulang-kali bersumpah dengan masa, mengkhabarkan kepada kita bahawa setiap yang namanya insan itu pastinya akan berada dalam kerugian. Rugi masa, rugi tenaga, rugi harta, kecuali bagi mereka yang beriman kepada Allah, melakukan amal soleh, berpesan kepada kebenaran dan berpesan dengan kesabaran. Maka untuk mengeluarkan kita daripada kerugiam, hanyalah melalui jalan bertaqwa kepada Allah SWT. Sebab itu, bagi orang yang bertaqwa, kedatangan tahun baharu tidak mendatangkan apa-apa kesan yang mendalam melainkan melangkah ke hari baru dengan penuh keimanan dan ketaqwaan. Oleh sebab itu, kita dapat melihat di sana tidak terdapat sebarang petunjuk yang sahih dari baginda Nabi SAW untuk menyambut tahun baharu hijrah.




Ini kerana, umum telah mengetahui bahawa kalendar hijrah tidak wujud lagi di zaman Nabi. Kalendar hijrah telah diasaskan oleh Saidina Umar al-Khattab dengan mengambil kira bulan Muharram sebagai bulan pertama dalam kiraan tahun hijrah. Dan bulan Muharram juga, bukanlah bulan yang terkait dengan peristiwa hijrah baginda Nabi SAW. Ini kerana, dalam catatan sirah Nabi SAW, baginda bersama umat Islam Mekah, telah memulakan perjalanan berhijrah pada hujung bulan Safar dan sampai ke Madinah pada bulan Rabi'ul Awwal. Pun begitu, bulan Muharram dipilih sebagai bulan pertama bagi perkiraan kalendar tahun hijrah adalah setelah mengambil kira faktor selesainya umat Islam menjalani ibadah haji, yang padanya merupakan kemuncakan peribadatan kepada Allah.

Oleh itu, tidak ada sebarang petunjuk yang sahih berkenaan anjuran membaca doa akhir tahun dan awal tahun. Namun begitu, telah menjadi amalan para sahabat Nabi SAW berdoa sebelum memasuki bulan atau tahun baharu. Ini sepertimana yang dinyatakan oleh Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya, Al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, beliau menukilkan kata-kata Abdullah bin Hisyam RA yang bermaksud :

Para sahabat Rasulullah SAW mempelajari doa (berikut) sebagaimana mereka mempelajari al-Quran apabila masuknya bulan baharu atau tahun baharu : "Ya Allah, masukkanlah ia (bulan atau tahun baharu) kepada kami dengan keamanan dan keimanan, kesejahteraan dan Islam, mendapat perlindungan daripada syaitan, serta mendapat keredaan daripada Al-Rahman".

Menjadi kelaziman umat manusia, azam dan tahun baharu berpisah tiada. Biasanya, keazaman diri akan terkait dengan kedatangan tahun baharu. Dalam Islam, untuk berazam atau bertekad untuk berubah, tidak perlu menunggu kedatangan tahun baharu. Kerana setiap detik dan waktu yang berlalu adalah harapan bagi kita umat manusia. Untuk memperbaharui niat dan azam, bukanlah syarat perlu tunggu datangnya tahun baharu. Malah setiap detik dan ketika, adalah peluang bagi kita untuk berazam dan perbaharui niat. Dalam sebuah hadith riwayat al-Bukhari, daripada Ibnu Umar RA katanya, Rasulullah SAW memegang dua bahuku lalu berkata :

"Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang musafir.” Dan adalah Ibn Umar RA berkata: Jika kamu berada di waktu petang, jangan kamu tunggu sehingga waktu pagi. Jika kamu berada di waktu pagi, jangan kamu tunggu sehingga waktu petang. Ambillah dari waktu sihatmu (bagi persediaan) untuk waktu sakitmu dan ambillah dari waktu hayatmu (bagi persediaan) untuk waktu matimu".




Oleh yang demikian, Islam mengajar kita supaya tidak perlu menunggu saat dan ketika datangnya tahun baharu untuk perbaharui azam dan niat. Mulai saat ini, detik dan ketika ini, kita disuruh untuk segera perbaharui niat dan azam, melakukan perubahan diri pada setiap masa. Tanp berlengah, kita mesti berusaha memperbaiki diri agar menjadi insan yang lebih baik dari semalam. Ada pula sebahagian kita beranggapan, membaca doa akhir tahun dan awal tahun sebagai memberkati amalan kita dengan harapan diangkat dan diterima oleh Allah SWT. Dakwaan ini seperti tepat dengan datangnya tahun baharu. Ibarat pepatah melayu berkata "tutup buku lama dan buka buku baru". Pun begitu, dakwaan ini tidak berasas dan tiada sandaran dalil yang sahih. Ini kerana, berdasarkan petunjuk Nabi SAW, amalan manusia akan dibentangkan atau diangkat kepada Allah pada setiap hari (pagi dan petang), setiap dua kali seminggu (setiap isnin dan khamis) dan pada setiap tahun iaitu pada bulan Sya'ban.

Hal ini berdasarkan dalam sebuah hadith riwayat al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Para malaikat (syif) malam dan malaikat (syif) siang silih berganti turun kepada kalian. Mereka berkumpul pada setiap waktu Subuh dan setiap waktu Asar. Kemudian, malaikat yg menjaga kalian (jika waktu Subuh, malaikat malam, jika waktu Asar, malaikat siang) naik ke atas. Allah pun bertanya kepada malaikat-malaikat itu - walhal Dia lebih mengetahui tentang hamba2-Nya :

'Dalam keadaan bagaimana kamu semua tinggalkan hamba-hamba Ku itu?' Jawab para malaikat : 'Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka sedang solat. Begitu juga ketika kami datang kepada mereka, mereka sedang solat."

Dalam hadith lain, riwayat Muslim, amalan kita aka diangkat pada setiap dua kali seminggu. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Amalan2 manusia dibentangkan setiap minggu pada hari Isnin dan Khamis. Allah pun mengampunkan dosa setiap hamba-Nya yang beriman, kecuali hamba yang saling bermusuhan. Lalu dikatakan kepada para malaikat, 'Tinggalkan dahulu mereka berdua ini, sehinggalah mereka berdamai."




Demikianlah pula amalan kita akan diangkat setiap tahun pada bulan Sya'ban. Ini berdasarkan dalam sebuah hadith riwayat Imam an-Nasa'i, yang bermaksud :

Usamah bin Zaid ra melaporkan, katanya, "Saya pernah bertanya, 'Wahai Rasulullah, mengapa saya tidak pernah lihat tuan berpuasa dalam bulan lain, sebanyak puasa tuan dalam bulan Syaaban?'

Jawab Rasulullah saw, "Itulah bulan yang ramai manusia lalai, antara bulan Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yg diangkatkan amalan kepada Tuhan sekelian alam, dan saya suka amalan saya diangkat dalam keadaan saya sedang berpuasa.'"

Kedatangan tahun baharu hijrah mengingatkan kita supaya mencari keberkatan dalam nikmat usia yang dikurniakan. Keberkatan hidup pastinya diperolehi oleh mereka yang beriman dan bertaqwa kepada Allah. Untuk itu, kita disuruh untuk sentiasa memperbaharui azam dan niat dan sentiasa berusaha berubah menjadi lebih baik pada setiap detik dan ketika agar kita diberikan keberkatan masa dan kehidupan ini. Tahun baharu adalah sekadar perubahan angka sahaja. Namun hakikatnya, perubahan manusia itu terletak kepada diri kita sendiri. Oleh itu, agama ini mengajarkan kita akan menginsafi kepentingan masa. Bukan sekadar dihayati setiap kali beralih tahun baharu, tetapi pada setiap detik yang berlalu pergi. Bagi setiap muslim, waktu adalah anugerah Allah yang tidak ternilai. Dengan nikmat keberkatan ini, tiada tolak tanding harganya dengan segala isi dunia ini. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan