Kehidupan normal sebagai seorang manusia tidak dapat menafikan
tentang keperluan untuk diri berhibur sebagai salah satu langkah juga untuk
mengurangkan tekanan disamping naluri itu sendiri memerlukan hiburan yang
menyeronokkan. Pada asasnya, berhibur adalah hukumnya harus. Keharusan berhibur
ini pula bergantung kepada bagaimana hiburan itu berlaku. Berhibur dengan cara
meminum arak, menari lenggok di khalayak ramai dan seumpamanya lagi akan
membawa hukum haram berhibur seperti itu. Pun begitu, jika hiburan itu sekadar
menyanyi, bergurau senda, pertunjukkan permainan dengan tidak melampaui batas,
maka agama membenarkannya.
Ini sepertimana yang disebutkan oleh Nabi SAW melalui hadith
riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Aisyah Ranha yang bermaksud :
"Bahawa pada hari raya Fitri dan Adha, Abu Bakr masuk ke
rumahnya (rumah Aisyah) dan Nabi SAW berada di sisinya. Ketika itu ada dua
orang penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari
Bu'ath (peperangan Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata : "Suara
syaitan" (sebanyak dua kali). Nabi SAW bersabda : "Biarkan mereka
wahai Abu Bakr ! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari
raya kita"
Begitu juga dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, ketika Nabi SAW
menghadiri suatu majlis perkahwinan orang Ansar, daripada Aisyah Ranha yang
bermaksud :
"Seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka baginda
bersabda : "Wahai Aisyah ! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan ? Orang
Ansar sukakan hiburan".
Berdasarkan hadith ini, baginda Nabi SAW sangat bertoleransi dengan
kecenderungan orang Ansar yang sukakan kepada hiburan. Maka secara umumnya,
berhibur dalam Islam adalah sesuatu yang diharuskan oleh syarak. Namun begitu,
umat manusia yang cenderung kepada hiburan mempunyai pelbagai cara untuk
berhibur termasuklah dengan cara mendengar dan bermain alat muzik.
Persoalannya, adakah Islam melarang mendengar dan bermain alat muzik ? Ini
kerana sebahagian masyarakat berpandangan muzik adalah sesuatu yang melalaikan.
Bahkan, muzik juga dilihat sebagai suatu permulaan kepada perkara maksiat dan
sia-sia.
Perkataan muzik menurut Imam Ibn al-Qayyim dalam kitab Ighathah
al-Lahfan, membawa maksud seluruh alat muzik atau permainan. Imam al-Zahabi
pula dalam kitab al-Tazkirah, beliau menyatakan bahawa muzik mencakupi
seluruh alat muzik atau permainan yang digunakan bagi tujuan mengiringi
sesebuah lagu atau syair. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, muzik berasal
dari bahasa inggeris yang sinonim dengan bunyi-bunyian, irama, lagu, nada,
senandung dan tanji. Berdasarkan maksud yang telah disebutkan ini, jelas kepada
kita bahawa muzik merupakan alat dan bunyian yang mengiringi sesuatu nyanyian
atau syair. Ini juga boleh disebutkan dengan kata lain, muzik adalah suatu
instrumen yang menjadi penambahan kelunakan sesebuah nyanyian atau syair di
dendangkan.
Dari segi hukum berkenaan muzik, para ulama telah berbeza
pandangan. Perbezaan ini termasuk dalam bab khilaf yang muktabar, iaitu
masalah-masalah yang dibenarkan berijtihad padanya. Secara umumnya, jumhur atau
majoriti ulama dan fuqaha' mengharamkan alat muzik. Tetapi sebahagian mereka
mengharuskan alat muzik tertentu dalam keadaan tertentu. Mereka yang
berpandangan haram antaranya adalah Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah. Dalam
kitabnya, Majmu' Fatawa, beliau menyatakan bahwa mendengar nyanyian
(atau alat muzik) menimbulkan mudarat yang dahsyat terhadap agama seseorang.
Tidak ada cara lain selain dengan menutup jalan agar tidak mendengarnya.
Selain itu, turut berpandangan haram ialah Imam Ibn Hajar
al-Haitami dalam kitab Kaff al-Ri'aa. Beliau menyatakan bahawa sesiapa
yang menyatakan bahawa ada khilaf dalam isu ini, dia telah melakukan kesilapan
atau dikuasai hawa nafsu, hingga ia memekakkannya dan membutakannya (daripada
mendengar dan melihat kebenaran). Menurut Imam Ibn Qudamah pula dalam kitabnya,
al-Mughni, barangsiapa yang menjadikan muzik sebagai satu pekerjaan,
atau mengambil kanak-kanak dan hamba untuk menyanyi dan dihadiri oleh orang
ramai, maka orang seperti itu tidak diterima kesaksian daripadanya. Ini kerana
muzik di sisi mereka yang tidak mengharamkannya, merupakan satu kebodohan,
kerendahan dan menjatuhkan maruah. Manakala di sisi mereka yang mengharamkan
muzik, ia merupakan satu dosa dan pelakunya dikira menzahirkan kemaksiatan dan
kefasikan.
Mereka yang menyatakan pandangan haram muzik ini diatas beberapa
hujah berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadith. Antanya firman Allah SWT dalam
surah Luqman ayat 6 yang bermaksud :
"Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan
perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa
pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. Mereka itu akan
memperoleh azab yang menghinakan".
Menurut Ibn ‘Abbas dalam kitab tafsirnya, sewaktu mentafsirkan ayat
ini, ia merujuk kepada muzik, manakala Imam Mujahid pula berpandangan ia
merujuk kepada al-Lahwu dan al-Tobl. Demikian juga Imam Hasan al-Basri
menyatakan ayat ini diturunkan berkenaan muzik dan al-mazamir. Dalil yang lain,
dalam sebuah hadith riwayat Imam al-Tirmizi, baginda Nabi SAW bersabda yang
bermaksud :
"Janganlah kalian menjual penyanyi-penyanyi wanita, atau
membeli mereka, atau mengajar mereka menyanyi. Tidak ada kebaikan pada urus
niaga melibatkan mereka, dan nilaian harga mereka adalah haram. Dan kerana kes
seumpama inilah diturunkan ayat (yang bermaksud): “: Dan di antara manusia
(ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan
(manusia) dari jalan Allah”
Demikian beberapa hujah dalil berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan
hadith Nabi SAW. Pun begitu, sebahagian para ulama yang lain pula berpandangan
hukum berkaitan muzik adalah harus. Antaranya ialah Abu Bakar Ibnu al-Arabi
dalam kitab Ahkam al-Quran. Beliau menyatakan bahawa hadith-hadith yang
digunakan untuk mengharamkan nyanyian mengatakan tidak ada satu pun dalil yang
sahih untuk mengharamkan nyanyian, kerana perawi-perawinya yang tidak tsiqah.
Yang lebih sahih ialah riwayat-riwayat tersebut adalah batil. Begitu juga
pandangan Imam Ibnu Hazm dalam kitabnya, al-Muhalla bil Athar, beliau
membahaskan hukum nyanyian dengan mengatakan bahawa semua riwayat hadith
tentang haramnya nyanyian adalah batil.
Beliau turut menjelaskan bahawa pada ayat 6 surah Luqman yang
menjadi pengharaman nyanyian pula, ayat tersebut menyebutkan satu sifat yang
barangsiapa mengerjakannya akan menjadi kafir tanpa diperselisihkan lagi, iaitu
apabila dia menjadikan agama Allah SWT sebagai bahan mainan. Oleh kerana itu,
jika seseorang membeli senaskhah al-Quran untuk menyesatkan orang ramai dan
menjadikannya sebagai permainan, maka jelas dia adalah kafir. Selain itu, Imam
al-Syaukani dalam kitabnya, Nail al-Autor meriwayatkan banyak athar
daripada sahabat dan tabi'in yang menunjukkan keharusan mendengr nyanyian dan
muzik antaranya Ibnu Umar, Muawiyah, Amru bin al-'Aas dan Abdullah bin Jaafar.
Dalam konteks fatwa semasa, al-Marhum Syeikh al-Qaradhawi
menyatakan dalam kitabnya Halal dan Haram dalam Islam, isu ini menjadi
khilaf yang hangat diperdebatkan dalam kalangan ulama. Nyanyian yang disepakati
haram ialah nyanyian yang melibatkan maksiat atau mempunyai unsur mengajak ke
arah maksiat. Adapun yang disepakati harus pula ialah nyanyian yang menjurus ke
arah naluri fitrah yang dialunkan untuk dirinya, nyanyian sesama suami isteri
atau sesama kanak-kanak. Selain daripada jenis-jenis ini termasuk di bawah
ruang perselisihan para ulama. Beliau mentarjihkan pandangan yang mengharuskan
muzik dan nyanyian dan ia merupakan hukum asal bagi perkara-perkara baik dan
dan indah. Namun, terdapat beberapa unsur luaran yang terpalit padanya yang
menyebabkan hukum boleh berubah kepada haram atau makruh tahrim.
Selain itu, Fatwa Dar al-Iftaa' Misriyyah menyatakan bahawa
nyanyian dan muzik secara amnya terbahagi kepada dua, iaitu yang diharuskan dan
yang diharamkan. Ini kerana nyanyian itu satu bentuk komunikasi dan susunan
perkataan. Perkataan yang baik maka ianya baik, perkataan yang buruk maka ianya
menjadi buruk. Adapun pandangan para ulama yang mengharamkan sebahagian alat
muzik adalah kerana alat muzik itu dimainkan untuk menggalakkan aktiviti
maksiat, dan bukan kerana sifatnya sebagai alat muzik semata-mata. Secara
mudahnya, berhibur dengan mendengar atau bermain muzik adalah diharuskan
selagimana perkara tersebut tidak melanggar batasan syarak. Inilah juga asas
pendirian Islam dalam banyak urusan kehidupan. Setiap perkara ada batasan. Maka
jelaslah Islam bukanlah anti-muzik selagi tidak bercanggah dengan peraturan
Islam. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan