Isnin, 29 Mei 2017

RAMADAN : MEMBURU SEBUAH KETAQWAAN

Saban tahun Ramadan datang menyapa kita semua. Tetamu mulia ini datang dengan membawakan tawaran pahala yang hebat berlipat kali gandanya. Malah semua muslim pada bulan Ramadan ini, dilihat berpusu-pusu berlumba-lumba melakukan amal soleh seperti mengimarahkan masjid, bertadarus al quran, bersedekah dan lain-lain, memanfaatkan tawaran yang dibawa oleh Ramadan ini. Dalam keghairahan kita menyambut bulan Ramadan, misi utama kita adalah untuk memburu sebuah ketaqwaan.

Firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah Al Baqarah ayat 183 yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa”.

Menurut Imam Ibnu Katsir ayat ini berisi perintah untuk menunaikan ibadah puasa pada Bulan Ramadhan. Secara istilah syarak, puasa bererti menahan diri dari makan, minum, dan hal-hal lain yang membatalkan puasa mulai terbit fajar sampai terbenamnya matahari. Puasa mengandung aspek sosial yang sangat tinggi. Dengan puasa, seseorang berlatih kepekaan sosial. Di samping itu, puasa mampu membersihkan diri dari hal-hal buruk kerana ketika seseorang berpuasa, saluran dalam tubuh yang biasa dilewati oleh syaitan akan menyempit. Dengan begitu syaitan tidak akan berleluasa bergerak. Ada juga yang berpendapat puasa juga merupakan zakat jiwa, iaitu bermakna puasa adalah suatu jalan bagi mensucikan jiwa dari lara dunia. 



Tujuan utama kita menjalani madrasah Ramadan ini ialah untuk memburu sebuah nilai ketaqwaan,untuk menjadikan kita insan yang lebih bertaqwa. Ini kerana, disisi Allah Azza Wa Jalla, tiada nilainya kita sebagai hamba Nya melainkan hanya di pandang ketaqwaan pada Nya. Sekian lama kita dilalaikan dengan hidangan hiburan yang lara, maka ramailah manusia menjadikan bulan Ramadan ini sebagai satu kesempatan memperbaiki diri, menjadi insan yang lebih bertaqwa. Oleh kerana itu, budaya sindir menyindir orang mula berpusu ke masjid, menyindir orang yang baru mahu membaca al quran, adalah satu budaya yang kurang elok. Sebetulnya, kita sama-sama memberikan mereka dorongan semangat disamping kita membimbing diri sendiri menjadi insan yang bertaqwa. Barangkali dengan keberkatan Ramadan yang datang ini, kita dan mereka semua akan menjadi insan yang lebih baik dari semalam.

Ketaqwaan yang dicari perlu di dasari dengan keimanan yang utuh. Seringkali kita semua terlupa, kadang kita telah menjadi hamba pada Ramadan, tidak hamba kepada Allah. Hal ini kerana, kita gagal untuk benar-benar memburu ketaqwaan yang sebenar. Kita gagal untuk memahami dan memaknai sebuah erti ketaqwaan. Oleh itu, Ramadan adalah sebuah sekolah latihan yang akan melatih kita berusaha gigih menjadi orang yang bertaqwa. Natijahnya, apabila kita keluar daripada sekolah latihan ini, kita kekal istiqamah melaksanakan amal soleh meskipun di luar bulan Ramadan. Kita harus lebih sedar bahwa, Ramadan yang sedang kita jalani ini bukanlah untuk kita jadikan pesta berjuadah. Ke sana dan ke sini, ke hulu dan ke hilir, mencari juadah berbuka puasa. Sepatutnya, Ramadan ini kita jadikan ianya bulan kita berpesta ibadah, berlumba-lumba melaksanakan amal soleh.

Kita juga seharusnya lebih menekankan tentang bagaimana untuk kita meningkatkan kualiti ibadah kita berbanding kita berbalah sesama sendiri dalam perkara yang menjadi perbincangan khilaf para ulama. Marilah kita jadikan bulan Ramadan ini sebagai titik permulaan penyatuan ummah dengan menanggalkan segala perbezaan ideologi mazhab, politik dan sosial. Ketaqwaan yang kita sedang buru ini, tidaklah datang dengan bergolek melainkan kita berusaha meningkatkan amal soleh selain berusaha meninggalkan perkara-perkara yang melalaikan kita. Pada masa yang sama, Ramadan adalah bulan yang terbaik untuk kita sama-sama mempelajari al quran, mendalami ilmu tafsir dan sebagainya. Peluang-peluang seperti ini amat jarang diadakan melainkan bersempena dengan kedatangan Ramadan ini. Dengan cara yang telah disebutkan tadi, demikianlah antara usaha yang boleh kita laksanakan bagi memburu sebuah ketaqwaan yang sudah tentu menjadi dambaan hamba Nya yang soleh solehah.

Marilah sama-sama kita memburu ketaqwaan yang telah dijanjikan oleh Allah bagi para hamba Nya yang bersungguh-sungguh. Percayalah, perubahan manusia barangkali Ramadan ini merupakan titik tolak penghijrahan bagi mereka yang mencari redha Nya. Maka janganlah kita terus bermain sindir-menyindir pada mereka yang ingin berubah. Setiap sesuatu kebaikan yang hamba Nya laksanakan, tidak akan pernah ada yang sia-sia. Allah itu Maha Adil, bersifat rahmah dan maghfirah pada hamba Nya. Maka janganlah berputus asa dari terus mencari dan memburu sebuah ketaqwaan. Ketaqwaan itu bukanlah terletak pada pakaian, ianya akan terserlah melalui contoh teladan, keperibadian yang mulia dan hati yang suci. Sementara kita masih berkesempatan bertemu dengan Ramadan, maka ayuhlah semua kita menjadi pemburu ketaqwaan bukan pemburu bazar Ramadan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan