Duli Yang Maha Mulia
Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail telah diisytiharkan
sebagai Raja Perlis pada 17 April 2000. Sejak dari terbentuknya Kerajaan Perlis
yang berdaulat, Perlis menyaksikan kehadiran pemerintahnya yang berjiwa rakyat.
DYMM Tuanku Syed Sirajuddin dibesarkan dalam persekitaran Bandar DiRaja Arau,
Istana Arau yang dikelilingi oleh teratak rakyat jelata, sawah padi yang
menguning dan sungai-sungai kecil yang mengalir lesu, serta nada cengkerik yang
mengiringi tabir malam. Suasana ini membina watak Raja dan anak-anak Raja
Perlis serasi dengan jiwa rakyat jelata, Al-marhum Tuanku Syed Putra
Jamalullail dan puteranya Syed Sirajuddin biasa berbasikal dari Arau ke Kangar,
sifat Baginda yang merendah diri menjadikan DYMM Raja Perlis mudah didekati
rakyat. Semasa menjadi DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin lebih
selesa memandu sendiri kereta baginda ke mana sahaja berangkat sama ada untuk
urusan, peribadi mahupun bersantai. Memandu kereta tanpa pemandu cukup membahagiakan
baginda, walaupun dari segi protokol mungkin tidak sesuai namun baginda tidak pernah
merasakan ianya sesuatu yang ganjil, kerana rakyat sentiasa menyanjungi baginda
sebagai Raja pemerintah yang dekat di hati rakyat. Baginda boleh disifatkan
sebagai seorang raja yang sangat ramah dan tidak kekok melayan rakyat.
Baginda juga tegas
dalam menjalankan tanggungjawabnya. Semasa menjadi Yang Dipertua Majlis Agama
Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis baginda berpegang kepada Perlembagaan
Negeri, khususnya dalam menentukan umat Islam di Perlis berpegang teguh kepada
fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. DYMM Tuanku Syed Sirajuddin juga seorang Raja
yang suka membaca buku dan ini membolehkan baginda mempunyai pengetahuan am
yang agak luas. Ada pendapat yang menyebut Tuanku Raja Perlis ini gemar membaca
semasa dalam perjalanan, ini termasuklah dalam kereta. Baginda juga seorang
yang periang dan suka berjenaka. Hal ini kerap dinyatakan oleh mereka yang kerap
menyertai DYMM Tuanku bermain golf. Jenaka Tuanku kerap menyebabkan gelak
ketawa. Baginda tidak mementingkan
protokol namun soal adat istiadat amat beliau titik beratkan. Dalam soal ini ketepatan
waktu menjadi perhatian DYMM Tuanku. Sifat baginda yang berterus terang
membolehkan baginda disayangi mereka yang mendampingi baginda, malah rakyat
jelata sentiasa bersedia menerima nasihat dan pandangan baginda. Hal ini ditambah
pula dengan sifat baginda yang merendah diri yang menjadikan baginda disenangi
rakyat jelata.
Bagi seluruh rakyat
negeri Perlis, tanggal 17 Mei setiap tahun adalah satu tarikh yang sangat
dinanti-nantikan. Hal ini kerana, kehangatan sambutan ulangtahun keputeraan
Raja Perlis ini terasa bahangnya hingga ke rakyat bawahan. Manakan tidak,
sambutan keputeraan raja Perlis ini sudah berkali-kali mengadakan program yang
diberi nama “Malam Kilauan Cahaya” di Istana Arau. Apa yang istimewanya dalam
program ini ialah, seluruh rakyat Perlis bahkan dialu-alukan dari segenap
rakyat Malaysia untuk memasuki kawasan Istana Arau yang dihiasai dengan kilauan
cahaya lampu yang mempesonakan. Malah diberi peluang buat semua yang hadir
untuk melawat Galeri Diraja. Inilah salah satu diantara keunikan sambutan
ulangtahun keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis. Selain itu, seluruh rakyat juga
amat ternanti-nantikan Istana Terbuka yang saban tahun dilaksanakan pada hari
raya pertama aidil fitri. Istana Terbuka ini merupakan satu perkara wajib hadir
bagi rakyat Perlis kerana selain disediakan jamuan yang enak, tetamu yang hadir
juga diberi kesempatan untuk bersalaman dan menerima duit raya dari pihak
Istana Arau. Apa yang istimewanya Istana Terbuka ini ialah, bukan sahaja orang
islam yang hadir, turut serta memeriahkannya juga ialah dari pelbagai latar
belakang bangsa, agama dan negara. Ini adalah salah satu bukti yang jelas bahwa
Raja dan rakyat berpisah tiada.
Rakyat sejati negeri
Perlis, sudah tentu akan mengenali sifat DYMM Tuanku Raja Perlis yang bukan
sahaja menjadi penaung pada rakyatnya, tetapi baginda juga boleh menjadi
sebagai seorang rakan, kawan dan ayahanda kita semua. Sikap baginda yang tidak
berapa gemar “berprotokol” dalam urusannya, menambat hati seluruh rakyat negeri
bertuah ini.Pernah satu ketika, baginda menghadiri kenduri walimah tanpa di
iringi oleh pegawainya. Bukan tidak bimbang akan keselamatannya, namun itulah
baginda yang lebih suka untuk menjadi seperti insan yang lain. Kini, usia
baginda mencecah 74 tahun. Baginda juga seringkali menghadiri majlis-majlis
rasmi sama ada di dalam atau di luar negeri, kelihatan baginda sentiasa
bertongkat. Raut wajah baginda mencecah usia 74 tahun, namun semangatnya untuk
terus berbakti pada rakyatnya tetap kekal utuh. Dengan kesihatan baginda yang
terhad, saya percaya dan yakin, seluruh rakyat negeri Perlis senantiasa mendoakan
agar Allah memberkan kesihatan yang baik buat baginda berdua. Sempena
ulangtahun baginda yang ke 74, marilah sama-sama kita berdoa menadah tangan
memohon kepada Allah, supaya baginda berdua dianugerahkan kesihatan yang baik,
kesabaran yang tinggi dan kekuatan yang utuh, demi melaksanakan tugasnya
sebagai pemerintah yang menaungi seluruh rakyatnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan