Dalam
bulan Ramadan, terdapat satu peristiwa agung di dalamnya. Apabila disebut Ramadan, di samping kita
disyariatkan untuk berpuasa, kita akan teringatkan penurunan al-Quran (Nuzul
al-Quran). Bulan Ramadan bulan yang diturunkan dalamnya al-Quran. Penurunan
al-Quran itu dua peringkat; pertama, dari Luh al-Mahfuz ke Bait al-Izzah
(langit dunia). Kedua, dari langit dunia kepada Nabi SAW secara
berperingkat-peringkat dalam tempoh sejak Nabi Muhammad diangkat menjadi rasul
sehingga baginda wafat iaitu selama 23 tahun. Para sarjana tidak berbeza
pendapat bahawa al-Quran diturunkan dalam bulan Ramadan. Ini kerana Allah
sendiri yang menjelaskan bahawa al-Quran itu turun dalam bulan Ramadan.
Firman
Allah:
“Bulan
Ramadan yang Kami turunkan dalamnya al-Quran yang menjadi pertunjuk untuk
manusia”
(Surah al-Baqarah, 185)
Namun
begitu sarjana berbeza pendapat tentang berapa haribulankah Ramadan penurunan
itu berlaku? Ada yang berpendapat ia diturunkan pada 21hb Ramadan. Ada juga
yang berpendapat 24hb Ramadan. Di tempat kita biasanya kita mendengar tarikh
Nuzul al-Quran pada 17hb Ramadan. Ini juga salah satu pendapat yang telah
sesetengah sarjana kemukakan. Pun begitu pendapat ini mendapat kritikan
sebahagian sarjana yang lain atas beberapa alasan. Apapun perbezaan pendapat
yang ada, kesemua umat akur bahawa al-Quran itu turun pada bulan Ramadan.
Sarjana hanya berbeza pendapat tentang haribulannya sahaja. Masing-masing telah
mengemukakan alasan mereka. Lebih penting dari itu semua, kita hendaklah
menghayati tujuan al-Quran itu diturunkan kepada manusia.
Ia
bukan sebuah kitab sekadar untuk dibaca dan diperlagukan tanpa memahami tujuan
ia diturunkan. Jika ramai orang boleh membaca al-Quran, melagukannya,
menghiasinya dengan ukiran dan solekan yang indah namun enggan mendalami dan
menghayati tujuan penurunannya, maka al-Quran tidak akan berfungsi dalam
kehidupan manusia. Ia seakan seorang pesakit yang membaca jadual ubatnya,
menulisnya dengan indah dan cantik tetapi tidak memakannya. Tujuan penurunan
al-Quran adalah untuk menjadi petunjuk, menjelaskan petunjuk tersebut serta
memampukan pembacanya membezakan antara yang benar dan yang salah. Antara haq
dan batil. Itulah cahaya insan dalam menerangi cabaran kehidupan di dunia ini.
Hal ini tidak mungkin diperolehi jika kita sekadar berlagu dan menggantungnya
di dinding rumah dan pejabat tanpa melakukan tadabbur (penelitian kandungan).
Kita
semua ada kelemahan, kita juga mungkin tidak berjaya menjadi insan yang
melaksanakan seratus peratus isi kandungan al-Quran tetapi kita sentiasa wajib
beriman bahawa jalam hidup ini ialah mengikuti isi kandungan al-Quran, bergerak
dan berusaha menghayatinya dari masa ke semasa adalah tanggungjawab seorang
yang beriman. Kejayaan kita ialah dengan memahami dalam melaksanakan isi
kandungan al-Quran. Kita hendaklah membaca al-Quran sehingga dapat membezakan
antara yang benar dan yang salah. Antara yang ikhlas dan yang pura-pura. Antara
yang membela kebenaran dan yang memperjudikan kebenaran. Ini amat penting
sepanjang masa, apatahlagi di zaman dunia yang penuh kekaburan dan kekeliruan.
Tidak berpada sekadar melagukan, bertanding dan menggantung di dinding-dinding
tanpa memperdulikan isi yang tersurat dan tersirat di sebalik tulisan yang
tersemat. Semoga kita semua menjadi insan yang benar-benar menghayati ajaran
titah perintah Allah yang termaktub di dalamnya yakni al quran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan