Jumaat, 10 Februari 2017

MEMAHAMI KAITAN ISLAM, SIRAH & GLOBAL

“Hari demi hari, luka-luka baru menjaluri tubuh umat, sedangkan luka-luka semalam belum menampakkan tanda-tanda akan sembuh”. Inilah satu ungkapan seorang yang mengambil cakna tentang Realiti Umat Islam Masa kini, dialah Dr. Majdi Hilali. Umat Islam masa kini sudah mula hilang identiti mereka. Kemunduran umat Islam telah sampai ke tahap kemuncak apabila jatuhnya Khilafah Uthmaniyah oleh Laknatullah Mustafa Kamal At-tartuk pada 3 Mac 1924. Maka tidak hairanlah pada masa kini, kita diheboh-hebohkan dengan pelbagai tohmahan dan cacian serta agenda-agenda dan propaganda-propaganda musuh yang hanyalah semata-mata mahu menjatuhkan umat Islam.

Allah berfirman kepada iblis dalam Al-Quran :

“Dan perdayakanlah sesiapa sahaja di antara mereka yang engkau (iblis) sanggup dengan suaramu (yang memukau), kerahkanlah pasukanmu terhadap mereka, yang berkuda dan yang berjalan kaki, dan bersekutulah dengan mereka pada harta dan anak-anak lalu beri janjilah kepada mereka.”

Kemudian Allah berfirman lagi dalam ayat yang sama, untuk mengenalkan kepada manusia siapakah sebenarnya Iblis,

“ Padahal syaitan itu hanya menjanjikan tipuan belaka kepada mereka”. (Surah Al-Isra’:64)

Melalui kata-kata Dr. Majdi Hilali dan Firman Allah sebentar tadi, saya lebih suka untuk mengaitkan penulisan saya ini kepada tiga perkara iaitu Islam, Sirah dan Globalisasi. Mengapa begitu? Teruskan membaca. Baiklah, bermulanya penulisan saya dengan satu persoalan, “Apakah wajar Islam itu dikenali sebagai ‘Islamophobia’?” Saya sama sekali seratus peratus tidak setuju dengan kenyataan sebegini. Saya tidak mahu kaitkan dengan isu ‘nine eleven’.Dan semuanya telah terbukti, ini adalah satu perancangan musuh Islam yang sangat sistematik dengan pelbagai teori konspirasi yang mengatakan bahawa ini adalah rancangan ‘FREEMASON’ dan sebagainya. Kemungkinan ada kebenarannya. Tetapi bukanlah ini yang ingin saya bicarakan dalam penulisan saya. Mengapa musuh-musuh Islam begitu mudah mengeluarkan propaganda sebegitu.



Hal ini kerana, umat Islam itu sendiri lemah dalam memahami hakikat sebenarnya agama Islam dan umat Islam kini berada pada zaman kemunduran umat Islam. Apakah yang dimaksudkan dengan Islam? Hakikat Islam yang sebenar dapat kita teliti melalui maksud Islam itu sendiri. Daripada sudut bahasanya Islam berasal daripada perkataan ‘سلم’ yang membawa kepada tiga makna iaitu, pertamanya bermakna ‘Selamat dan Terjamin’, keduanya bermakna ‘Bebas dan Bersih’ dan ketiganya bermakna ‘Menyembah dan Menyerah’. Justeru, apabila kita menggunakan akal fikiran kita dengan lebih rasional, kita akan mampu memahami apakah yang dimaksudkan Islam daripada sudut Istilahnya. Jadi, apabila kita menggabungkan ketiga-tiga makna tersebut, orang yang mengisyhtiharkan dirinya sebagai seorang Muslim, maka sudah tentu dia adalah seorang yang ‘Selamat dan Terjamin daripada dimasukkan ke dalam neraka Allah SWT’ dan juga seorang yang ‘Bebas daripada aib dan Bersih daripada celaan Allah SWT’ serta merupakan seorang yang ‘Menyembah dan Menyerah diri sepenuhnya kepada Allah SWT’.

Di sini, kita dapat lihat kesyumulan Islam melalui konsep Rububiyyah (Allah kepada manusia) dan Uluhiyyah (manusia kepada Allah). Hal ini terbukti selepas peristiwa ‘Nine Eleven‘ apabila ‘International Speaker’ iaitu Dr. Zakir Naik semasa ucapannya dalam rancangan ‘PEACE TV’ mengenai ‘Terrorism and Jihad in Islamic Persepctive’. Beliau mengatakan bahawa, “Dalam masa sebulan selepas peristiwa ‘nine eleven’ sebanyak 20000 orang telah memasuki Islam di Amerika.” Hal ini kerana mereka tidak mengambil maklumat tersebut dengan membabi buta sahaja, bahkan mereka mengkaji satu persatu sehingga mereka menemui kebenaran dan hakikat yang sebenar di mana, Islam bukanlah seperti mana yang dipropagandakan oleh musuh-musuh Islam. Maka terbuktilah kebenaran dan mukjizat Al-Quran.

Allah berfirman:

Katakanlah (Muhammad), “Berimanlah kamu kepadanya (Al-Quran) atau tidak usah beriman (sama sahaja bagi Allah). Sesungguhnya orang yang telah diberi pengetahuan sebelumnya, apabila (Al-Quran) dibacakan kepada mereka, mereka menyungkur wajah dan bersujud.”

Dan dalam ayat seterusnya,

“dan mereka berkata, ‘Maha Suci Tuhan kami, sungguh janji tuhan kami pasti akan dipenuhi.'”

Dan Allah berfirman lagi,

“ dan mereka menyungkur wajah sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk.” (Surah Al-Isra’: 107-109)

Siapa tidak kenal ‘Cat Stevens’ yang sekarang lebih lunak dikenali sebagai Yusuf Islam selepas beliau mendapat hidayah (near-death experience) pada tahun 1978, dan beliau sangat bergiat sebagai seorang pendakwah Islam tegar. Kini, beliau telah mendirikan yayasan kemanusiaan Small Kindness yang daripada mulanya membantu mangsa kelaparan di Afrika dan kini yayasan beliau membantu ribuan anak yatim dan keluarga di Balkan, Indonesia, dan Iraq. Lihatlah antara sumbangan beliau setelah memeluk Islam. Antara rakaman beliau ialah The life of the Last Prophet, Prayers of the Last Prophet, A is for Allah, dan I look I see. Inilah salah satu contoh pendakwah. Maka, betullah apa yang diperkatakan oleh Dr. Zakir Naik, “One of the best type of Jihad is Dakwah.” Ini terbukti dalam sirah Nabi Muhammad SAW dan kenapa kita perlu hairan, ketika mana Sayyidina Umar mengisyhtiharkan dirinya sebagai seorang Muslim, kehidupan beliau berubah dan berputar 180 darjah kepada yang lebih baik.




Daripada menjadi seorang musuh tegar mencaci dan menghina Baginda SAW kepada menjadi ‘Personal Assistant’ yang sangat setia selepas Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq. Sehingga dikisahkan bahawa, Sayyidina Umar mahu memenggal kepala individu yang mengatakan Rasulullah sudah wafat. Begitu sekali cinta para Sayyidina Umar kepada Rasulullah SAW. Bagaimana pula kita? Kita perlu sentiasa persoalkan dalam diri kita, sekiranya benar cinta kita kepada Rasulullah SAW, maka tidak cukup sekadar kita mempelajari teori semata-mata. Bahkan sudah tiba masanya sekarang kita mengambil Rasulullah sebagai ‘Uswatun Hasanah’ dalam semua aspek kehidupan sama ada daripada segi ‘RUHIYYAH’, ‘AQLIYYAH’, dan ‘JASADIYYAH’. Suka saya tegaskan di sini, realiti umat Islam kini mengambil Rasulullah sebagai contoh hanya dalam aspek yang sesuai dengan dirinya. Seolah-olah, Rasulullah sekadar model ikutan yang sama seperti Mahatma Ghandi, Aristotle, Hercules. Sebenarnya tidak!
Sebagai umat Islam, Allah tegaskan dalam Al-Quran dengan penggunaan Uslub Taukid:

“Sungguh, telah ada pada (diri) Rasulullah SAW itu, suri teladan yang baik bagimu”,

Kemudian Allah sambung lagi dalam ayat yang sama,

“ bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan yang banyak mengingati Allah.” (Surah Al-Ahzab:21)


Wahai para pembaca sekalian, bahkan dalam ‘ULUM NABAWI’, terdapat 5 perkara yang dibahaskan dalam ilmu ini, di mana sekiranya salah satu sahaja yang diambil daripada 5 perkara ini, maka seseorang itu belum lagi dikira seorang yang menguasai Ulum Nabawi. Pertamanya ialah ‘Syamail Muhammadi’, Keduanya ialah ‘ad-Dalail’, ketiganya ialah ‘Fadhail’, keempatnya ialah ‘Qasais’ dan kelimanya ialah ‘Sirah’. Hanya dengan kembali kepada Al-Quran dan Sunnah Nabi sahaja yang mampu untuk kita menemui hakikat kebenaran dan tujuan kita diutuskan ke muka bumi ini. Setuju atau tidak apabila saya mengeluarkan kenyataan ini untuk kita sama-sama berfikir dengan lebih mendalam. Al-Quran yang akan membawa kita kepada HIDAYAH Allah dan dengan mengikuti Sunnah Nabi yang akan membawa kita kepada TAUFIQ Allah. Moga-moga penulisan saya terjawab mengenai 3 persoalan yang ingin dibicarakan iaitu Islam agama yang syumul, pelajari sirah kenali Rasulullah dan kembali kepada ajaran Al-Quran adalah resolusi terbaik untuk permasalahan globalisasi masa kini. Termasuk juga permasalahan Islamophobia. Syeikh Abu Hasan Ali al-Hasani an-Nadwi menulis kitab ‘Apakah Derita Yang Akan Melanda Dunia Apabila Umat Islam Mundur’ menunjukkan satu kerugian yang besar sekiranya umat Islam mundur dan satu kerugian yang lebih besar dalam tamadun dunia apabila tidak mengambil Islam sebagai satu sistem kehidupan yang Syamil, Kamil dan Mutakamil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan