Khamis, 10 Disember 2015

KENALI ISLAM LIBERAL

Menjadi kewajipan umat Islam mengenali jahiliyah di samping mengenali Islam. Jika mengenali Islam bertujuan mengamalkannya, mengenali jahiliyah pula adalah untuk mengelak darinya dan agar tidak tertipu dengan pendakyah-pendakyahnya. Islam Liberal adalah satu bentuk pemikiran jahiliyah baru moden yang dianuti sebahagian cerdik pandai muslim hari ini khususnya yang berlatar-belakangkan pendidikan Barat. Pemikiran ini berasal dari ideologi Sekular-Liberal yang lahir di Barat, kemudian dibawa masuk ke dalam masyarakat umat Islam oleh gerakan Misionari Kritian dan Orientalis melalui penjajahan dan melalui pendidikan terhadap anak-anak orang Islam yang belajar di Barat. Melihat kepada tentangan yang amat hebat oleh ulamak Islam dan pendokong-pendokong gerakan Islam terhadap ideologi tersebut sejak dulu hingga sekarang, maka untuk meredakan tentangan tersebut dan untuk mengelabui mata umat Islam mereka meletakkan istilah Islam di depan istilah Liberal itu dan membentuk satu istilah baru yang dipanggil “Islam Liberal”.


Pada hakikatnya pendokong pemikiran Islam Liberal adalah penganut-penganut ideologi Sekular-Liberal yang mana matlamat mereka ialah menimbulkan keraguan terhadap kebenaran agama Islam di kalangan penganut-penganutnya sehingga akhirnya pegangan dengan agama dianggap tidak sesuai lagi di zaman moden hari ini. Natijahnya umat Islam akan bersikap anti-Islam dan memusuhi ulamak-ulamaknya sebagaimana sikap orang-orang Barat hari ini terhadap agama Kristian dan paderi-paderi Kristian. Aliran liberalisme lahir di Barat adalah lanjutan daripada zaman Renaisans (kebangkitan) yang berlaku di Eropah. Ia adalah hasil daripada tindak balas kaum intelek Eropah terhadap penindasan gereja terhadap ilmu sains dan juga teori-teori palsu ciptaan cendekiawan Yahudi untuk memusnahkan agama Kristian. Aliran pemikiran ini bertujuan untuk meningkatkan kebebasan yang diberi kepada individu. Gerakan liberalisme dari sudut agama dipelopori oleh Martin Luther, seorang tokoh Protestan disebabkan oleh penindasan dan keganasan gereja Katholik sebelum zaman Renaissance.



Gerakan ini membebaskan penganut agama Kristian daripada kuasa gereja dari segi rohaniah ke atas individu dan membentuk mazhab baru bernama Protestan. Antara prinsip penting bagi mazhab Protestan ialah; “Menjadi hak individu Kristian untuk membaca kitab suci dan mentafsirnya sendiri tanpa terikat dengan tafsiran paderi-paderi”. Idea Liberalisme ini terus berkembang di Barat bersama dengan kemajuan sains dan pemodenan dalam pembangunan industri. Manusia bukan sahaja disogok dengan idea “keraguan” tentang Tuhan dan ajaran-ajaran agama tetapi juga menjadikan mereka bersikap materialistik dengan menjadikannya sebagai matlamat dari segala kehidupan. Fahaman ini berkeyakinan bahawa manusia dan akal fikirannya boleh menyelesaikan berbagai aspek yang berkaitan dengan kemanusiaan tanpa perlu merujuk kepada agama atau tuhan. Kalau manusia itu dalam kes-kes tertentu perlu kepada agama maka ia hanya bersifat keperluan individu semata-mata terutama dalam keadaan manusia yang tidak menentu emosi dan pemikiran serta perasaannya kerana ditimpa kemalangan, bencana alam dan sebagainya. 


Maka peranan agama dalam konteks ini tidak lebih dari sekadar menstabilkan emosi yang tidak tenteram. Sebagaimana Ideologi Liberal atau Liberalisme di Barat yang terbina di atas kebebasan individu, dari cengkaman agama dan perasaan syak atau ragu terhadap agama, maka begitu juga dengan fahaman Islam Liberal. Fahaman Islam Liberal berakar pada kebebasan akal tanpa batasan ditambah pula dengan perasaan syak dan ragu terhadap Islam. Bagi pendokong fahaman Islam Liberal, tidak ada di dalam agama suatu yang dianggap kudus dan suci yang tidak boleh dikritik atau dipertikai. Sepertimana muktazilah, golongan Islam Liberal meletakkan akal lebih tinggi dari wahyu. Kerana itu mereka layak digelar muktazilah moden atau neo-muktazilah. Bagi mereka, penerimaan terhadap wahyu hendaklah berasaskan kepada penilaian akal dan rasional. 




Semua ajaran dalam agama bagi mereka adalah tidak pasti. Oleh demikian, ia tertakluk kepada penerimaan akal dan rasional. Golongan Islam Liberal tidak menzahirkan diri mereka sebagai orang yang menolak agama, tetapi berselindung disebalik gagasan mengkaji semula agama, mentafsir semula al-Quran, menilai semula as-Sunnah dan menapis semula hukum-hakam Syari’at dan Fiqh. Mereka menolak segala tafsiran yang dianggap lama dan kolot mengenai agama –termasuklah dalam hal-hal yang telah menjadi Ijmak ulamak- termasuklah tafsiran dari Rasulullah s.a.w., para sahabat dan ulamak-ulamak mujtahid. Bagi mereka, agama hendaklah ditundukkan kepada waqi’ (realiti) semasa sekalipun terpaksa menafikan hukum-hakam dan peraturan agama yang telah sabit dengan nas-nas Syarak secara qat’ie (putus). Jika terdapat hukum yang difikirkan tidak menepati zaman dan kemodenan maka hukum itu hendaklah ditakwilkan atau sebolehnya digugurkan.



Golongan Islam Liberal mempunyai kecenderungan yang kuat untuk menghidupkan kembali pemikiran muktazilah yang menurut mereka mewakili kumpulan Islam Rasional dalam sejarah peradaban Islam. Kerana itu, tokoh-tokoh Islam Liberal amat menyanjung Muktazilah dan memusuhi golongan Ahlus-Sunnah Wal-Jamaah khususnya Asya’irah yang dituduh jumud, beku dan anti-rasional. Tidak terkecuali dari kecenderungan sedemikian tokoh-tokoh Islam Liberal di Indonesia dan di Malaysia. Sama ada mereka mengakui atau tidak, golongan Islam Liberal di mana-mana negara umat Islam hari ini mereka sememangnya telah dipengaruhi oleh cara berfikir Orientalis. 

Jumaat, 4 Disember 2015

KEPENTINGAN AMALAN MEMBACA

Pada era globalisasi ini, pendidikan dalam semua lapisan masyarakat semakin penting dan diutamakan. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak berkuasa dalam memupuk amalan membaca namun, budaya membaca dalam masyarakat masih rendah lagi. Melalui pembacaan, seseorang dapat memperoleh pelbagai ilmu pengetahuan yang secara tidak langsung dapat membantu memajukan negara. Dengan ini, isu budaya membaca dalam kalangan masyarakat tidak boleh dipandang ringan. Jika budaya tersebut dibiarkan begitu sahaja hasrat masyarakat untuk menjadikan negara kita negara maju pasti akan terganggu. Pengamalan budaya membaca dalam kalangan masyarakat akan mendatangkan pelbagai faedah terhadap diri kita. Oleh itu, semua lapisan masyarakat haruslah berusaha mengamalkan budaya membaca kerana Membaca Jambatan Ilmu.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa dengan membaca, seseorang akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Hal ini kerana terdapat berbagai-bagai maklumat termasuk isu semasa dan pengetahuan tentang kehidupan harian yang terdapat di dalam buku, majalah dan surat khabar. Terdapat banyak bahan bacaan telah dipasarkan di pasaran. Ibu bapa haruslah sanggup membelikan bahan bacaan yang sesuai untuk anak-anak dan diri sendiri. Dengan membaca, seseorang dapat meneroka pelbagai ilmu yang dapat dimanfaatkan untuk mencapai kejayaan kerana Bangsa Membaca Bangsa Berjaya. Sewajarnya masyarakat rajin berusaha dalam memupuk amalan membaca dan seterusnya menjayakan kempen-kempen yang telah dianjurkan oleh kerajaan tentang amalan membaca. Pembacaan yang luas juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri seseorang. Oleh itu, masyarakat hendaklah rajin membaca supaya dapat menambahkan ilmu pengetahuan. 


Selain itu, membaca akan membantu menambahkan perbendaharaan kata yang kita miliki. Hal ini kerana dengan membaca kita akan menemukan pelbagai jenis perkataan baharu. Jika kita membaca bahan bacaan yang berkaitan dengan bidang Sains kita akan mengenali lebih banyak istilah atau kosa kata baharu dalam bidang berkenaan seperti Anemia dan X-ray. Malah, apabila seseorang telah mengenali banyak perbendaharaan kata, mereka akan dapat bertutur dengan lancar dalam bahasa berkenaan. Individu itu juga akan dapat menguasai sesuatu bahasa dengan mudah. Penguasaan perbendaharaan kata sangat berguna dalam menongkah arus globalisasi kini. Persaingan antara masyarakat dalam pelbagai disiplin ilmu juga akan menjadi lebih mudah. Dengan ini, kita haruslah rajin membaca supaya dapat menambahkan perbendaharan kata dalam minda kita. 

Membaca juga dapat memenuhi masa lapang kita. Masa lapang ialah masa senggang antara dua pekerjaan. Masa lapang perlu diisi dengan perkara yang berfaedah. Kita boleh menjadikan amalan membaca sebagai hobi kita. Selain membaca, kita boleh menjadikan perkara lain sebagai hobi sekiranya perkara itu berfaedah. Terdapat 24 jam diperuntukkan kepada seseorang, namun masa yang singkat itu sememangnya tidak cukup untuk kita melaksanakan pelbagai aktiviti. Dengan ini, kita haruslah menggunakan masa lapang dengan efisien kerana masa itu emas. Sekiranya seseorang itu tidak mempunyai masa untuk membaca, mereka boleh membaca ketika menunggu bas. Oleh itu, sebagai insan yang begitu mengutamakan masa mereka seharusnya mengisi masa dengan amalan membaca. 

Di samping itu, budaya membaca dapat membantu memajukan negara. Hal ini demikian kerana tokoh-tokoh yang pakar dalam bidang tertentu dapat membantu meningkatkan ekonomi negara kita. Lanjutan itu, negara kita dapat membangun dengan pesat. Kemajuan dalam bidang sains dan teknologi telah menyebabkan banyak ciptaan baharu direka. Sebagai contoh, Negara Jepun yang maju dalam bidang sains dan teknologi telah mencipta pelbagai jenis barangan yang berfungsi secara automatik. Membaca akan menambahkan ilmu pengetahuan kita dan ilmu-ilmu yang diperoleh ini bolehlah digunakan dalam memajukan sektor-sektor tertentu seperti sektor pelancongan. Apabila sektor-sektor dibangunkan, ekonomi negara kita akan pesat membangun seperti Cendawan Tumbuh Selepas Hujan. Secara umumnya, negara kita akan layak bersaing dengan negara maju yang lain. Kemajuan negara pula perlu disusuli dengan budaya menulis buku. Oleh itu, kita hendaklah rajin membaca supaya tanah air kita dapat dibangunkan dan dimajukan. Malah, kita dapat hidup dalam keadaan yang lebih baik. 

Kesimpulannya, budaya membaca banyak mempunyai faedah kepada individu mahupun negara. Melalui membaca kita akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan kita. Ilmu pengetahuan yang diperoleh itu bukan sahaja dapat membantu seseorang mendapat keputusan yang cemerlang malah dapat memajukan negara. Walaupun pada hari ini pelbagai prakarsa telah dilaksanakan untuk memupuk amalan membaca namun, usaha tersebut diumpamakan hujan jatuh ke pasir. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memupuk budaya membaca. Hal ini disebabkan budaya membaca perlu dipupuk sejak anak-anak kecil lagi kerana Melentur Buluh Biarlah dari Rebungnya. Ibu bapa juga bertanggungjawab menjadi suri teladan kepada anak-anak dengan banyak membaca buku. Selain itu, pihak kerajaan perlu menyediakan pelbagai kemudahan seperti perpustakaan supaya kita dapat membaca dengan selesa. Kempen-kempen membaca juga perlu dipergiat. Jika usaha-usaha memupuk budaya membaca giat dijalankan, negara Malaysia pasti akan menjadi negara yang maju. Oleh itu, semua orang wajiblah membaca dan berusaha meningkatkan budaya membaca agar masyarakat yang celik ilmu dapat dilahirkan.

Khamis, 3 Disember 2015

ANAK-ANAK HARTA YANG AMAT BERNILAI

Nabil berumur sepuluh tahun ketika pertama kali didera kerana mencuri wang milik ayahnya. Rosli dan Zainab pasangan suami isteri yang cukup berjaya sebagai guru. Setiap hari mereka bertungkus lumus mendidik murid-murid menjadi insan cemerlang apakan daya anak sendiri tak mampu diuruskan. Kedua-duanya sama panas baran, mungkin disebabkan tekanan kerja yang dibawa pulang ke rumah. Kasihan Nabil setiap hari makanannya adalah maki hamun dan ugutan ditambah dengan tamparan dan hentakan di kepala. Semakin dihajar dengan kekerasan Nabil semakin liar dan memberontak. Dia putus asa dan memandang dirinya tidak berguna, tidak disayangi dan terbuang. Sementara itu ibu dan ayahnya makin tertekan dan malu dengan sikap anak mereka yang semakin teruk. Bukan hanya duit dan barang di rumah yang hilang, di sekolah dan rumah jiran juga dicuri. Ayah dan ibunya mengikat kaki dan tangan Nabil dengan rantai besi dan seluruh tubuhnya jadi sasaran pukulan. Begitukah didikan yang diajarkan agama? Dimanakah ilmu psikologi yang telah dituntut para orang tua dan guru? Bagaimana Nabi Muhammad SAW mendidik anak-anaknya?

Suatu hari Rasulullah SAW mengajak seorang kanak-kanak berdialog, baginda menyuruh kanak-kanak lelaki yang bernama Abdullah bin Abbas itu naik ke punggung untanya. Nabi SAW duduk dihadapan dan Abdullah di belakang. Kedua-duanya bersembang dengan penuh kasih sayang, mesra dan gembira. Di tengah-tengah perbualan mereka yang rancak, Rasulullah SAW menyelitkan ilmu yang tinggi nilainya secara tidak langsung kepada si kecil Abdullah. ”Wahai budak kecil, peliharalah Allah (syariat Allah) nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya kamu akan mendapatkan-Nya di hadapanmu, jika kamu meminta mintalah pada Allah, jika kamu mohon pertolongan pohonlah kepada Allah. Si kecil yang amat berminat ini terus memerhati setiap perkataan yang keluar dari lisan Nabi yang suci. Setiap mata yang memandang kepada Nabi SAW akan merasai rahmat dan kasih sayangnya. Kelembutan dan kemuliaan akhlak Baginda SAW mampu mencairkan kerasnya hati manusia. Baginda SAW bukan hanya diutus untuk lelaki dan wanita dewasa, tetapi kanak-kanak juga berhak ke atas syariah yang dibawa baginda SAW. 



Pernah suatu ketika baginda menyapa seorang kanak-kanak: ”Wahai anakku, apakhabar burung kamu?” Bahkan baginda menyuruh para bapa supaya mencium anak-anak mereka yang kecil sambil bersabda: ”Sesiapa yang tidak menyayangi tidak akan disayangi.” Tidak pernah disebutkan dalam sirah baginda yang agung peristiwa penderaan terhadap kanak-kanak pada saat itu. Mereka hidup dalam kasih sayang dan penjagaan Nabi mereka dengan penuh rahmat. Mereka dididik dengan tarbiyah yang sempurna. Ditanamkan iman dan diajarkan akhlak yang mulia. Maka lahirlah kanak-kanak yang berjiwa pahlawan, seperti anak Umar bin Khattab. Abdullah bin Umar ketika peperangan Badar dia menangis sekuat hatinya di hadapan Rasulullah SAW bukan kerana takut melihat darah dan mayat tetapi dia menangis kerana tidak diizinkan ikut berperang melawan orang-orang kafir.

Abdullah bin Umar di dalam kisah biografinya disebutkan bahawa Beliau telah tumbuh dewasa menjadi seorang pemuda yang terlalu cintakan Rasulullah SAW hinggakan dia suka mengikut cara-cara Rasulullah berjalan, menghafal setiap perkataan baginda SAW dengan meriwayatkan banyak hadis, bahkan ketika dalam pemusafiran beliau juga berhenti di tempat yang Rasulullah pernah berhenti, sembahyang di tempat Rasulullah pernah bersembahyang dan berdoa di tempat Rasulullah pernah berdoa. Sehingga Aisyah pernah berkata: ”Tidak ada seorang pun mengikut jejak langkah Rasulullah di tempat-tempat perhentiannya sebagaimana yang dilakukan oleh Abdullah bin Umar.” Cintanya kepada Rasulullah SAW begitu kuat dan sentiasa hidup dihati walaupun baginda telah tiada di sisi. Bagaimana dengan anak-anak kita sekarang? Sungguh kasihan mereka yang tidak mendapat didikan agama.

Persekitaran yang serba materialistik sedikit sebanyak mempengaruhi keperibadian mereka. Ibu bapa yang tertekan tanpa iman yang cukup tidak mampu membimbing mereka dengan nilai-nilai murni. Agama semakin dijauhi, dunia semakin digilai. Nak hantar anak pergi mengaji dengan bayaran RM.50 kena fikir dua tiga kali. Tapi hantar pergi kelas bahasa Inggeris seharga RM 200 tak payah fikir lagi. Ibu bapa terlalu sibuk, serah didikan kepada guru dan orang gaji. Masa untuk anak hanya ada saat keduanya keletihan, sembahyang ditinggalkan dan cukup menyumbat mulut sang anak dengan wang jika mereka menagih kasih sayang. Jika anak tidak diberi peluang mengenali hati ibunya, sampai bila-bila dia tidak akan sudi menyentuhnya. Akan lahirlah anak-anak akhir zaman yang ego, membuang ibu mereka yang uzur di atas katil tanpa kasih sayang. Oh iman mengapa semakin menipis di hati kita.


Selasa, 1 Disember 2015

MEMAKNAI HARI ULANGTAHUN

Usia boleh kita umpamakan seperti sepotong kayu yang dibakar api. Jika kayu itu sepanjang satu meter maka semakin lama kayu tersebut bukan semakin panjang, namun semakin pendek dan terus memendek, sampai akhirnya api pun mengakhiri pembakarannya. Usia juga boleh kita umpamakan air pada sebuah bekas, setiap saat segelas demi segelas air dalam bekas tersebut diambil, semakin hari maka isi air dalam bekas tersebut akan habis dan bekas pun menjadi kosong tak berisi. Banyak lagi perumpamaan yang dapat kita buat berkait usia ataupun umur. Berkait dengan bertambahnya usia secara kuantitinya maka secara kualiti keadaan fizikal pun semakin menurun, semakin bertambah usia semakin menurun kekuatan fizikal, namun ada pula yang tampak begitu lambat penurunannya. Hal ini berkait erat dengan sikap hidup atau bahasa mudahnya gaya hidup.


Begitulah kehidupan dan prosesnya. Ulang tahun bukan mengulang tahun yang sudah berlalu, namun ulang tahun adalah bertemunya penanggalan usia kelahiran atau berulangnya penanggalan awal kelahiran namun pada tahun yang berbeza. Perbezaan tahun kerana perubahan tahun sedangkan perubahan itu sendiri berubah seiring perubahan alam, putaran dan pergantian silih bergantinya siang dan malam, matahari dan bulan. Saat seseorang merayakan ulang tahunnya, ia akan diberika ucapan selamat berupa doa-doa, seperti panjang umur, sihat, rezeki, jodoh, anak dan lain-lain. Saat lagu ulang tahun dikumandang dengan lriknya moga panjang umurnya, lalu kita kaitkan dengan perumpaman diatas sebagaimana api memakan kayu bakar tadi tentu amatlah tidak sesuai sekali, mengapa? Secara kuantiti memang usia bertambah, namun secara kualitinya kita akan semakin hilang kekuatan fizikal. 



Setiap dikalangan kita tidak akan pernah tahu sampai bila kita mampu bertahan hidup. Bagi orang-orang yang sedar tentunya mampu menjadikan moment ulang tahun sebagai media untuk merefleksikan kualiti diri, apakah usia hidup ini memberikan manfaat untuk kehidupan? Semakin baik ataupun sebaliknya ibadah kita, sikap sosial kita kepada sesame makhluk, adakah perubahan yang lebih baik yang mampu untuk kita hidup selamat di kehidupan yang kekal disana kelak ? Dengan banyak memuhasabah diri merefleksikan kualiti diri dan memikirkan sumbangan hidup untuk kebaikan akan memberi motivasi diri untuk membuat hidup dan kehidupan menjadi lebih baik dan lebih bermakna, itulah ajaran Tuhan, Allah SWT kepada ummat manusia, menjadi lebih baik, mengakhiri hidup dengan kebahagiaan iaitu husnul khatimah. Dengan memahami makna ulang tahun secara benar, seseorang akan mampu menghindari perayaannya secara berlebihan yang penuh dengan hura-hura dan pembaziran tanpa makna dan perubahan.


Namun diisi dengan pemaknaan dan doa serta peningkatan kualiti diri. Sahabat Nabi tercinta Saidina Umar bin Khatab pernah mengingatkan kita untuk menghitung segala amal perbuatan diri kita sebelum Allah yang menghitungnya. Dengan pemahaman seperti ini orang yang sedar akan selalu berusaha meningkatkan kualiti peribadi, sosial dan ibadahnya menjadi lebih baik lagi. Kerana Allah sangat menghargai sebuah usaha yang dilakukan oleh hamba Nya. Semoga kita mampu memaknai momment ulang tahun untuk hidup dan kehidupan yang lebih baik. Terima kasih pada semua yang mendoakan perkara yang baik sempena ulangtahun saya, semoga Allah meletakkan kita dalam rahmat kasih sayang Nya. Semoga segala doa yang dilantunkan kepada saya ini akan kembali jua doanya pada anda semua. 


Selasa, 24 November 2015

KESABARAN MENGHADAPI DUGAAN

Kembali membuka tirai kehidupan yang sebenarnya. Berusaha memperjelas pandangan yang masih kabur dalam kehidupan. Mencuba memahami hari demi hari yang telah terlewati. Menggali misteri- misteri yang masih terpendam, serta mengeluarkannya dalam bentuk serpihan- serpihan ilmu agar mudah di fahami.“Kesabaran yang Sebenarnya.?” Banyak saudara-saudara kita yang tidak merasakan kebahagiaan dalam menjalani hidup ini kerana kurangnya rasa syukur dan sabar. Padahal, suatu kebahagiaan dibangunkan dengan dua landasan, iaitu syukur dan sabar. Sabar bukanlah diam tanpa kata. Sabar bukanlah diam menunggu berlalunya sesuatu. Dan sabar bukanlah sikap pasrah dalam menghadapi sesuatu..


Namun “Kesabaran yang Sebenarnya” adalah sifat istiqamah, disertai keimanan dan ketaqwaan saat menjalani rangkaian cubaan dalam mahligai kehidupan, baik itu kesedihan mahupun kebahagiaan. Banyak orang yang belum memahami erti sebuah ‘Kesabaran yang Sebenarnya’, sehingga mereka mengatakan: “Kesabaran itu ada batasnya”. Padahal sabar itu tanpa batas. Kesabaran akan terus bertambah seiring dengan kualiti keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah swt. Hal ini pernah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad saw. Disaat beliau berjuang menyebarkan agama islam dengan kelembutan hatinya, banyak orang- orang kafir yang memusuhinya. Nabi Muhammad diancam, dicaci, diludahi, bahkan dilempar dengan kotoran sekalipun. Namun beliau tetap tersenyum dan tidak menaruh dendam sedikitpun, sehingga ia mendapatkan gelar ‘Ulul Azmi’, kerana mempunyai tingkat kesabaran dan ketabahan yang luar biasa.


Bagaimana dengan keadaan kita sekarang..? Saat segelintir cubaan menerpa, kita langsung mengeluh dan putus asa. Padahal, tahukah kita.? Bahwa cubaan yang kita hadapi ini belum ada apanya, kerana sesungguhnya cubaan dan ujian terberat dialami oleh para Nabi dan Rasul. Masihkah kita mengatakan bahwa ‘Kesabaran itu ada batasnya.? Waktu masih panjang, dan jalan yang harus ditempuh masih jauh. Jadi masih ada waktu untuk bermuhasbah diri, dan mencari serta melakukan apa yang terbaik di dunia ini, ‘hidup ini tidak hanya sekali’. Maka janganlah kita menyesal di kemudian hari. Hidup jika tidak ada dugaan dan cabaran bukan sebuah kehidupan namanya. Bukan berapa banyak masalah yang kita timpa tetapi yang harus dipersoalkan dalam diri kita ialah bagaimanakah kita tangani dugaan dan cabaran ini. Adakah dengan kekuatan iman kepada Allah atau dengan emosi yang marah.

Selasa, 17 November 2015

KALIMAH ALLAH KALIMAH SUCI

Dalam Islam, kalimah Allah itu adalah terlalu suci. Kalimah Allah bukanlah lambang atau simbol seperti agama-agama lain yang boleh dicipta mengikut imaginasi dan kreativiti manusia sesuka hati. Nama Allah itu sendiri merujuk kepada zat dan sifat kepada yang maha pencipta alam semesta. Dalam ketuhanan Islam, Allah sendiri telah memperkenalkan sifat-sifat kesempurnaanNya. Orang Islam dengan mudah memahami sifa-sifat tuhanNya sungguhpun baru sehari memeluk Islam. Dalam surah yang sangat pendek Allah telah mengisytiharkan sifatNya adalah tunggal, tempat pergantungan, tidak beranak dan tidak diperanakkan, dan tidak ada sekutu bagiNya (al-Ikhlas). Selain kalimah yang kudus itu, terdapat nama-nama Allah yang terkandung di dalam Asma al-Husna yang menerangkan sifat keagunganNya. Di alam nusantara untuk mengenali keagungan sifat dan keesaan Allah melalui pengajian sifat dua puluh ini, walaupun sebenarnya sifat keagunganNya tidak terbatas. Malahan kesemua penganut agama tauhid akan menyebut dan menulis perkataan Allah secara selaras tanpa mengira puak, bangsa dan budaya. Untuk mengekal sebutan dan tulisan dengan tepat lazimnya perkataan Allah akan dikekalkan di dalam perkataan Arab.


Sekiranya perkataan tersebut diterjemahkan ke dalam bahasa lain, kalimah akan ditulis beriringan dalam bahasa Arab. Malah Allah sendiri telah memberi jaminan bahawa al-Quran akan terpelihara dari sebarang pencemaran dan pengubahsuaian yang kekal di dalam bahasa Arab. Oleh sebab itulah kalimah Allah kekal disebut dan ditulis dalam bahasa Arab oleh kesemua bangsa manusia sehingga ke hari ini. Ini menunjukkan bahawa dari segi lafaz dan sebutan serta sifat Allah adalah jelas di kalangan umat Islam kerana ia merupakan pokok akidah tauhid. Ia sangat mudah difahami dan terlalu rapat kepada penganutnya. Kukuh dan jelasnya kepercayaan dalam Islam mampu berdiri sendiri tanpa perlu melihat dan meniru. Jauh sekali untuk meminjam apaapa perkataan dan konsep dari agama-agama lain. Oleh itu ramai yang terkeliru dan rasa tercabar apabila ada pihak gereja yang ingin menggunakan nama Allah dalam Bible mereka. Percubaan menggunakan nama Allah di dalam Bible di Malaysia menggambarkan kecelaruan tentang keyakinan penganut Kristian sendiri di dalam sistem kepercayaan mereka. Kepercayaan Kristian berteras konsep triniti, iaitu tuhan bapa, tuhan anak (Jesus) dan roh kudus atau tiga dalam satu.



Kebanyakan pengkaji-pengkaji sejarah perkembangan agama menyatakan bahawa fahaman ini pada dasarnya tidak ada dalam Kristian tetapi dibawa masuk dari falsafah Plato. Konsep yang sama juga terdapat di dalam agama Hindu yang menyembah tuhan Brahma, Vishnu dan Shiva. Jadi, usaha meminjamkan mana-mana unsur luar dari agama Kristian bukan perkara baru dalam sejarah perkembangannya untuk mempastikan kelangsungannya terus di terima. Sekiranya penganut Kristian melihat penggunaan umum dalam kitab Bible mereka di Barat dalam versi bahasa Inggeris, perkataan tuhan dan kekuasaanya itu merujuk kepada perkataan God dan Lord. Mereka rata-ratanya tidak menggunakan perkataan Allah. Sekiranya mereka ingin menterjemahkan perkataan tersebut ke dalam bahasa Arab, mereka sepatutnya memilih perkataan lain, bukannya Allah yang merupakan nama khas. Bible Perjanjian Lama merakam nama tuhan mereka seperti Yahweh, El, Elohim atau Eloah.


Kenapa salah satu daripada nama-nama tersebut tidak dipilih? Hujah yang masih digunakan hari ini ialah penggunaan dalam kalangan Bangsa Arab Kristian dengan perkataan Allah di dalam kitab mereka. Alasan penggunaan nama Allah dalam Bible di Malaysia disebabkan Arab Kristian menggunakannya adalah tidak tepat. Kalimah Allah digunakan di kalangan Bangsa Arab Kristian di Mesir, Syria, Jordan dan Emeriah Arab Bersatu lebih merujuk nama Allah yang maha esa yang mereka warisi sebelum Islam lagi. Tradisi Arab bukan sahaja mampu mengekalkan nama tuhannya, malah kekuatan mereka mengingati susur galur keturunan mereka sampai ke akar umbi. Sudah pasti kalimah yang digunakan tersebut bukannya God atau Lord yang di gunakan oleh masyarakat barat sepertimana yang diwarisi oleh orang Arab. Orang Arab yang masih kental memegang tradisi Nasrani dan Yahudi ini dipanggil Ahli Kitab di dalam Islam. Berdasarkan analogi ini, keturunan China, India dan rumpun bangsa di Sabah dan Sarawak yang menganut Kristian tidak ada kaitan langsung dengan rumpun bangsa Arab. Mereka bukan Ahli Kitab sungguhpun menganut Kristian.



Mereka tiada hubungan atau kesinambungan dengan keturunan datuk nenek yang asal memeluk Nasrani seperti yang disyaratkan oleh Imam Syafii. Keturunan mereka dapat dijejaki dan dikenalpasti seperti dalam tradisi keluarga Arab. Malah di Nusantara juga satu usaha menterjemahkan perkataan tuhan kepada Allah telah lama dimulakan di Indonesia sebenarnya berasaskan tulisan Jawi. Tulisan jawi adalah medium rasmi rumpun Melayu yang mempunyai beberapa pecahan keturunan. Tulisan jawi ini pula pada keseluruhannya berasaskan Bahasa Arab dan banyak perkataan Arab dipindahkan terus ke dalam bahasa Melayu. Contohnya, Bible yang dinamakan Alkitab telah diterjemah dan dicetak dalam bahasa Indonesia telah menggunakan nama Allah. Ini bermakna misi gerakan menyebarkan kefahaman agama Kristian dalam kalangan orang Melayu atau bangsa yang menuturkan bahasa Melayu seperti Bugis, Jawa, Mendailing, Minangkabau dan lainnya telah lama dijalankan dan dibuat secara terancang.



Ini adalah kerana bangsa lain tidak akan membacanya kecuali rumpun bangsa Melayu. Orang China dan India tidak mungkin berhasrat membaca Bible versi Melayu! Penyebaran Bible dalam bahasa Indonesia dan kebebasan beragama mengikut acuan mereka menyebabkan keracunan berfikir. Maka tidak mustahillah di Indonesia terdapat dalam satu keluarga mempunyai agama berlainan; Islam, Kristian, Hindu dan Budha. Indonesia menjadi lebih liberal kerana negara mereka berkonsepkan Pancasila sebagai ideologi negara. Ini berbeza dengan Malaysia dan Brunei menjadikan Islam sebagai agama persekutuan dan negara. Yang menjadi persoalan sekarang ini ialah, mengapa perkataan Allah hendak digunakan di dalam Bible? Apakah tepat terjemahan tersebut mengikut ajaran Kristian yang diamalkan hari ini? Sudah pastilah tidak. Apabila mereka menggunakan nama Allah secara langsung membatalkan pengertian triniti kerana sifat keesaan Allah secara mutlak menolak perkongsian sifat ketuhanan dan kuasa jika dilihat mengikut perspektif Islam. 


Isnin, 2 November 2015

BILAL BIN RABAH : SIMBOL KEADILAN SOSIAL

Bilal Bin Rabah ra adalah salah satu nama yang paling terkenal dalam sejarah Islam. Seorang budak Negro dari Habsyah (Ethiopia), Bilal merupakan bukti nyata dari penghormatan Islam terhadap kesetaraan sosial, anti rasisme dan keadilan sosial. Lahir pada 680 Masehi di Mekkah, bersama orang tuanya - Rabah dan Hamamah - Bilal juga menjadi budak dari Umayyah bin Khalaf, seorang musuh Islam. Ketika Umayyah mendengar bahwa Bilal masuk Islam, ia menyiksanya dan memaksanya untuk melepaskan keimanan barunya. Tetapi dengan penuh kecintaan kepada Nabi Muhammad saw dan Islam, Bilal tetap teguh dalam keimanannya. Meskipun ia disiksa dengan kejam ia terus mengatakan "Ahad, Ahad." (Allah itu satu, Allah itu satu)

Ketika Nabi Muhammad saw mengetahui tentang penganiayaan yang dialami Bilal, ia mengutus Abu Bakar ra, yang menebusnya dari sang penindas dan membebaskannya dari perbudakan. Kebebasan ini adalah hadiah pertama Islam kepada Bilal. Khalifah Kedua Umar Bin Khattab menghormati Bilal dengan menyebutnya sebagai Sayyidina (pemimpin kami). Bilal menjadi salah seorang sahabat yang paling dipercaya dan setia kepada Nabi Muhammad saw. Beliau termasuk orang yang pertama masuk Islam. Bilal ikut hijrah bersama Nabi Muhammad saw ke Madinah dan ikut dalam pertempuran-pertempuran besar termasuk perang Badar, Uhud, Khandaq dll. Saat Perang Badar, ia berhashil membunuh musuh Islam dan orang yang telah memperbudak dan menindasnya - Umayyah.

Nabi Muhammad saw adalah orang pertama yang menyatakan kesetaraan diantara manusia dalam sejarah dunia 1400 tahun yang lalu. Nabi memilih Bilal menjadi salah satu sahabat yang mulia. Munculnya Bilal sebagai seorang yang menonjol dalam sejarah Islam adalah bukti pentingnya pluralisme dan kesetaraan sosial dalam Islam. Saat Abdullah bin Ziyad menceritakan bahwa ia telah bermimpi diajari metode dan kalimat Azan, Nabi Muhammad saw menyukainya dan menunjuk Bilal sebagai orang pertama yang mengumandangkan azan di Madinah dengan bacaan tersebut. Ketika Umar ra mendengar azan, ia bergegas mendatangi Nabi Muhammad saw dan mengatakan kepada beliau bahwa ia juga bermimpi azan dengan bacaan yang sama. Dengan demikian azan dikumandangkan pertama kali oleh Bilal. Nabi saw menunjuknya sebagai Muazzin Rasul.



Kerana Bilal merupakan orang Afrika pertama yang memeluk Islam, umat Islam Afrika masih merasa bangga dengan kehormatan yang diberikan kepada orang Afrika tersebut. Kehormatan besar lainnya bagi Bilal adalah setelah pmbukaan Kota Mekkah pada 8 Hijriah. Ketika kota Mekkah menyerah dan semua orang baik Muslim dan non Muslim berkumpul di suatu halaman, Nabi saw meminta Bilal untuk menaiki atap Ka'bah dan mengumandangkan azan dari atasnya. Ini adalah azan pertama yang dikumandangkan di Mekkah al-Mukarromah. Setelah Nabi Muhammad saw wafat, Bilal merasa sukar untuk menghabiskan waktu di Madinah tanpa Nabi tercinta (saw). Dia meminta kepada Khalifah Abu Bakar untuk membiarkannya pergi ke Syiria untuk berjihad. Dan disana ia menghabiskan sisa waktu hidupnya. Ia mengumandangkan azan hanya dua kali setelah itu. Yang pertama adalah ketika Khalifah Umar bin Khattab datang ke Syiria dan kedua kalinya ketika ia mengunjungi makam Nabi Muhammad saw di Madinah. Setelah mendengar suara azannya orang-orang menangis, kerana mengingat masa-masa kehidupan Nabi Muhammad saw.


Bilal meninggalkan Madinah untuk pergi ke Syiria dan tinggal disana. Ketika Khalifah Umar mengunjungi Baitul Maqdis, ia meminta Bilal untuk mengumandangkan azan. Dan ketika ia mengumandangkan Azan, para sahabat menangis tersedu-sedu teringat masa lalu. Diriwayatkan bahwa Khalifah Umar menangis yang mana ia belum pernah menangis seperti itu sebelumnya. Ketika Bilal berada di Syiria, ia melihat dalam mimpi Nabi Muhammad saw berkata kepadanya "Wahai Bilal, mengapa engkau tidak mengunjungiku". Ia kemudian langsung bergegas ke Madinah dan menyampaikan shalawat dan salam di makam Nabi saw sambil menangis dan menempelkan wajahnya ke makam Rasul.

Ketika ia melihat Hassan dan Husain, cucu Nabi saw, ia langsung merangkul mereka. Atas permintaan mereka, Bilal mengumandangkan azan dengan suara gemetar dan berlinangan air mata. Mendengar Azannya Bilal, orang-orang berdatangan ke Masjid Nabawi. Ini adalah azan terakhirnya di Madinah. Bilal menghabiskan hari-hari terakhirnya di Syiria. Beliau wafat pada 18 Hijriah pada usia 64 tahun dan dimakamkan Damaskus. Ia melayani Nabi saw selama 25 tahun. Islam telah mengangkat darjatnya pada tingkat seperti yang Umar bin Khattab memanggilnya sebagai Sayyidina (pemimpin kami). Begitulah Islam mengiktiraf manusia pada persamaan sosial. Yang membezakan kita hanyalah taqwa.