Nabil
berumur sepuluh tahun ketika pertama kali didera kerana mencuri wang milik
ayahnya. Rosli dan Zainab pasangan suami isteri yang cukup berjaya sebagai
guru. Setiap hari mereka bertungkus lumus mendidik murid-murid menjadi insan
cemerlang apakan daya anak sendiri tak mampu diuruskan. Kedua-duanya sama panas
baran, mungkin disebabkan tekanan kerja yang dibawa pulang ke rumah. Kasihan
Nabil setiap hari makanannya adalah maki hamun dan ugutan ditambah dengan
tamparan dan hentakan di kepala. Semakin dihajar dengan kekerasan Nabil semakin
liar dan memberontak. Dia putus asa dan memandang dirinya tidak berguna, tidak
disayangi dan terbuang. Sementara itu ibu dan ayahnya makin tertekan dan malu
dengan sikap anak mereka yang semakin teruk. Bukan hanya duit dan barang di
rumah yang hilang, di sekolah dan rumah jiran juga dicuri. Ayah dan ibunya
mengikat kaki dan tangan Nabil dengan rantai besi dan seluruh tubuhnya jadi
sasaran pukulan. Begitukah didikan yang diajarkan agama? Dimanakah ilmu
psikologi yang telah dituntut para orang tua dan guru? Bagaimana Nabi Muhammad
SAW mendidik anak-anaknya?
Suatu hari Rasulullah SAW mengajak seorang kanak-kanak
berdialog, baginda menyuruh kanak-kanak lelaki yang bernama Abdullah bin Abbas
itu naik ke punggung untanya. Nabi SAW duduk dihadapan dan Abdullah di
belakang. Kedua-duanya bersembang dengan penuh kasih sayang, mesra dan gembira.
Di tengah-tengah perbualan mereka yang rancak, Rasulullah SAW menyelitkan ilmu
yang tinggi nilainya secara tidak langsung kepada si kecil Abdullah. ”Wahai
budak kecil, peliharalah Allah (syariat Allah) nescaya Allah akan memeliharamu.
Peliharalah Allah nescaya kamu akan mendapatkan-Nya di hadapanmu, jika kamu
meminta mintalah pada Allah, jika kamu mohon pertolongan pohonlah kepada Allah.
Si kecil yang amat berminat ini terus memerhati setiap perkataan yang keluar
dari lisan Nabi yang suci. Setiap mata yang memandang kepada Nabi SAW akan
merasai rahmat dan kasih sayangnya. Kelembutan dan kemuliaan akhlak Baginda SAW
mampu mencairkan kerasnya hati manusia. Baginda SAW bukan hanya diutus untuk
lelaki dan wanita dewasa, tetapi kanak-kanak juga berhak ke atas syariah yang
dibawa baginda SAW.
Pernah
suatu ketika baginda menyapa seorang kanak-kanak: ”Wahai anakku, apakhabar
burung kamu?” Bahkan baginda menyuruh para bapa supaya mencium anak-anak mereka
yang kecil sambil bersabda: ”Sesiapa yang tidak menyayangi tidak akan
disayangi.” Tidak pernah disebutkan dalam sirah baginda yang agung peristiwa
penderaan terhadap kanak-kanak pada saat itu. Mereka hidup dalam kasih sayang
dan penjagaan Nabi mereka dengan penuh rahmat. Mereka dididik dengan tarbiyah
yang sempurna. Ditanamkan iman dan diajarkan akhlak yang mulia. Maka lahirlah
kanak-kanak yang berjiwa pahlawan, seperti anak Umar bin Khattab. Abdullah bin
Umar ketika peperangan Badar dia menangis sekuat hatinya di hadapan Rasulullah
SAW bukan kerana takut melihat darah dan mayat tetapi dia menangis kerana tidak
diizinkan ikut berperang melawan orang-orang kafir.
Abdullah
bin Umar di dalam kisah biografinya disebutkan bahawa Beliau telah tumbuh
dewasa menjadi seorang pemuda yang terlalu cintakan Rasulullah SAW hinggakan
dia suka mengikut cara-cara Rasulullah berjalan, menghafal setiap perkataan
baginda SAW dengan meriwayatkan banyak hadis, bahkan ketika dalam pemusafiran
beliau juga berhenti di tempat yang Rasulullah pernah berhenti, sembahyang di
tempat Rasulullah pernah bersembahyang dan berdoa di tempat Rasulullah pernah
berdoa. Sehingga Aisyah pernah berkata: ”Tidak ada seorang pun mengikut jejak
langkah Rasulullah di tempat-tempat perhentiannya sebagaimana yang dilakukan
oleh Abdullah bin Umar.” Cintanya kepada Rasulullah SAW begitu kuat dan
sentiasa hidup dihati walaupun baginda telah tiada di sisi. Bagaimana dengan
anak-anak kita sekarang? Sungguh kasihan mereka yang tidak mendapat didikan
agama.
Persekitaran
yang serba materialistik sedikit sebanyak mempengaruhi keperibadian mereka. Ibu
bapa yang tertekan tanpa iman yang cukup tidak mampu membimbing mereka dengan
nilai-nilai murni. Agama semakin dijauhi, dunia semakin digilai. Nak hantar
anak pergi mengaji dengan bayaran RM.50 kena fikir dua tiga kali. Tapi hantar
pergi kelas bahasa Inggeris seharga RM 200 tak payah fikir lagi. Ibu bapa
terlalu sibuk, serah didikan kepada guru dan orang gaji. Masa untuk anak hanya
ada saat keduanya keletihan, sembahyang ditinggalkan dan cukup menyumbat mulut
sang anak dengan wang jika mereka menagih kasih sayang. Jika anak tidak diberi
peluang mengenali hati ibunya, sampai bila-bila dia tidak akan sudi
menyentuhnya. Akan lahirlah anak-anak akhir zaman yang ego, membuang ibu mereka
yang uzur di atas katil tanpa kasih sayang. Oh iman mengapa semakin menipis di
hati kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan