Musibah akan menimpa
diri manusia jika akal dan hatinya tidak diaktifkan dengan membaca. Kejumudan
akan berlaku dan akibatnya diri akan sibuk dengan kejahilan yang diciptakan
sendiri. Suka berhibur, panjang angan-angan, malas berusaha, hati dan fikiran
kosong dan matlamat hidup menjadi kabur. Miskin ilmu, namun kaya nafsu
menyebabkan manusia melarat jiwa dan raga. Buku adalah harta yang tak pernah
habis. Ia ibarat kunci untuk membuka otak dan memandunya ke arah nasihat.
Banyak membaca membuat lidah petah, hati lapang dan fikiran terang. Buku adalah
hiburan ketika kita bersendirian, teman berdialog dan penawar hati yang sedih.
Semakin sering membaca, mengulang, mengkaji dan menghafal, maka semakin
berbuahlah ilmu, ranum dan manis terasa manfaatnya untuk manusia. Syaitan yang
menebarkan racun kepada ahli ibadat dengan mudah akan merosakkan amal yang
mereka lakukan kerana amal tanpa ilmu menjadi sia-sia.
Sedangkan ahli ilmu
yang mengamalkan ilmunya menjadi musuh syaitan yang terlalu kuat kerana ilmu
ibarat benteng yang terbuat dari besi waja yang kukuh. Antara faedah ilmu ialah
menghindarkan bisikan syaitan dan menghilangkan kesedihan. Kesedihan itu
bersarang di dalam hati yang gelap, iaitu hati yang tiada cahaya ilmu. Jika
hati ditimpa kesusahan, ambillah ubat penawar daripada lautan ilmu, kitab yang
mengandungi khazanah langit dan bumi, dunia dan akhirat. Mengapa membawa diri
ke tempat yang jauh, jika di dalam sebuah buku kita boleh menikmati perjalanan
seluas mata memandang. Kesusahan yang diderita oleh Abu Hurairah RA ketika
menuntut ilmu tidak menyurutkan semangatnya untuk mendampingi Rasulullah SAW.
Suatu hari beliau menderita kelaparan yang amat sangat sehingga orang yang
melihatnya menyangka beliau mempunyai penyakit sawan. Keadaan umat Islam saat
itu terlalu daif, ramai yang menahan lapar selama berhari-hari.
Abu Hurairah Ra
adalah antara sahabat yang miskin namun dia sentiasa bersama Rasulullah SAW
untuk menghafal Hadis. Walaupun hanya empat tahun bergaul dengan baginda SAW namun
tiada seorangpun dari kalangan sahabat yang mampu menandingi banyaknya hafalan
Abu Hurairah. Sesungguhnya kesedihan dan kemiskinan itu ada penawarnya. Ilmu
yang bermanfaat membawa kebahagiaan yang hakiki. Teringat saya akan kisah
perjalanan mencari ilmu oleh ulama hadis yang paling ulung, al-Imam al-Bukhari.
Walau dalam keadaan daif yang dideritai, pada usia 11 tahun beliau telah mula
mempelajari hadis. Setelah menghafal hadis dari ulama yang tinggal di kotanya,
beliau mengembara ke negeri-negeri yang jauh bersama ibunya kerana sang ayah
telahpun meninggal dunia. Walaupun hidup dalam keadaan yatim, beliau terus
mencari ilmu hadis hingga ke Balkh, Baghdad, Makkah, Kufah, ‘Asqalan dan
Damsyik.
Beliau berkata:
“Ketika aku berumur lapan belas tahun, aku telah menghafal fatwa-fatwa daripada
para sahabat dan tabiin.” Seorang sahabat beliau pernah berkata: “Al-Bukhari
pergi bersama-sama kami belajar kepada seorang guru. Kami semua mencatat
hadis-hadis yang kami pelajari namun dia hanya duduk berdiam diri sahaja. Salah
seorang menegurnya: “Kamu hanya membuang masamu.” Datang lagi sahabat yang lain
menegurnya, hingga beliau marah dan berkata: “Kamu semua telah mengganggu, mari
bawakan kesemua catatan kamu.” Sungguh, kami telah mendengar dia menghafal
sebanyak 15,000 hadis persis sama banyaknya seperti catatan kami. Pada masa
ini, sumber rujukan ilmu bertambah luas. Buku-buku yang berada di pasaran
terlalu banyak, amat senang diperolehi. Tamadun manusia bertambah maju, hanya
yang rajin membaca dan sayangkan buku dapat mengejar segala ketinggalan dalam
kemajuan ilmu. Membaca adalah ibadat, jika ia boleh menerangi hati dan
menundukkan jiwa ke jalan Allah. Dialah Pemilik segala ilmu dan atas setiap
mereka yang berilmu itu ada Yang Maha Berilmu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan