Pada era globalisasi ini, pendidikan dalam semua lapisan masyarakat semakin
penting dan diutamakan. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak
berkuasa dalam memupuk amalan membaca namun, budaya membaca dalam masyarakat
masih rendah lagi. Melalui pembacaan, seseorang dapat memperoleh pelbagai ilmu
pengetahuan yang secara tidak langsung dapat membantu memajukan negara. Dengan
ini, isu budaya membaca dalam kalangan masyarakat tidak boleh dipandang ringan.
Jika budaya tersebut dibiarkan begitu sahaja hasrat masyarakat untuk menjadikan
negara kita negara maju pasti akan terganggu. Pengamalan budaya membaca dalam
kalangan masyarakat akan mendatangkan pelbagai faedah terhadap diri kita. Oleh
itu, semua lapisan masyarakat haruslah berusaha mengamalkan budaya membaca
kerana Membaca Jambatan Ilmu.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa dengan membaca, seseorang akan dapat
menambahkan ilmu pengetahuan. Hal ini kerana terdapat berbagai-bagai maklumat
termasuk isu semasa dan pengetahuan tentang kehidupan harian yang terdapat di
dalam buku, majalah dan surat khabar. Terdapat banyak bahan bacaan telah
dipasarkan di pasaran. Ibu bapa haruslah sanggup membelikan bahan bacaan yang
sesuai untuk anak-anak dan diri sendiri. Dengan membaca, seseorang dapat
meneroka pelbagai ilmu yang dapat dimanfaatkan untuk mencapai kejayaan kerana
Bangsa Membaca Bangsa Berjaya. Sewajarnya masyarakat rajin berusaha dalam
memupuk amalan membaca dan seterusnya menjayakan kempen-kempen yang telah
dianjurkan oleh kerajaan tentang amalan membaca. Pembacaan yang luas juga dapat
memupuk nilai-nilai murni dalam diri seseorang. Oleh itu, masyarakat hendaklah
rajin membaca supaya dapat menambahkan ilmu pengetahuan.
Selain itu, membaca akan membantu menambahkan perbendaharaan kata yang kita
miliki. Hal ini kerana dengan membaca kita akan menemukan pelbagai jenis
perkataan baharu. Jika kita membaca bahan bacaan yang berkaitan dengan bidang
Sains kita akan mengenali lebih banyak istilah atau kosa kata baharu dalam
bidang berkenaan seperti Anemia dan X-ray. Malah, apabila seseorang telah
mengenali banyak perbendaharaan kata, mereka akan dapat bertutur dengan lancar
dalam bahasa berkenaan. Individu itu juga akan dapat menguasai sesuatu bahasa
dengan mudah. Penguasaan perbendaharaan kata sangat berguna dalam menongkah
arus globalisasi kini. Persaingan antara masyarakat dalam pelbagai disiplin
ilmu juga akan menjadi lebih mudah. Dengan ini, kita haruslah rajin membaca
supaya dapat menambahkan perbendaharan kata dalam minda kita.
Membaca juga dapat memenuhi masa
lapang kita. Masa lapang ialah masa senggang antara dua pekerjaan. Masa lapang
perlu diisi dengan perkara yang berfaedah. Kita boleh menjadikan amalan membaca
sebagai hobi kita. Selain membaca, kita boleh menjadikan perkara lain sebagai
hobi sekiranya perkara itu berfaedah. Terdapat 24 jam diperuntukkan kepada
seseorang, namun masa yang singkat itu sememangnya tidak cukup untuk kita
melaksanakan pelbagai aktiviti. Dengan ini, kita haruslah menggunakan masa
lapang dengan efisien kerana masa itu emas. Sekiranya seseorang itu tidak
mempunyai masa untuk membaca, mereka boleh membaca ketika menunggu bas. Oleh
itu, sebagai insan yang begitu mengutamakan masa mereka seharusnya mengisi masa
dengan amalan membaca.
Di samping itu, budaya membaca dapat membantu memajukan negara. Hal ini
demikian kerana tokoh-tokoh yang pakar dalam bidang tertentu dapat membantu
meningkatkan ekonomi negara kita. Lanjutan itu, negara kita dapat membangun
dengan pesat. Kemajuan dalam bidang sains dan teknologi telah menyebabkan
banyak ciptaan baharu direka. Sebagai contoh, Negara Jepun yang maju dalam
bidang sains dan teknologi telah mencipta pelbagai jenis barangan yang
berfungsi secara automatik. Membaca akan menambahkan ilmu pengetahuan kita dan
ilmu-ilmu yang diperoleh ini bolehlah digunakan dalam memajukan sektor-sektor
tertentu seperti sektor pelancongan. Apabila sektor-sektor dibangunkan, ekonomi
negara kita akan pesat membangun seperti Cendawan Tumbuh Selepas Hujan. Secara
umumnya, negara kita akan layak bersaing dengan negara maju yang lain. Kemajuan
negara pula perlu disusuli dengan budaya menulis buku. Oleh itu, kita hendaklah
rajin membaca supaya tanah air kita dapat dibangunkan dan dimajukan. Malah,
kita dapat hidup dalam keadaan yang lebih baik.
Kesimpulannya, budaya membaca banyak mempunyai faedah kepada individu
mahupun negara. Melalui membaca kita akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan
kita. Ilmu pengetahuan yang diperoleh itu bukan sahaja dapat membantu seseorang
mendapat keputusan yang cemerlang malah dapat memajukan negara. Walaupun pada
hari ini pelbagai prakarsa telah dilaksanakan untuk memupuk amalan membaca
namun, usaha tersebut diumpamakan hujan jatuh ke pasir. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab
yang besar dalam memupuk budaya membaca. Hal ini disebabkan budaya membaca
perlu dipupuk sejak anak-anak kecil lagi kerana Melentur Buluh Biarlah dari
Rebungnya. Ibu bapa juga bertanggungjawab menjadi suri teladan kepada anak-anak
dengan banyak membaca buku. Selain itu, pihak kerajaan perlu menyediakan
pelbagai kemudahan seperti perpustakaan supaya kita dapat membaca dengan
selesa. Kempen-kempen membaca juga perlu dipergiat. Jika usaha-usaha memupuk
budaya membaca giat dijalankan, negara Malaysia pasti akan menjadi negara yang
maju. Oleh itu, semua orang wajiblah membaca dan berusaha meningkatkan budaya
membaca agar masyarakat yang celik ilmu dapat dilahirkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan