Mengharungi zaman serba moden hari ini tiada
siapa dapat menyangkal bahawa kehidupan kita hari ini segalanya memerlukan
duit.Biarpun ramai yang berkata duit bukan segala-galanya namun hakikat yang
perlu kita terima bahawa dunia hari ini segala-galanya juga perlukan
duit.Kerana harta kita leka, kerana harta ramai mengaku saudara dan kerana
harta kita bersengketa. Ramai antara kita yang bertungkus lumus bekerja
siang dan malam tak kira masa semata-mata ingin mengumpul harta dan
kekayaan.Betapa kita bangga dengan kekayaan yang ada hinggakan sesetengahnya
mula dikuasai sifat sombong dan mula bermegah.Kita mula memilih rakan yang
sepadan dan setaraf, kita memilih kedai untuk singgah makan demi menjaga status
dan kita hanya memilih barangan berjenama untuk diguna.
Jika dulu kita berjalan menunduk ke bumi tapi
kini kita melangkah sambil menongkat ke langit.Kita mudah lupa bahawa kaki kita
sebenarnya tetap berpijak di bumi nyata. Kita lupa bahawa seandainya
kepala kita terhantuk dan berdarah, kita tetap perlu menunduk ke bumi demi
menahan kesakitan.Ketika itu juga kita sedar bahawa darah yang mengalir tidak
akan naik ke langit tetapi tetap mengalir tumpah kebumi.Di saat terlantar
menahan sakit kita merenung setiap inci tubuh yang sebelum ini sihat tetapi
dikerah demi mengejar kemewahan.Tiada istilah rehat untuknya kerana naluri dan
impian kita berkata bahawasanya masa itu amat berharga. Kerana duit dan kerana harta kita ketepikan
nilai kasih sayang.
Kita timbus dan semadikan kerana beranggapan
ianya tiada nilai dan tiada harga.Kita butakan hati dan kita lontarkan
sejauhnya demi mengejar harta dan kemewahan dunia. Sesungguhnya tiada siapa yang tidak merasa
bangga apabila hidup diulit kemewahan apatah lagi jika segalanya atas titik
peluh dan usahanya sendiri.Sampai pada satu
ketika akhirnya ramai yang mula menyedari apabila merasakan mereka bagaikan
kehilangan sesuatu.Jiwa mula meronta mencari sesuatu yang selama ini telah
ditimbus, sesuatu yang kita anggap tiada harga dan sesuatu yang dianggap tiada
nilainya
Sesuatu yang kita anggap racun rupanya
tersembunyi penawar di dalamnya.Penawar paling ampuh untuk mengubat hati yang
sepi, penawar untuk menangkis bisa yang meresap di dalam hati dan penawar
terbaik menemani hidup yang sunyi.Akhirnya kita menyedari bahawa sesungguhnya
penawar tersebut yang bergelar Kasih dan Sayang amat tinggi nilainya kerana ia
tidak boleh dijual beli, ia tidak dilelong dan ia tidak pernah meletakkan harga. Sesekali menyendiri kita
seakan-akan ingin merubah takdir agar kita bisa hidup bahagia seperti orang
lain sedangkan takdir itulah yang kita harapkan sewaktu kita menempa jalan
membina kemewahan.
Kita melihat ada yang cuma hidup sederhana tapi
dilimpahi dengan kasih sayang dan hati kita berkata kenapa kita tidak
dikurniakan kebahagian seperti mereka.Kita kembali rindukan gurau senda yang
pernah kita nikmati, kita kembali mencari kemana hilangnya tawa mesra dan
belaian manja lantas kita berkata andai dapat diundur masa ingin kita letakkan
kasih dan sayang itu kembali berada di tempatnya.Akhirnya kita perlu akui
bahawa sesungguhnya Allah itu maha adil, dilebihkan buat kita satu bahagian dan
dikurangkan pula satu lagi bahagian agar kita tidak terus leka dan lupa untuk
bersyukur kepadanya.Bersyukur kerana dikurniakan dan dilimpahi rezeki olehnya
biarpun kebahagian dan kasih sayang itu masih belum menjadi milik kita.
Harta bukan segalanya biar setinggi gunung ia
terbina, ia akan kembali susut apabila dikikis tetapi kasih sayang tidak akan
terhenti ibarat air sungai yang mengalir tanpa henti.Cedoklah ia apabila terasa
dahaga dan ternyata bila
diri disayangi itulah kalimah yang
lebih bermakna kerana tanpanya hidup kita terasa bagaikan tidak sempurna.Setiap
insan yang bernyawa berhak untuk hidup bahagia maka berusahalah agar kebahagian
turut menjadi milik kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan