Menjadi kewajipan umat Islam mengenali jahiliyah
di samping mengenali Islam. Jika mengenali Islam bertujuan mengamalkannya,
mengenali jahiliyah pula adalah untuk mengelak darinya dan agar tidak tertipu
dengan pendakyah-pendakyahnya. Islam Liberal adalah satu bentuk pemikiran
jahiliyah baru moden yang dianuti sebahagian cerdik pandai muslim hari ini
khususnya yang berlatar-belakangkan pendidikan Barat. Pemikiran ini berasal
dari ideologi Sekular-Liberal yang lahir di Barat, kemudian dibawa masuk ke
dalam masyarakat umat Islam oleh gerakan Misionari Kritian dan Orientalis
melalui penjajahan dan melalui pendidikan terhadap anak-anak orang Islam yang
belajar di Barat. Melihat kepada tentangan yang amat hebat oleh ulamak Islam
dan pendokong-pendokong gerakan Islam terhadap ideologi tersebut sejak dulu
hingga sekarang, maka untuk meredakan tentangan tersebut dan untuk mengelabui
mata umat Islam mereka meletakkan istilah Islam di depan istilah Liberal itu
dan membentuk satu istilah baru yang dipanggil “Islam Liberal”.
Pada hakikatnya pendokong pemikiran Islam Liberal
adalah penganut-penganut ideologi Sekular-Liberal yang mana matlamat mereka
ialah menimbulkan keraguan terhadap kebenaran agama Islam di kalangan
penganut-penganutnya sehingga akhirnya pegangan dengan agama dianggap tidak
sesuai lagi di zaman moden hari ini. Natijahnya umat Islam akan bersikap
anti-Islam dan memusuhi ulamak-ulamaknya sebagaimana sikap orang-orang Barat
hari ini terhadap agama Kristian dan paderi-paderi Kristian. Aliran liberalisme lahir di Barat
adalah lanjutan daripada zaman Renaisans (kebangkitan) yang berlaku di Eropah.
Ia adalah hasil daripada tindak balas kaum intelek Eropah terhadap penindasan
gereja terhadap ilmu sains dan juga teori-teori palsu ciptaan cendekiawan
Yahudi untuk memusnahkan agama Kristian. Aliran pemikiran ini bertujuan untuk
meningkatkan kebebasan yang diberi kepada individu. Gerakan liberalisme dari
sudut agama dipelopori oleh Martin Luther, seorang tokoh Protestan disebabkan
oleh penindasan dan keganasan gereja Katholik sebelum zaman Renaissance.
Gerakan ini membebaskan penganut agama Kristian
daripada kuasa gereja dari segi rohaniah ke atas individu dan membentuk mazhab
baru bernama Protestan. Antara prinsip penting bagi mazhab Protestan ialah;
“Menjadi hak individu Kristian untuk membaca kitab suci dan mentafsirnya
sendiri tanpa terikat dengan tafsiran paderi-paderi”. Idea Liberalisme ini terus
berkembang di Barat bersama dengan kemajuan sains dan pemodenan dalam
pembangunan industri. Manusia bukan sahaja disogok dengan idea “keraguan”
tentang Tuhan dan ajaran-ajaran agama tetapi juga menjadikan mereka bersikap
materialistik dengan menjadikannya sebagai matlamat dari segala kehidupan. Fahaman
ini berkeyakinan bahawa manusia dan akal fikirannya boleh menyelesaikan
berbagai aspek yang berkaitan dengan kemanusiaan tanpa perlu merujuk kepada
agama atau tuhan. Kalau manusia itu dalam kes-kes tertentu perlu kepada agama
maka ia hanya bersifat keperluan individu semata-mata terutama dalam keadaan manusia
yang tidak menentu emosi dan pemikiran serta perasaannya kerana ditimpa
kemalangan, bencana alam dan sebagainya.
Maka peranan agama dalam konteks ini
tidak lebih dari sekadar menstabilkan emosi yang tidak tenteram. Sebagaimana Ideologi Liberal atau Liberalisme di
Barat yang terbina di atas kebebasan individu, dari cengkaman agama dan
perasaan syak atau ragu terhadap agama, maka begitu juga dengan fahaman Islam
Liberal. Fahaman Islam Liberal berakar pada kebebasan akal tanpa batasan
ditambah pula dengan perasaan syak dan ragu terhadap Islam. Bagi pendokong
fahaman Islam Liberal, tidak ada di dalam agama suatu yang dianggap kudus dan
suci yang tidak boleh dikritik atau dipertikai. Sepertimana muktazilah,
golongan Islam Liberal meletakkan akal lebih tinggi dari wahyu. Kerana itu
mereka layak digelar muktazilah moden atau neo-muktazilah. Bagi mereka,
penerimaan terhadap wahyu hendaklah berasaskan kepada penilaian akal dan
rasional.
Semua ajaran dalam agama bagi mereka adalah tidak
pasti. Oleh demikian, ia tertakluk kepada penerimaan akal dan rasional. Golongan Islam Liberal tidak
menzahirkan diri mereka sebagai orang yang menolak agama, tetapi berselindung
disebalik gagasan mengkaji semula agama, mentafsir semula al-Quran, menilai
semula as-Sunnah dan menapis semula hukum-hakam Syari’at dan Fiqh. Mereka
menolak segala tafsiran yang dianggap lama dan kolot mengenai agama
–termasuklah dalam hal-hal yang telah menjadi Ijmak ulamak- termasuklah
tafsiran dari Rasulullah s.a.w., para sahabat dan ulamak-ulamak mujtahid. Bagi
mereka, agama hendaklah ditundukkan kepada waqi’ (realiti) semasa sekalipun
terpaksa menafikan hukum-hakam dan peraturan agama yang telah sabit dengan
nas-nas Syarak secara qat’ie (putus). Jika terdapat hukum yang difikirkan tidak
menepati zaman dan kemodenan maka hukum itu hendaklah ditakwilkan atau sebolehnya
digugurkan.
Golongan Islam Liberal mempunyai kecenderungan
yang kuat untuk menghidupkan kembali pemikiran muktazilah yang menurut mereka
mewakili kumpulan Islam Rasional dalam sejarah peradaban Islam. Kerana itu,
tokoh-tokoh Islam Liberal amat menyanjung Muktazilah dan memusuhi golongan
Ahlus-Sunnah Wal-Jamaah khususnya Asya’irah yang dituduh jumud, beku dan
anti-rasional. Tidak terkecuali dari kecenderungan sedemikian tokoh-tokoh Islam
Liberal di Indonesia dan di Malaysia. Sama ada mereka mengakui atau tidak,
golongan Islam Liberal di mana-mana negara umat Islam hari ini mereka
sememangnya telah dipengaruhi oleh cara berfikir Orientalis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan